Hadiah Yang Mengingatkan Kematian

 

1. MENGINGATI kematian mampu menginsafkan jiwa. Usaha seorang usahawan dalam menghasilkan replika kubur ini mampu mengingatkan kita akan destinasi akhir kehidupan kita suatu hari nanti.

Sumber gambar: https://selongkar10.blogspot.com/…/tersentak-hati-bila-dapa…

2. Menurut Ibn Rajab al-Hanbali, golongan Salaf sangat bimbang akan perihal kematian mereka. Hadith yang diungkapkan oleh Nabi ﷺ tentang kematian yang buruk (su’ al-khatimah) menyebabkan mereka sentiasa berdoa agar meninggal dalam keadaan yang baik.

Sabda Rasulullah ﷺ:
وَإِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالخَوَاتِيمِ
Maksudnya: Sesungguhnya amalan itu (dinilai) pada pengakhirannya.

3. Ata’ al-Khaffaf sering ternampak Sufyan al-Thawri dalam keadaan menangis. Apabila ditanya, apakah yang membuatkan kamu menangis? Sufyan menjawab: “kerana aku bimbang bagaimana pengakhiran hidupku nanti”.

Tahukah kita siapa Sufyan al-Thawri? Menurut Imam al-Zahabi, Sufyan adalah “Penghulu Ulama di zamannya.” Imam Ahmad bin Hanbal pula menggambarkan peribadi Sufyan sebagai “Tokoh yang memenangi hatiku.” Sufyan al-Thawri adalah Imam Hadith yang tersohor. Menurut Yahya al-Qattan: Sufyan al-Thawri lebih tinggi kedudukannya dari Imam Malik.

Namun, walau tinggi ilmu dan kedudukan Sufyan al-Thawri, beliau masih lagi menangis setiap malam kerana bimbang akan bagaimana kematian yang akan dilalui.

 

 

4. Malik bin Dinar diriwayatkan bangun sepanjang malam. Beliau memegang janggutnya sambil berkata: Wahai tuhanku, sesungguhnya engkau telah mengetahui siapakah penghuni syurga dan neraka. Maka dimanakah Malik akan ditempatkan?

Tahukah kita siapa Malik bin Dinar? Beliau adalah tokoh al-Quran yang zuhud. Pernah belajar dengan sahabat Nabi yang tersohor iaitu Saidina Anas bin Malik. Malik bin Dinar juga adalah guru kepada Hasan al-Basri. Al-Zahabi menyifatkan beliau sebagai antara guru kepada ulama salaf yang terdahulu.

Walaupun diiktitiraf mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi salaf, Malik bin Dinar masih sangat risau akan bagaimana penghujung kehidupannya nanti.

5. Semalam kita digemparkan dengan kejadian yang sangat memilukan. Seorang Imam Palestin Dr. Fadi telah syahid terkorban dalam perjalanan ke solat Subuh. Ini adalah antara pengakhiran yang diimpikan oleh Muslim.Ini adalah kerana, mereka yang meninggal dalam melakukan amalan soleh akan dimasukkan ke dalam syurga. Menurut Saidina Huzaifah:

أَسْنَدْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم إِلَى صَدْرِي فَقَالَ : ” مَنْ قَالَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ ، ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ خُتِمَ لَهُ بِهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ ، وَمَنْ صَامَ يَوْماً ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ خُتِمَ لَهُ بِهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ ، وَمَنْ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ خُتمَ لَهُ بِهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ ”

Maksudnya: Rasulullah ﷺ meletakkan tangannya di dadaku lalu berkata: Barangsiapa yang mengucapkan Lailaha illallah dengan mengharap keredaan Allah, maka dia meninggal dengannya, Allah akan memasukkannya ke dalam syurga…

Begitu juga dengan sesiapa yang meninggal melakukan amalan baik yang lain seperti sedekah dan berpuasa dan dia meninggal dalam keadaan melakukan amal soleh tersebut maka Allah akan memasukkannya ke dalam syurga.

Mudah-mudahan Allah mengurniakan kita kematian yang baik.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts