1. IKATAN pernikahan adalah suatu yang suci kerana kemaluan wanita adalah suatu yang terpelihara. Akad nikah itu suatu yang perlu dilakukan dengan teliti kerana ianya menghalalkan kemaluan wanita bagi seorang lelaki. Sabda Rasulullah saw:
إن أحق الشرط أن يوفى به ما استحللتم به الفروج
“Syarat perjanjian yang paling utama untuk ditunaikan adalah syarat perjanjian di dalam akad (nikah) yang menghalalkan kemaluan wanita.” (Riwayat Muslim)
2. Kerana itu ikatan yang menyatukan lelaki dan wanita sebagai suami isteri mesti dilakukan tanpa ada sebarang syubhat dan keraguan. Syarat asasnya mesti ada wali, kerelaan kedua pihak lelaki dan wanita, dua orang saksi lelaki, ada akad ijab qabul yang jelas menunjukkan persetujuan nikah. Semuanya mesti Islam sudah tentunya.
3. Di zaman yang dipenuhi muslihat ini pula, dokumen bertulis menjadi syarat keperluan untuk menjadikan pernikahan tersebut ada implikasi syarak seperti pewarisan, nafkah, nasabkan anak (bin kepada bapa), hadhanah dan sebagainya. Di Mesir ulamak menolak ‘nikah urfi’; iaitu nikah yang cukup rukun nikah tapi tidak ada dokumen rasmi dari pihak berwajib. Kerana membenarkan nikah tanpa dokumen bertulis hanya akan membuka ruang kepada dakwa dakwi yang merosakkan masyarakat.
4. Pernikahan dianggap syubhat (diragui) jika salah seorang pasangan diragui kelayakannya untuk bernikah seperti gila, murtad, dipaksa dan sebagainya. Juga dianggap syubhat jika tiada orang yang mengaku menjadi saksi. Dan banyak lagi perkara lain yang boleh menjadikan pernikahan itu syubhat.
5. Bila pernikahan itu syubhat, perkara pertama yang perlu dilakukan oleh pihak berwajib atau wali kepada perempuan itu adalah memisahkan kedua pasangan tersebut itu dengan segera. Jika pasangan itu bersetubuh di dalam pernikahan yang syubhat itu, persetubuhan itu menjadi ‘wati syubhah’ iaitu persetubuhan syubhah.
6. Dalam tempoh pemisahan, hendaklah dijalankan siasatan dan seumpamanya hingga perkara yang syubhat tadi menjadi jelas. Setelah jelas, bolehlah disatukan semula jika memang bertepatan dengan syarat syarak. Atau dipisahkan terus jika memang syarak tidak membenarkan mereka bersatu sebagai suami isteri.
7. Jika bersatu juga dalam keadaan jelas tidak menepati syarat syarak, maka nikahnya bukan subhat tetapi batal. Persetubuhan mereka di dalam nikah yang batal bukannya ‘wati’ syubhah’ tetapi adalah zina.
8. Berhati-hatilah di dalam isu pernikahan. Ini tulisan untuk orang Islam sahaja.
Orang bukan Islam, terpulanglah …. mereka ada cara mereka sendiri. Tapi kita sebagai orang Islam, ikutlah cara yang Allah tetapkan.
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)