GAZA – Regim Israel perlu bertanggungjawab atas tindakan membunuh komander sayap bersenjata pergerakan Islam, Hamas, Sabtu.
Anggota tertinggi Hamas mengecam sekeras-kerasnya perbuatan itu dengan menyifatkan Israel sangat kejam.
Mazen Fuqaha, 38, yang merupakan Komander Briged Izzuddin al-Qassam ditemui maut dengan empat das tembakan di kepala dalam insiden yang berlaku di pintu masuk rumahnya.
Pengasas bersama Hamas, Mahmoud al-Zahar yang dipetik portal Press TV sebagai berkata, pergerakan itu kini berazam untuk melenyapkan pengintip dan tentera upahan yang digerakkan Israel di Genting Gaza.
“Satu operasi besar-besaran akan digerakkan bagi mengenal pasti kesemua pihak yang bertanggungjawab dalam serangan itu dan kita akan membalas dendam,” katanya ketika menyertai ribuan penyokong pergerakan itu menghadiri pengebumian Mazen.
Jelas beliau, Hamas mempunyai pelbagai kemampuan untuk bertindak balas terhadap Israel.
“Tiada perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel yang bermakna kedua-dua pihak secara teknikalnya sedang berperang dan api peperangan boleh menjadi marak pada bila-bila masa,” katanya.
Selain itu, Briged Izzuddin al-Qassam dalam kenyataannya turut mengecam pembunuhan Mazen dan mendakwa pihak berkuasa Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kematian pemimpin mereka.
“Rejim Zionis akan menyesal dengan perbuatannya dan mereka patut tahu jika bermain dengan api, mereka akan hangus,” kata kenyataan pergerakan itu.
Hamas hari ini dilaporkan menutup pintu sempadan antara Genting Gaza dan Israel, isyarat ketegangan antara kedua-dua pihak semakin memuncak. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my