Gesa kerajaan haramkan aplikasi Sugarbook, bimbang pelajar Islam terjebak

 

PENDEDAHAN mengenai pembabitan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia ke kancah hubungan sosial ‘sugar baby-sugar daddy’ menggambarkan budaya hidup Barat sedang cuba menguasai mahasiswa yang merupakan pelapis generasi akan datang.

Kegiatan pelacuran di institusi pengajian tinggi memberikan gambaran kepada keruntuhan penting aset negara.

Lebih menyedihkan dua IPTA termasuk dalam senarai dan sebuah IPT untuk anak-anak Melayu turut tersenarai.

Lebih-lebih lagi apabila data menunjukkan rata-rata mahasiswa yang terbabit adalah dari bidang professional seperti kejuruteraan, undang-undang, teknologi dan sains komputer.

Di manakah nilai dan maruah wanita terpelajar apabila jalan sedemikian yang dicari, kononnya sebagai jalan penyelesaian kepada isu kewangan.

Di manakah timbangan akal apabila meletakkan pencarian sebegitu sebagai sumber yang halal buat mereka.

Wanita-wanita muda ini begitu mudah terpedaya dan menganggap diri mereka mempunyai harga yang boleh dibayar oleh lelaki-lelaki yang mahukan sesuatu dari mereka.

Konsep Sugarbaby ini adalah seorang wanita itu boleh meletakkan sesuatu harga pada dirinya untuk sesiapa sahaja yang mampu membayar demi mendapatkan wang.

Lelaki pula akan membayar apa sahaja harga yang dituntut untuk mendapatkan layanan wanita yang cantik dan muda.

Hakikatnya, ia tidak memberi sebarang jaminan terhadap wanita yang terlibat, melainkan hanya memberi sumber kewangan yang sememangnya haram. Ianya umpama satu sindiket pelacuran yang berlindung di bawah satu agensi temu janji.

Wanita ISMA menggesa kerajaan dan SKMM agar mengharamkan aplikasi ini yang boleh mengundang lebih ramai lagi anak-anak Islam terjebak.

Kerajaan perlu mengenakan hukuman yang berat kepada mereka yang terlibat. Menutup pintu-pintu atau jalan-jalan yang boleh membawa kepada perkara yang diharamkan atau dikenali sebagai Saddu Zarai’ adalah satu tuntutan.

Sudah sampai masanya institusi pengajian tinggi turut mengambil berat isu pemerkasaan ilmu agama dan kawalan kendiri dalam kalangan penuntut mereka.

Bahagian hal ehwal mahasiswa perlu menapis program-program pelajar agar tiada unsur-unsur pergaulan dan percampuran bebas antara lelaki dan perempuan.

Ia termasuk tidak memberi kebebasan penuh kepada mereka dengan meletakkan syarat-syarat sesuatu program itu untuk dilaksanakan.

Itu antara usaha jangka masa panjang yang boleh dilakukan untuk tidak membiasakan mereka dengan kehidupan bebas bercampur yang boleh membawa kepada kebebasan yang lebih teruk.

Tidak dinafikan cabaran pada masa akan datang pastinya lebih hebat dan mereka yang terlibat dengan perkara-perkara tidak bermoral ini adalah kerana telah biasa dengan kehidupan yang bebas.

Seharusnya, Kementerian Pengajian Tinggi memandang serius isu ini kerana melibatkan moral dan maruah generasi berpendidikan yang semakin dipijak dan begitu mudah diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seperti pengasas Sugarbook.

Dr Suriani Sudi
Ketua Wanita ISMA

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts