Kota Kinabalu: Menyedari kepentingan aplikasi media sosial seperti TikTok yang lebih dekat dengan golongan muda mendorong seorang guru ustaz menghasilkan video dakwah menggunakan platform terbabit.
Malah, guru agama sekolah rendah Islam swasta Norazuwan Mohd Yussof, 30, turut tidak menyangka inisiatif berkenaan membolehkannya dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Mencipta Video Nasihat TikTok sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah, tahun ini.
Norazuwan yang berasal dari Beaufort berkata, dia rasa bersyukur atas pengiktirafan berkenaan kerana idea membuat video berunsur nasihat diperolehi dengan merujuk sebuah komik.
“Saya dapat idea dengan merujuk sebuah buku komik berkaitan hadis dan kemudian mendapat idea membuat video dengan menggunakan ‘content’ dari filem Mat Kilau untuk dijadikan sebagai video nasihat.
“Seperti kita sedia maklum, video dari aplikasi TikTok cepat tersebar. Jadi sebagai orang Islam, kita gunakan dakwah untuk masuk ke dalam dunia sosial media ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), di sini, semalam.
Dalam pada itu, Norazuwan berkata, dia mula membuat akaun Tik Tok pada Khamis lalu dan video yang dipertandingkannya mendapat lebih 700,000 tontonan manakala jumlah pengikut melebihi 5,000 orang.
Menurutnya, berikutan itu, dia kini berazam akan terus menghasilkan video berunsurkan dakwah dan nasihat untuk ditonton orang ramai khususnya golongan muda.
“Insya-Allah, saya akan terus menghasilkan video dakwah dan mudah-mudahan dapat memberi manfaat kepada orang ramai yang menyaksikannya,” katanya.
Hadiah disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin. -My Metro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM