Hakikat yang semakin dilupakan

ustfauzi

 

Mukadimah

Beberapa hari lagi kita akan menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke 59. Kita menyambutnya sejak saban tahun dan akan terus menyambutnya hingga bila-bila. Apabila penjajah Inggeris keluar dari Tanah Melayu, itu adalah nikmat Allah bagi kita. Walau pun saki bakinya masih meninggalkan kesan, tetapi penderitaan itu menjadi sedikit ringan dan ruang untuk bernafas bertambah luas.

Barat tidak datang ke negara kita hanya semata-mata untuk berdagang. Walau pun banyak hasil negara kita yang diangkut keluar, tetapi mereka tidak berpada setakat itu sahaja.

 

Pertembungan Islam – Salib Eropah

Pertembungan Barat dan Islam bukanlah satu pertembungan yang bermula baru semalam. Sebaliknya sudah pun bermula semenjak zaman Rasulullah saw melalui usaha Empayar Rum memerangi Rasulullah saw dan orang Islam lainnya di zaman itu. Kemenangan Islam di Muktah, Tabuk, Yarmuk, pulau Cyprus, pembukaan Mesir yang membawa kepada pembukaan Afrika Utara dan pembukaan Baitul Maqdis dan bumi Syam memberi luka yang amat dalam kepada Eropah. Pembukaan Andalus, dua kurun siri-siri peperangan Salib dan seterusnya pembukaan Konstantinople membekas dendam yang tidak kesudahan. Hari ke hari Eropah mencari jalan untuk membalas dendam terhadap Islam dan umatnya.

Kejatuhan Andalus ke tangan Sepanyol dan penemuan Tanjung Pengharapan oleh Eropah, memberi mereka nafas baru untuk membalas dendam terhadap Islam. Jalan laut direntas menuju ke Timur merentas Laut Merah, Laut Hindi dan seterusnya ke lautan Melayu.

Malangnya sejarah dikaburi. Hakikat bahawa mereka datang untuk menghapuskan Islam ditenggelamkan oleh aktiviti perdagangan yang mereka lakukan. Lalu yang kelihatan adalah kerakusan pedagang dan bukannya permusuhan agama. Kerakusan perdagangan adalah satu sikap yang buruk. Tetapi permusuhan agama lebih buruk dari itu. Apabila kita merdeka, ekonomi jika kita dapat bangunkan kembali pun, permusuhan agama ini tetap berterusan dan tidak selesai juga. Akhirnya ekonomi yang berjaya dibangunkan kembali oleh anak watan pun akan jatuh juga sebab ekonomi anak watan itu akan dianggap ancaman kerana memberikan kekuatan untuk agama Islam.

 

Portugis dan Misi Salib

Portugis datang ke Melaka pada 1511. Kalau Portugis tidak datang kerana dendam agama, kenapa Diogo Lopes De Sequeira pada tahun 1508 diberikan misi mencari orang-orang Kristian di alam Melayu untuk dikongsikan tentang misi Portugal ‘meninggikan dan menyebarkan iman Katolik kita yang mulia’? Surat dari Raja Menuel, Raja Portugal kepada Pope Leo X lebih menjelaskan dendam agama ini.

Tulisnya di Lisbon pada 8 Jun 1513:

“Ketika bandar itu (pelabuhan Melaka) ditawan dan musuh dikalahkan, Albuquerque membina sebuah kubu yang dikelilingi lautan dan daratan, yang terletak di permulaan sungai yang mengalir ke bandar. Kubu itu dibina di tempat yang paling selamat sebagai perlindungan. Ia ada banyak dinding yang lebarnya 15 kaki menggunakan batu-batu yang diambil daripada makam-makam Saracens (gelaran orang Portugis kepada orang Islam) yang telah hancur. Segala pujian dan syukur kepada tuhan. Usaha kita demi agama Kristian ini akan mendapat bantuan tuhan.”

Tulisnya lagi:

“Ketika hampir tiba di Dabul, tidak jauh daripada Goa, satu rombongan datang ke kerajaan kami. Mereka adalah wakil Lord Kristian, Preste John. Beliau menawarkan semua kekayaannya, pasukan tentera dan kelengkapan senjata untuk keperluan melawan musuh ajaran Katolik. Tawaran ini diberikan jika kapal kami terpaksa melintasi Laut Merah yang berdekatan dengan kawasan takluknya. Di sana tentera-tentera kami akan dapat bertemu dengan mudah. Dia menghantar kepada kami salib yang dibuat daripada kayu dengan saiz yang sesuai.”

“Dengan campur tangan Tuhan, tentera Preste John bergabung dengan tentera kami di bawah bendera salib, dan akhirnya menghasilkan ibadah terbaik untuk tuhan dan dapat merosakkan dan menghina puak Mohamed. Di kawasan-kawasan yang jauh pula di Timur Jauh, di kawasan yang telah terdengar suara Rasul, satu pakatan perlu diwujudkan dengan tentera kita di Barat dan mereka perlu menyerahkan diri mereka kepada agama ini, sebagai penghormatan kepada agama ini.”

 

Belanda dan Misi Salib

Jika begitulah Portugal, Belanda pula datang sebagai penyambung misi Portugal dan bukan sebagai kuasa yang menjatuhkannya. Jika benarlah seperti didakwa bahawa mereka juga datang semata-mata untuk berdagang di Melaka, kenapa dihancurkan potensi perdagangan Melaka dan ditumpukan kepada pembangunan Batavia sebagai pelabuhan dagang?

Kenapa perlu diterjemahkan Bible ke dalam Bahasa Melayu jika penjajah yang datang hanya boleh membaca Bible di dalam Bahasa Belanda? Kepada siapa Bible Bahasa Melayu itu ditujukan kalau bukan kepada orang Islam Melayu? Penterjemahan Bible ke dalam Bahasa Melayu adalah satu keganjilan bagi pedagang di dalam dunia perdagangan. Bermula dari tahun 1628, bermulalah penterjemahan Bible ke dalam Bahasa Melayu dan penulisannya di dalam tulisan Jawi. Ia dimulakan kali pertama dan tidak melibatkan keseluruhan Bible oleh Albert Cornelius Ruyl dan Jan Van Hasel. Mereka adalah pedagang yang bekerja untuk Dutch East India Company. Diteruskan langkahnya oleh Rev Daniel Brower pada tahun 1662 dengan mendapat pembiayaan dari Dutch East India Company. Penterjemahan lengkap diusahakan oleh Dr Melchior Leidekker pada tahun 1691. Lagi sekali dibiayai oleh Dutch East India Company.

Sebelum ini tidak ada Bible yang menggunakan bahasa selain bahasa Eropah. Dengan kedatangan Belanda ke Melaka pada kurun ke 17, bermulalah penterjemahan Bible dan Bahasa Melayu menjadi bahasa Bible pertama selain bahasa-bahasa Eropah. Penterjemahan Bible ke dalam Bahasa Melayu bukanlah suatu yang mudah bagi orang Belanda. Selain banyaknya cabang dialek Bahasa Melayu, kesukaran seterusnya adalah memahami peribahasa Melayu yang sesuai untuk penterjemahan ditambah dengan kesukaran ejaan Jawi.

Bible Bahasa Melayu ditujukan kepada orang-orang Melayu dan bukan ditujukan kepada orang Eropah di Tanah Melayu kerana mereka sudah ada Bible dalam bahasa mereka sendiri. Usaha perterjemahan yang dibiayai kosnya oleh syarikat perdagangan Belanda ini menunjukkan bahawa misi dagang bukanlah satu-satu misi kedatangan Belanda ke Tanah Melayu. Sebaliknya misi penyebaran Kristian  di kalangan umat Islam Melayu adalah juga objektif yang utama.

 

Inggeris dan Misi Salib

Seterusnya datanglah pula Inggeris dengan segala tipu dayanya dan kehalusan makarnya. Inggeris mengaut hasil bumi Tanah Melayu dengan banyak. Lombong-lombong timah di Larut, Lukut dan tempat-tempat lain habis dirampas. Pelbagai jenis cukai dikenakan ke atas orang Melayu secara paksa. Tanah-tanah diambil dengan pelbagai cara lalu dibuka ladang-ladang untuk menambah hasil mereka. Jalanraya dan jalan keretapi dibuka untuk memudahkan urusan pengangkutan hasil dagang mereka. Sehingga akhirnya kaya rayalah Britain sehingga ke hari ini.

Tetapi kenapa dengan hasil yang banyak yang mereka perolehi, mereka mahu juga mencampuri urusan orang-orang Islam di bumi ini?

Jika mereka datang hanya untuk berdagang, kenapa mereka mengembangkan undang-undang Barat dan menubuhkan mahkamah mereka di Tanah Melayu? Kenapa mereka menghapuskan Mahkamah Balai (mahkamah di bawah Sultan) pada tahun 1920? Kenapa diletakkan Mahkamah Kadhi lebih rendah dari Mahkamah Majistret Kelas Kedua dan kemudiannya mengeluarkannya dari bidang kuasa Persekutuan selepas 1948 lalu dihadkan bidang kuasanya ke satu ruang yang amat sempit? Kenapa Residen British mempunyai kuasa memecat Hakim Mahkamah Kadhi?

Jika mereka hanya datang untuk berdagang, kenapa mereka menubuhkan sekolah-sekolah Inggeris yang dengan jelas mempromosikan Kristian dan gaya berfikir Barat. British menubuhkan Penang Free School (1618), Malacca Free School (1826), Raffles Institution (1863), Victoria Institution (1894) dan King Edward VII (1906). Belum termasuk lagi rangkaian sekolah Anglo Chinese School, St John, St Paul dan Convent. Untuk golongan elit Melayu mereka menubuhkan Malay College Kuala Kangsar pada 1905. British juga memperkenalkan biasiswa Queen pada 1885 dan Sijil Cambridge pada 1891. Manakala Sekolah-sekolah Melayu pula mengalami nasib malang apabila ianya juga turut diganggu. Matapelajaran agama dan al-Quran diketepikan lalu diajar hanya di sebelah petang.

Jika isu ekonomi sahaja yang menjadi faktor pencerobohan Brtish, tidaklah mereka memerangi Tok Janggut yang hanya mampu mengurangkan cukai penduduk Kelantan kepada British sebanyak $1300.00 sahaja pada permulaan kempennya. Sedangkan hasil negeri yang dikutip oleh British pada tahun 1914 adalah sebanyak hampir $800,000.00. Tetapi kempen Tok Janggut agar orang Kelantan menyokong Turki Othmaniah dalam Perang Dunia Pertama, itu dilihat lebih dominan sebab faktor kenapa Tok Janggut dibunuh, dan itu adalah faktor agama.

 

Meneruskan Perjuangan Silam

Barat tidak keluar dari Tanah Melayu begitu sahaja. Sebaliknya dia meninggalkan sesuatu yang boleh menjamin kepentingannya untuk tempoh yang panjang.  Barat meninggalkan kepada negara ini undang-undangnya, sistem ekonominya, sistem pendidikannya, budayanya, cara berfikirnya, syarikat-syarikatnya dan generasi yang kagum dan berkiblat kepadanya. Kalaulah benar seperti difahami oleh sebahagian bahawa Barat datang hanya untuk berdagang, segala kekayaan yang mereka angkut keluar sudah cukup bagi mereka. Tetapi kerana misi menghancurkan Islam itu masih belum selesai, maka mereka terus menerus wujud di negara ini dalam bentuk yang pelbagai untuk menghilangkan budaya dan kehidupan beragama.

Menjadi kewajipan generasi ini untuk memahami hakikat penjajahan dan hakikat kemerdekaan. Lalu dengan itu menyambung perjuangan generasi silam. Bukan pada melaungkan merdeka dan mengibarkan bendera sahaja, sebaliknya meneruskan usaha untuk mendaulatkan Islam di negara ini kerana pertarungan itu belum berakhir. Terus berjuang sehingga mencapai kemerdekaan hakiki sebagaimana yang disebut oleh Allah di dalam al-Quran:

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahwa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa dimuka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diridhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentausa. Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” (An-Nur: 55)

Wallahu a’lam

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni

www.indahnyaislam.my

http://isma.org.my/v2/pejuang2016

Total
0
Shares
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts