Hagia Sophia kembali menjadi masjid

 

1.ALLAH Maha Besar. Hari ini selepas 86 tahun dijadikan muzium oleh pemimpin Sekular, akhirnya tapak bersejarah Hagia Sophia di Turki kembali menjadi masjid.

2. Keputusan ini diisytiharkan mahkamah Turki sebentar tadi yang membenarkan permohonan badan tempatan untuk memansuhkan tindakan pemimpin sekular Republik Turki yang pertama iaitu Mustafa Kamal Attaturk yang mengubah status Hagia Sophia daripada masjid kepada muzium pada 1935.

3. Pencetus utama langkah ini tentulah Presiden Turki hari ini, iaitu Recep Taayyip Erdogan yang menyifatkan tindakan mengubah Hagia Sophia (atau Ayasofya dalam sebutan Turki) kepada sebuah muzium merupakan satu ‘kesilapan besar’. Katanya, sudah tiba masanya binaan yang menjadi mercu tanda Istanbul itu diubah semula menjadi sebuah masjid.

4. “Hagia Sophia tidak akan dijadikan muzium. Status itu akan ditukar dan kita akan mula mengenalinya sebagai Masjid Hagia Sophia. Sesiapa yang datang ke Hagia Sophia akan menziarahinya sebagai sebuah masjid,” katanya pada 2019.

5. Hagia Sophia ditukar menjadi masjid pada 1453 ketika Uthmaniah menawan Istanbul atau juga dikenali sebagai Constantinople.

6. Hagia Sophia berfungsi kira-kira 500 tahun sebagai tempat ibadat Islam, menjadi model kepada masjid lain di kota itu antaranya Masjid Sultan Ahmed (Masjid Biru), Masjid Suleymaniye dan Masjid Rustem Pasha.

7. Kebanggaan Kristian Ortodoks dengan kemegahan gereja itu berakhir dengan kejatuhan Constantinople ke tangan Empayar Uthmaniyyah apabila Sultan Mehmed II, menguasai tempat itu yang kemudian dinamakan Istanbul pada 1453.

8. Baginda mengetuai solat Jumaat di situ dan mengarahkan bangunan itu diubah suai menjadi masjid. Arkitek terkenal Mimar Sinan diberi tanggungjawab memulihara bangunan itu. Sinan mereka bentuk dan memasang menara lambang masjid di luar selain mihrab dan mimbar, di dalam.

9. Hagia Sophia kekal sebagai masjid hingga 1935 apabila fungsinya ditukar muzium oleh Pengasas Turki Moden dan presiden pertama negara itu Mustafa Kamal Ataturk, pemerintah Republik Turki (1923-1938).

10. Selepas Empayar Uthmaniah tumbang, negara moden dan sekular Turki ditubuhkan sekali gus menyaksikan masjid itu dijadikan muzium pada 1935.

11. Keputusan Mahkamah Turki dengan sokongan kerajaan AKP pimpinan Erdogan ini pastinya mengundang pelbagai reaksi kuasa Barat – apatah lagi dalam keadaan Turki berdepan cabaran geopolitik di Libya, Syria, dan Cyprus.

12. Namun begitu, kerajaan Turki menegaskan bahawa kembalinya Hagia Sophia sebagai Masjid tidak bermakna lokasi berkenaan telah tertutup untuk dilawat oleh para pelancong dari seluruh dunia.

13. Keputusan ini pastinya bakal melonjakkan pengaruh kuasa lunak ‘soft power’ Turki dalam kalangan negara-negara Islam amnya dan pengukuhan pengaruh parti AKP pimpinan Erdogan dalam kalangan Islamis khususnya.

Oleh: Abdul Muein Abadi

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts