ALOR GAJAH : Atas dasar mahu berbakti kepada agama, pemuda berhati mulia Mohd Shukri Minhat, 21, sanggup menjadi pembantu noja (siak) di Masjid Al Mujib, Kampung Durian Daun, Masjid Tanah, di sini, sejak dua tahun lalu walaupun bayaran diterima sekadar RM300 sebulan.
Pemuda itu berkata, walaupun upah diterima kecil bagi menampung kehidupan pada zaman sekarang dia tetap melakukan tugas diamanahkan itu setiap hari dengan penuh ikhlas.
Antara tugas lain dilakukan pemuda itu adalah menyapu sampah, memotong rumput, membersihkan permaidani, mencuci kolah, melipat sejadah dan menyusun rehal.
Katanya, bekerja di masjid menjadikan rohaninya lebih tenang, malah solat lima waktunya terjaga walaupun pernah menerima gaji lebih lumayan ketika di Kuala Lumpur selama beberapa bulan selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dia yang juga pembantu siak termuda bertugas di negeri ini menjalankan kerja membersihkan persekitaran masjid berkenaan bermula jam 1 tengah hari hinggalah ke lewat malam.
Jelasnya, selepas pulang ke kampung dari Kuala Lumpur dia kerap membantu menjalankan kerja pembersihan masjid berkenaan tanpa mengharapkan upah, sebelum ditawarkan menjadi siak oleh ahli jawatankuasa masjid.
“Sebelah pagi saya bekerja sebagai pembantu gerai, pada jam 12 tengah hari saya terus ke masjid untuk solat Zuhur berjemaah dan memulakan tugas. Kerja ini tak popular tapi saya berterima kasih kepada ahli jawatankuasa yang beri kepercayaan pada saya.
“Saya tak pernah rasa malu buat kerja ini malah berharap berkekalan sampai ke akhir hayat, lebih tenang duduk di masjid walaupun gaji kecil. Sebenarnya inilah cara terbaik untuk saya mendekatkan diri dengan Allah dan menjaga tiang agama iaitu solat lima waktu,” katanya ketika ditemui, kelmarin.
Anak bongsu daripada enam beradik itu yang manja dengan panggilan Bob berkata, sepanjang di Kuala Lumpur dia terleka malah kerap meninggalkan solat sebelum mengambil keputusan untuk pulang ke kampung.
Menurutnya, dia juga membantu membuat persediaan dengan memasang sistem audio bagi program ceramah agama disampaikan oleh pendakwah jemputan oleh ahli jawatankuasa atau imam masjid itu sendiri.
“Tak berhibur tak apa, kerana saya suka dengan kerja sekarang, lebih baik duduk di masjid berbanding terbabit dalam aktiviti tidak bermanfaat,” katanya. – MyMetro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)