SHAH ALAM – Pensabitan isteri sebagai nusyuz hanya boleh dilakukan oleh Mahkamah Syariah dan bukannya dakwaan oleh suami secara lisan.
Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, seorang suami tidak boleh sewenang-wenangnya mengisytiharkan isteri sebagai nusyuz tanpa memfailkan permohonan di mahkamah berhampiran tempat bermastautin.
“Undang-undang menetapkan pensabitan sama ada seorang isteri nusyuz atau tidak, hanya boleh ditentukan oleh Hakim Mahkamah Syariah mengikut Seksyen 59 (2) Akta Enakmen Undang-undang Keluarga Islam.
“Oleh itu, untuk melepaskan tanggungjawab suami memberi nafkah kepada isteri atas dasar nusyuz, bukan dengan cara suami yang mengisytiharkan (isteri nusyuz). Selagi tiada permohonan di mahkamah, maka isteri dianggap taat sekali gus suami masih bertanggungjawab memberi nafkah.
“Apabila seorang isteri telah disabitkan sebagai nusyuz (oleh mahkamah), maka suami tidak lagi bertanggungjawab untuk memberi nafkah. Itu kesan daripada sudut hukum yang diperuntukkan dalam Seksyen 59,” katanya ketika program Celik al-Quran 4:34 dengan tajuk ‘Siapa Yang Nusyuz: Isteri @ Suami’ yang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Ahad.
Turut diundang sebagai panelis adalah Pengarah Sebarkan Bahagia, Fatimah Syarha Mohd Nordin, manakala Pengasas Akedemi Dr Har, Datuk Dr Harlina Halizah Siraj bertindak sebagai moderator.
Dalam pada itu, Mohd Na’im yang juga Ketua Hakim Syarie menegaskan, seorang isteri yang meninggalkan kediaman atas dasar menyelamatkan diri daripada keganasan rumahtangga tidak boleh disabit sebagai nusyuz, malah suami yang boleh disabitkan dengan perbuatan itu.
“Isteri yang dipukul (dan) keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri daripada kezaliman, selagi mana suami tidak memfailkan sabitan nusyuz di Mahkamah Syariah, tetap dianggap taat (walaupun) dia keluar daripada rumah tanpa izin suami.
“Namun masyarakat sering salah anggap apabila isteri keluar rumah atas dasar untuk menyelamatkan diri, bimbang dikatakan nusyuz, (maka) dia tinggal juga di rumah hingga mengalami kecederaan akibat keganasan suami, ini yang perlu diperbetulkan,” ujarnya.
Cari penyelesaian terbaik, elak nusyuz suami isteri
Sementara itu, pasangan suami isteri yang sedang menghadapi konflik rumahtangga perlu mengambil tindakan awal bagi menyelesaikan perselisihan tersebut
Fatimah Syarha berkata, keadaan itu tidak boleh dibiarkan kerana akan melumpuhkan fungsi pasangan yang akhirnya menyebabkan matlamat perkahwinan gagal dicapai.
“Kebijaksanaan untuk mencegah sebelum merawat adalah lebih baik dan apa sahaja yang berkaitan dengan kemurkaan ALLAH, kita perlu perbaiki dan bukan melabel pasangan dengan perkataan yang kita sendiri tidak mahu (dilabelkan).
“Implikasi nusyuz amat buruk dalam kehidupan pasangan suami isteri (dan) antara langkah pencegahan seperti yang tercatat dalam al-Quran menerusi Surah an-Nisa’ ayat 19 ialah, jika kamu tidak suka yakni kalau suami tidak suka kepada isteri, bersabarlah kerana mungkin apa yang kamu tidak suka, ALLAH jadikan ia satu kebaikan. ALLAH bukan suruh ceraikan (isteri) kalau tidak suka.
“Ini antara kebijaksanaan yang ALLAH ajar (iaitu) sabar, (namun) jika keadaan tidak mampu dipulihkan, kita akui talak adalah jalan penyelesaian, tetapi bukan (dilafazkan) semberono, semudah itu sahaja,” katanya.
Dalam pada itu Fatimah Syarha berkata, istilah nusyuz tidak boleh dilabel kepada pasangan secara lisan kerana hanya Mahkamah Syariah yang layak mensabitkan suami atau isteri atas perbuatan berkenaan. – Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM