BANGI – Filem kontroversi yang mengandungi adegan tidak senonoh, sekali gus tidak sesuai untuk tontonan awam perlu ditangani dengan tegas dan diberikan pengajaran sewajarnya dari pihak berkenaan.
Bukan setakat itu, masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan memulaukan filem tersebut dalam apa jua bentuk, tegas Pengarah Sekretariat Majlis Ulama Isma (MUIS), Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa.
“Isu filem tak senonoh, artis muslim dan penggiat seni sepatutnya tahu batasan.
“Setelah berlalunya tempoh yang panjang dalam mengarusperdanakan kehidupan patuh syariah dalam segenap bidang di Malaysia, sepatutnya para artis, penggiat seni dan hiburan sudah mempunyai satu ‘common sense’ dalam isu-isu yang bertentangan dengan budaya dan norma agama negara kita,” katanya dalam satu kenyataan
Dalam pada itu, beliau kesal dengan tindakan setengah pihak yang ‘try hard’ untuk mempromosi budaya asing dalam arena kesenian dan hiburan.
Tegasnya, tindakan itu suatu provokasi dan ancaman yang jelas terhadap agama dan norma kemasyarakatan yang menitikberatkan kesopanan dan moral yang sejahtera.
“Arus pembinaan masyarakat yang menerima ajaran agama sebagai paksi dan rujukan kehidupan seharusnya dijadikan teras utama dalam apa sahaja bidang yang disajikan kepada masyarakat awam, kerana ia akan mencorak masa depan yang sihat menuju ummah ‘fadhilah’ (gemilang),” katanya.
Sebelum ini, trailer sebuah filem tempatan, ‘Pulau’ mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk tokoh agama yang mengecam adegan tidak senonoh dalam filem itu.
Filem yang bakal ditayangkan 9 Mac depan menerima kritikan pelbagai pihak yang menggesa Lembaga Penapisan Filem (LPF) mengkaji semula kelulusan karya terbitan WebTVAsia dengan kerjasama My Way Pictures dan Filmforce Studio itu. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM