DAMSYIK – Tahun lalu, video kanak-kanak lelaki Syria, Omran Daquneesh berlumuran darah dan debu dalam sebuah ambulans selepas berlakunya serangan udara di Aleppo menarik perhatian seluruh dunia.
Terbaharu, gambar seorang bayi yang mengalami masalah kekurangan nutrisi akibat perang saudara di negara itu pula tersebar sekaligus menimbulkan kesedihan di hati seluruh umat Islam.
Memetik Mirror News, gambar bayi lelaki berkenaan dirakam di sebuah hospital di Hamouria yang terletak di timur Damsyik.
Pihak hospital memaklumkan, bayi lelaki berkenaan hanya memiliki berat 1.81 kilogram, bagaimanapun tidak dapat dipastikan berapa usianya.
Gambar itu adalah gambaran menyedihkan yang menimpa golongan kanak-kanak di Syria, bahkan banyak lagi kesengsaraan yang dialami mereka tetapi tidak direkodkan.
Jika tahun lalu, video Omran Daquneesh yang viral kelihatan bingung dan terkejut sambil dilihat mengelap darah di kepalanya.
Berdasarkan rakaman video, Omran seolah-olah tidak menyedari kecederaan yang dialami. Omran dilihat menyapu debu di dahinya dengan tangan sebelum menyedari ia berdarah dan meletakkan semula tangannya kembali di paha.
Mengikut kenyataan Doktor yang merawat kecederaan di kepala Omran berkata, kanak-kanak itu bersatu semula dengan ibu bapanya dan semua anggota keluarga dipercayai selamat dalam serangan yang berlaku.
Perang yang tercetus di Syria sudah mencecah tujuh tahun menyaksikan beratus-ratus ribu penduduk terbunuh dan lebih sejuta rakyat Syria kehilangan tempat tinggal. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my