G25 boleh jatuh syirik: Mufti

 

BANGI – Kenyataan kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 yang membidas undang-undang menghukum seseorang berlandaskan kesalahan agama dengan alasan ‘antara dia dengan Tuhan’ boleh jatuh syirik.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, G25 telah menafikan perkara-perkara yang jelas dinyatakan di dalam al-Quran dan hadis.

“Orang bukan Islam memang tak boleh paksa dalam soal kebebasan beragama. Tetapi, orang yang telah masuk Islam ada undang-undang dan peraturan, ianya telah disebut dalam al-Quran dan hadis Rasulullah ﷺ.

“Misalnya orang yang berzina dikenakan hukuman sebatan. Maknanya, hukuman ini telah ditetapkan oleh Allah SWT, ia bukan sewenang-wenangnya dibuat,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, G25 membidas undang-undang yang menghukum seseorang berlandaskan kesalahan agama yang dilakukan.

Perkara itu merupakan laporan dalam kertas yang dibentangkan oleh pengerusi jawatankuasa, Asiah Abu Samah yang juga wakil G25 bertajuk “Administration of Matters Pertaining to Islam”.

Jelas G25 dalam laporan itu, tindakan undang-undang terhadap individu tidak bersolat Jumaat misalnya, adalah tidak wajar dan mengatakan perkara dilakukan seorang Islam terhadap agamanya adalah antara individu itu dengan tuhan.

Laporan itu juga mengatakan, undang-undang berkenaan tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama.

 

 

“Perkara 11(1) memberi jaminan kepada semua orang di Malaysia, bukan hanya warganegara atau bukan Islam, tiga hak yang berbeza iaitu hak menganut, mengamalkan dan menyebarkan agamanya.

Membidas perkara itu, Datuk Abdul Rahman berkata, para ulama sendiri tidak berani mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan halal dan haram, melainkan ianya termaktub di dalam al-Quran dan hadis.

“Pandangan ulama menepati al-Quran, hadis dan sunnah. Sebab itu kita kena belajar dan yakin.

“Dalam Islam, apabila kita mengucap dua kalimah syahadah, kita telah mengaku dan mengikuti al-Quran dan sunnah, selain bersedia untuk menerima hukuman.

“Tetapi, mereka (G25) tak faham. Jangan terlalu bebas berkata-kata. Kalau tak percaya, kena belajar dan tanya, hukum ini datang daripada mana,” katanya.

Lantaran itu, beliau menggesa G25 supaya duduk berbincang dan memahami agama dengan lebih mendalam.

Beliau menjelaskan, pihaknya tidak menyebelahi sesiapa, tetapi desakan itu hanya untuk mempertahankan al-Quran, hadis dan sunnah.

“Kita kena rujuk sesuatu perkara itu melalui al-Quran dan hadis, bukannya terus menafikan,” katanya.- Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts