Gerakan LGBT dan kediktatoran liberalisme

 

DUA kenyataan saya berhubung gerakan LGBT di Malaysia yang telah viral dan mendapat sambutan hangat minggu lalu telah dibuang oleh Facebook kerana dikatakan bertentangan dengan “community standards” mereka. Di dalam pernyataan tersebut saya mengkritik tindakan aktivis LGBT iaitu Nisya Ayub yang secara terang-terangan mempromosikan penzahiran (visibility) gaya hidup LGBT di Malaysia. Kedua-dua kenyataan saya dirakamkan oleh Ismaweb dan boleh dicapai di sini.

Perlu difahami bahawa perlakuan para aktivis LGBT ini bukan sahaja bertentangan dengan agama Islam yang merupakan agama persekutuan tetapi juga bertentangan dengan undang-undang negara. Jika mereka bertegas untuk mempromosikan aktiviti mereka dan memaksa masyarakat menerima gaya hidup songsang itu maka mereka boleh diambil tindakan undang-undang.

Golongan LGBT perlu menerima hakikat bahawa di negara ini mereka tidak bebas menzahirkan gaya hidup mereka. Jika mereka ingin mengubah hakikat ini mereka perlu merubah undang-undang dan sudah tentu ia akan ditentang oleh masyarakat Islam. Dan mereka perlu berani menghadapi tentangan umat Islam secara terbuka. Mereka tidak boleh melakukan perubahan kepada liberalisme itu secara senyap-senyap (creeping liberalisation) dengan cubaan-cubaan untuk menormalisasikan perkara yang bercanggah dengan norma dan sistem perundangan negara.

Apa yang saya nyatakan sebenarnya bukan ‘hate speech’ kerana kita tidak memberi gambaran yang salah atau mengancam golongan ini. Ia adalah penegasan sikap dan pendidikan agar mereka insaf dan kembali ke pangkal jalan. Kita tidak menyokong tindakan kekerasan kepada golongan LGBT, bahkan saya tegaskan bahawa kita tidak boleh menggunakan perkataan yang kasar, mencaci maki golongan ini. Sebaliknya mereka perlu diberi peringatan, diterangkan dan dinasihati agar mereka sedar dan mahu berubah.

Teguran terhadap golongan ini perlu dibuat atas dasar kasih sayang. Kita sebenarnya ingin menyelamatkan mereka daripada terjerumus dalam lembah kehinaan. Sebagai umat Islam kita bertanggungjawab melakukan amar ma’ruf nahi munkar, menyeru kepada kebajikan dan mencegah daripada kemunkaran. Kerana jika tidak kita akan menjadi umat yang dimurkai oleh Allah dan layak mendapat mala petaka.

Jelas sekali Facebook tidak memahami perbezaan antara ‘hate speech’ dengan penjelasan terhadap nilai dan sikap masyarakat Islam mengenai LGBT. Facebook menganggap apa sahaja penentangan terhadap gaya hidup LGBT sebagai bertentangan dengan ‘community standards’ padahal LGBT itulah yang sebenarnya bertentangan dengan ‘community standards’, nilai dan norma, umat Islam. Secara tidak langsung Facebook ingin memaksa umat Islam untuk menerima ‘community standards’ Barat yang menerima gaya hidup LGBT ini dan menolak sebarang kritikan terhadapnya. Facebook perlu faham bahawa norma sesuatu masyarakat berbeza dengan masyarakat yang lain. Apa yang diterima di Barat tidak semestinya diterima di negara-negara umat Islam.

Tindakan Facebook ini sebenarnya menunjukkan betapa mereka sendiri tidak bersikap liberal, bebas dan terbuka, terhadap pandangan orang lain. Ia adalah suatu bentuk kediktatoran liberalisme (dictatorship of liberalism), yang berusaha menekan kebebasan masyarakat bukan Barat untuk memiliki nilai dan budaya yang berlainan dengan nilai-nilai liberalisme. Kita tidak bebas untuk mengkritik dan menolak nilai dan amalan yang bertentangan dengan agama dan kepercayaan kita. Kita tidak boleh melakukan amar ma’ruf nahi munkar terhadap perkara yang bukan sahaja bercanggah dengan agama malah dengan norma manusia sejak zaman berzaman. Jika nilai dan norma masyarakat Barat berubah, yang mana tidak berapa lama dahulu LGBT dilihat sebagai sesuatu yang tabu dan hina tetapi kini sebaliknya, perubahan nilai ini tidak boleh dipaksakan kepada dunia Islam, kerana orang Islam pada umumnya masih berpegang teguh kepada ajaran Islam.

Kerajaan perlu sedar akan bahaya dan ancaman gerakan LGBT ini yang telah membelakangi sistem perundangan negara dan sistem nilai serta norma masyarakat setempat. Jika orang Islam tidak mematuhi undang-undang dengan cepat mereka akan dilabel ekstrimis dan pengganas, golongan aktivis LGBT ini terang-terangan membelakangi undang-undang negara dan mereka dipanggil sebagai pejuang kebebasan. Sewajarnya orang Islam mematuhi sistem perundangan tempat mereka bernaung, prinsip yang sama berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira agama dan bangsa, itulah prinsip kedaulatan undang- undang yang sememangnya telah diperkenalkan dalam tamadun Islam. Tampaknya di zaman globalisasi hari ini golongan LGBT ini terkecuali daripada prinsip kedaulatan undang-undang.

Para aktivis gerakan LGBT yang mendapat sokongan Facebook dan institusi-institusi Barat sebenarnya bukan sahaja membelakangi sistem perundangan negara bahkan ingin memaksakan LGBT melalui pintu belakang apabila cuba menormalisasikan aktiviti mereka yang bercanggah dengan undang-undang. Ini adalah sesuatu yang tidak sihat dan bertentangan dengan nilai-nilai liberal yang kononnya diperjuangkan oleh golongan ini.

Semoga Allah SWT merahmati kita dan melindungi negeri ini daripada bermaharajalelanya perbuatan keji dan munkar.

Profesor Madya Dr. Khalif Muammar A Harris
Pengarah CASIS UTM

Sumber: khalifmuammar.wordpress.com

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts