SEMENANJUNG GAZA – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) berjanji akan menghancurkan Israel sekiranya rejim itu mencetuskan lagi peperangan di Jalur Gaza.
Pemimpin Hamas di Gaza, Yahya Sinwar berkata, walaupun pergerakan itu tidak mahu memulakan peperangan, namun ia bersedia untuk mengambil alih kuasa rejim Tel Aviv bila-bila masa.
“Kami tidak mencari konfrontasi dengan Israel, tetapi jika konfrontasi itu berlaku, kami akan menghancurkan mereka,” katanya.
Beliau yang dilantik pada Februari lalu menggantikan Ismail Haniyeh untuk mengetuai pergerakan politik di Gaza berkata, langkah bodoh Israel terhadap Gaza akan menerima respon yang lebih besar berbanding pencerobohan rejim itu pada 2014.
Julai diisytihar sebagai ulang tahun ketiga perang 51 hari Israel terhadap Gaza yang menyebabkan lebih daripada 2,200 orang terbunuh dan lebih 11,000 cedera.
Semenanjung Gaza telah berada di bawah pengepungan Israel sejak Jun 2007. Sekatan dan serangan udara menyebabkan kemerosotan taraf hidup, pengangguran serta kemiskinan teruk berlaku kepada penduduk Gaza.
Sinwar berkata, Gaza mempunyai harapan untuk membaik pulih keadaan itu berikutan beberapa kejayaan dalam rundingan dengan Mesir untuk membuka semula laluan Rafah.
Malah katanya, terdapat juga perbincangan mengenai peningkatan keadaan elektrik di Gaza, yang berdepan gangguan harian sejak beberapa bulan lalu. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my