Putrajaya: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad menasihatkan umat Islam di negara ini supaya membebaskan diri daripada dijajah atau dipengaruhi oleh perbuatan tidak bermoral dan mengelak daripada mencetuskan perbalahan khususnya di media sosial.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Program Hijrah Merdeka 2022 di di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini kelmarin, Idris berkata, rakyat negara ini sepatutnya memanfaatkan media sosial untuk pembangunan bangsa, ekonomi, pendidikan dan sosial.
“Kita kena ingat komen berbaur fitnah di media sosial adalah lebih dahsyat daripada fitnah secara lisan.
Di media sosial ada berjuta orang akses. Apa yang kita tulis tidak akan terpadam dengan sendirinya. Adakah kita sanggup untuk bertemu orang yang kita fitnah di akhirat kelak,” katanya.
Idris turut menasihatkan pengguna media sosial untuk bersikap matang dan tidak memuat naik kandungan yang boleh mengaibkan individu lain atau mengundang perpecahan di media sosial.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tausiyah (nasihat) Hijrah Merdeka yang disampaikannya pada program berkenaan.
Program sempena Hari Kebangsaan 2022 itu dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah sebelum forum, solat Isyak berjemaah dan penyampaian tausiyah (nasihat) Hijrah Merdeka oleh Idris, yang dihadiri hampir 3,000 jemaah.
Dalam perkembangan lain, Idris yang juga Naib Presiden Pas mahu semua perwakilan Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 berbahas dengan baik berlandaskan fakta bagi menterjemahkan kematangan parti itu yang kini berusia 70 tahun.
“Agenda tertumpu kepada soal perpaduan serta PRU-15 (Pilihan Raya Umum ke-15) berlandaskan penyatuan ummah. Berbahaslah secara matang,” katanya.
Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 pada 3 dan 4 September ini akan diadakan di di Kompleks Pas Kedah, dengan 1,300 perwakilan dijangka menyertai muktamar tahunan itu. -My Metro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM