Filem La Luna: Penggiat seni jangan perlekehkan agama Islam – Ustazah Asma’ Harun

KUALA LUMPUR — Semua penggiat seni tanah air, sama ada pengarah, penerbit, penulis skrip dan pelakon, bebas berkarya dengan menjunjung tinggi nilai Islam dan kesopanan budaya tempatan, namun diingatkan tidak perlekehkan agama sendiri.

Demikian penegasan pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun susulan kontroversi filem La Luna yang disifatkannya sebagai memberi persepsi buruk kepada agama Islam.

Asma’ bersama kumpulan penyelidikannya mendapati banyak babak lucah, menghina Islam dan jauh daripada norma Melayu Islam secara teks dan subteks digambarkan dalam filem itu di mana tidak perlu beliau nyatakan kesemuanya kerana ia sangat memalukan.

“Jika kita menonton filem ini tanpa meneliti sudut pandang Islam, pasti akan rasa ia ibarat filem biasa sahaja. 

“Jarum liberalisme yang sangat halus telah membentuk pemikiran kita menjadi tidak sensitif dan mencipta ayat “Apa salahnya..”, “Tak apa…”, “Tak kan tak faham, inikan seni…, dan lain-lain  lalu akhirnya normalisasi pemikiran liberal ini pun meresap sedikit demi sedikit ke dalam kehidupan seharian tanpa kita sedari,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Asma’ berkata sekiranya benar ada ‘seni’ ingin disampaikan pastikan ia digambarkan dalam bentuk positif dan penuh adab, bukan menzahirkan sisi yang boleh mengundang prasangka buruk dan fahaman mengelirukan. 

Katanya, dalam isu ini peranan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) wajib diperkukuhkan bagi memastikan penghasilan filem atau drama mengikut garis panduan ditetapkan. 

Begitu juga peranan bahagian penapisan filem dan drama harus diperluaskan ke filem yang dimuat naik ke penstriman video dalam talian.

“Kami sentiasa menyokong dan menghormati setiap perjuangan individu atau organisasi selaku yang pakar dalam bidang industri perfileman demi memastikan industri filem dan drama tidak tercemar dengan unsur-unsur penghinaan dan memberi persepsi buruk terhadap agama Islam. 

“Moga segala usaha dalam memastikan filem dan drama di negara ini benar-benar ditapis dan ke arah patuh syariah dipermudahkan,” kata Asma’.

Terdahulu, penulis skrip, Zabidi Mohamed dilaporkan berkata selepas menonton filem La Luna beliau berpendapat ia secara subteks (tersirat) mempunyai elemen penghinaan ke atas agama Islam dan penamat filem juga seolah-olah menunjukkan Islam ditewaskan pemikiran liberal.

Bahkan, menerusi kajiannya sejak 2013 hingga Disember 2023, didapati sekitar 18 filem diterbitkan di Malaysia mengandungi elemen penghinaan ke atas agama Islam. 

Zabidi berkata perkara itu sudah semakin dinormalisasikan dan kelompok liberal dalam filem tanah air juga semakin berani.

Pengarah filem La Luna, M Raihan Halim bagaimanapun dilaporkan menyangkal dakwaan Zabidi yang mengatakan naskhah itu mempunyai unsur pemikiran liberal dan menghina agama Islam. 

Sebaliknya, Raihan berkata La Luna dihasilkan dengan niat baik iaitu membincangkan isu penunggang agama secara kritis di layar. — The Merdeka Times

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts