GEJALA yang mesti dielakkan umat ini ialah jangan sampai umat tidak kenal diri sendiri, tidak tahu untuk berperanan hatta tidak tahu untuk membela diri sendiri tatkala dizalimi ataupun tidak sedar diri sedang dianiaya.
Ini yang disebut sebagai kehilangan jati diri (fuqdan al-huwiyyah). Tetapi itulah realiti yang sedang berlaku kepada umat Islam secara umumnya di merata ceruk dunia. Jika mereka hidup sebagai minoriti, tidak sedikit di kalangan umat ini dinafikan untuk hidup mengecapi hak asasinya sebagai manusia apatah lagi hak-hak mereka yang lain.
Jika umat Islam hidup sebagai majoriti, tidak semua umat Islam sedar dan faham bahawa tugas utamanya adalah untuk menjadi umat yang benar-benar merdeka dari diatur hidup mereka dengan sistem-sistem buatan manusia.
Bahkan seribu kali malang apabila umat Islam merasa selesa mengatur kehidupan mereka dengan sistem-sistem ini. Apabila timbul konflik sesama sendiri pun, tanpa merasa malu mempersilakan orang kafir sebagai penyelesai masalah. Ini disebut sebagai kehilangan jati diri sehingga semua perkara perlu ditunjuk oleh orang lain.
Umat yang kenal diri sendiri, tahu tanggungjawab dan peranan, kenal tujuan dan matlamat akan berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan tanggungjawab nya dan mencapai matlamatnya. Halangan dan kesilapan yang berlaku ketika fasa ini adalah perkara biasa sehingga umat ini akan sentiasa kreatif dan berinovasi mencari jalan dan cara yang paling sesuai untuk mencapai matlamatnya.
Analoginya seperti seorang pelajar yang tahu cita-citanya, sudah bersedia untuk melanjutkan pelajaran dalam kuliah tertentu di universiti tertentu, dan sudah merancang untuk menaiki pesawat tertentu, namun di dalam perjalanannya ke lapangan terbang, berlaku kerosakan kereta mahupun kesesakan lalu lintas. Sudah tentu dia berikhtiar dengan berbagai cara untuk mencapai hasratnya.
Walaupun ditakdirkan dia gagal pergi pada hari itu, tetapi dia masih mempunyai matlamat dan arah tuju yang jelas. Bahkan ia masih kenal dirinya sendiri. Apa yang dikhuatiri ialah umat ini tidak seperti pelajar tadi. Akibat terlalu teruk ditekan ataupun terlalu mewah kehidupan, ditambah lagi hidup agak lama terjajah tanah air bersekali dengan terjajah pemikiran. Lupa matlamat dan arah tuju dan tidak tahu berperanan kerana telah lupa jati diri (fuqdan alhuwiyyah).
Al-Quran menjelaskan bahawa penyakit “lupa jati diri” adalah balasan dari Allah apabila seseorang mahupun umat melupakan Allah. Firman Allah: “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik – derhaka.” (Al-Hasyr:19)
Apabila diamat banyak sungguh perintah-perintah Allah kita lupakan sehingga Allah menjadikan kita lupa diri sendiri. Sebagai contoh, umat ini menjadi umat yang terbaik (khayra ummah) kerana kerja-kerja menyuruh kepada kebaikan dan melarang perkara kemungkaran seperti firman Nya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (Al-Imran : 110).
Namun malangnya tidak sedikit di kalangan umat Islam telah menjadi promoter-promoter hebat kepada kemungkaran dan tidak ghairah menyuruh kebaikan di tengah-tengah umat. Allah telah mengingatkan kita agar kekal menjadi umat terbaik, umat yang unggul, mempunyai pegangan tersendiri bersumber al-Quran dan al-Sunnah (ummatan wasatan), namun malangnya negara-negara umat Islam tidak cenderung kepada kesatuan umat sesama negara Islam tetapi lebih condong menyertai blok kiri atau kanan, lantas menjadi umat yang tidak berprinsip cenderung kepada timur mahupun barat.
Firman Allah: “Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil.” (Al-Baqarah: 143).
Gelagat umat Islam dilihat seperti lupa kepada peringatan Allah bahawa umat ini adalah umat yang satu, diikat dengan simpulan aqidah yang kukuh. Namun peringatan Allah itu hanya dibaca, dilagukan bahkan hanya diangkat sebagai slogan sahaja. Firman Allah: Sesungguhnya inilah umat kamu, umat yang satu dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku.” (Al-Anbiya’: 92)
Betapa banyaknya perintah-perintah asas Allah kita lupakan maka tidak mustahil Allah menjadikan kita sendiri lupa tentang diri kita!
Sahibus Samahah Haji Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)