ALHAMDULILLAH, saya diberikan peluang oleh Allah SWT untuk melaksanakan ibadah fardu kifayah di bumi matahari terbit ini. Baru-baru ini mendapat berita kematian saudara Muslim yang berasal dari Indonesia, lantas terdetik dalam hati inilah peluang terbaik untuk berdakwah.
Kesempatan yang amat jarang diperoleh ini mesti dimanfaatkan sepenuhnya. Saya dapat melakukannya kerana pengebuminannya dijalankan pada Ahad (hari tidak bekerja). Saya segera menelefon beberapa teman yang sedang belajar Islam bersama saya, tiga daripada mereka memberikan jawapan positif dan menyatakan kesanggupan menghadiri majlis pengebumian ini.
Ini merupakan pengalaman pertama mereka menghadiri majlis pengebumian orang Islam. Saya minta mereka berkumpul di Stesen Kereta Api Kawachinaganoshi, Osaka berhampiran tempat tinggal saya pada pukul 10 pagi. Setelah semuanya tiba pada masanya, saya memandu ke tanah perkuburan Islam yang memakan masa kira-kira sejam perjalanan.
TIMBULNYA MASALAH
Untuk pengetahuan, tanah perkuburan di sini amat terhad, Kerajaan Jepun tidak lagi membenarkan rakyat mereka dikebumikan dengan jasad. Mereka perlu dibakar sebelum abu disimpan atau ditanam. Islam hanya satu-satunya agama di Jepun yang masih mengekalkan pengebumian jasad manusia!
Muslim di Jepun sebenarnya bakal menghadapi masalah pengebumian satu hari nanti apabila semua tanah perkuburan ini penuh. Apa yang dimiliki pada masa ini jumlahnya amat terhad dan kami amat sukar untuk mendapat tanah perkuburan baharu. Malah pulau paling selatan di Jepun, Kyushu masih tiada tempat pengebumian untuk warga Muslim!
Terbaru, kerana harga kubur yang amat mahal dan kesukaran kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan, abu rakyat mereka yang dibakar terpaksa dibuang ke laut.
Inilah antara masalah terbesar kami di sini untuk generasi mendatang. Diharapkan pembaca sudi mendoakan semoga Allah memudahkan warga Islam di sini untuk terus kekal menjalankan suruhan dan perintah Allah itu.
Berbalik pada cerita saya semula. Apabila dijemput menghadiri majlis pengebumian, perkara pertama yang ditanya rakan-rakan saya (belum memeluk Islam tetapi menunjukkan minat) itu apakah warna dan jenis baju yang perlu dipakai untuk majlis tersebut.
Saya beritahu datang dengan memakai pakaian yang membolehkan membuat kerja-kerja, mereka terkejut kerana biasanya di sini, mereka tidak perlu membuat sebarang kerja ketika menghadiri majlis pengebumian.
Setelah sampai dan melihat sendiri amalan fardu kifayah Islam ini, mereka amat terkejut dengan fakta dan cara-cara warga Muslim menjalankan majlis pengebumian. Amat berbeza dengan mereka. Di sini saya nyatakan beberapa perbezaan ketara yang diterangkan kepada mereka, antaranya, ialah:
Konsep fardu kifayah.
Apabila diterangkan maksud fardu kifayah, mereka terkejut terutama untuk kerja-kerja sukarela sebegini untuk majlis pengebumian. Budaya mereka semuanya dibayar dengan wang.
Kecepatan majlis pengebumian.
Setelah meninggal biasanya mayat mereka akan ditontonkan sekurang-kurangnya tiga hari atau mungkin ada sehingga seminggu sebelum dibakar. Semuanya ini memerlukan kos yang tinggi.
Tiada yang menangis meraung-raung.
Dalam pengebumian mereka, keluarga menangis adalah keperluan. Ini kerana pemergian ataupun kematian adalah satu perkara yang amat malang bagi mereka.
Orang ‘asing’ mengebumikan jenazah yang tidak dikenali.
Dalam agama mereka hanya keluarga atau kenalan sahaja akan hadir sedangkan kita Muslim semuanya bersaudara yang bermakna sesiapa sahaja boleh hadir membantu.
Orang datang secara sukarela dan berpakaian bersesuaian.
Melakukan kerja-kerja menggali kubur sedangkan mereka datang memakai kot berwarna hitam tanda berkabung.
Pengebumian mereka memerlukan kos tinggi. Yang termurah dianggarkan sekitar RM40,000 hingga RM60,000.
Tiada had harga jika lebih mahal adalah lebih afdal untuk mereka.
Orang yang datang begitu peramah walaupun tak mengenali antara satu sama lain.
Ini kerana kita Muslim adalah semuanya bersaudara. Mereka tiada konsep sebegini, jika tidak mengenali tidak akan berbual.
Zulkarnain Hasan Basri
Sumber: Utusan
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)