Haram pelihara, jual beli ular

PUTRAJAYA: Umat Islam di negara ini dinasihatkan agar tidak memelihara ular kerana hukumnya adalah haram dari segi syarak selain dilarang melaksanakan transaksi jual beli reptilia itu.

Demikian pandangan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-640 berhubung hukum bagi individu Islam bela ular dan berniaga binatang berkenaan.

“Hal ini kerana ular termasuk dalam kelompok fawasiq atau haiwan pengganggu dan tiada pun manfaat untuk diperdagangkan,” kata agensi tersebut menerusi laman sesawang rasminya.

Jawapan itu dikeluarkan susulan tular dalam kalangan warganet melalui media sosial yang memaparkan binatang liar tersebut dibela di rumah selain ada mempromosikan bisnes ular tertentu.

PMWP merumuskan bahawa setiap barangan jualan yang tidak ada nilai manfaat adalah hukum tidak sah transaksi kerana tidak menepati muamalat syarat jual beli.

Ular adalah antara haiwan berbahaya dan memberi mudarat kepada manusia bahkan ada riwayat hadis yang menunjukkan Rasulullah SAW memerintah agar ular dibunuh jika ditemukan.

Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan daripada Abdullah Mas’ud apabila baginda memerintahkan orang yang sedang berihram untuk membunuh ular di sekitar Mina.

Menurut Imam Nawawi dalam kitab fiqh Syarah al-Nawawi ‘ala Muslim, hadis sahih tersebut menunjukkan hukumnya adalah sunat dibunuh haiwan itu untuk menghindari kemudaratan.

“Ini juga disokong hadis riwayat Muslim dan Bukhari bahawa Rasulullah SAW bersabda yang ular, gagak hitam campur putih, tikus, anjing gila dan helang boleh dibunuh,” jelas PMWP.

Lima binatang itu dirujuk baginda sebagai fawasiq atau haiwan perosak dan berdasarkan dalil itu, majoriti ulama bersepakat harus dibunuh sama ada di tanah haram atau luar tanah suci itu.

Justeru, ramai fuqaha seperti Ibn Hajar al-Haitami dan Imam al-Zarkasyi menyatakan individu mukallaf haram membela lima binatang pengganggu itu termasuk anjing di dalam kediaman.

Situasi tersebut membawa kepada hukum tidak sah jual beli haiwan itu yang turut meliputi kala jengking, kumbang, tikus, semut dan seumpamanya kerana tidak memberi nilai manfaat.

Jelas PMWP, pandangan berkenaan transaksi bisnes itu juga ada dihuraikan dengan agak terperinci oleh Imam al-Nawawi dalam kitab karangannya, Raudah al-Talibin wa Umdatul Muftin.

Sehubungan itu, fuqaha turut bersepakat bahawa tidak boleh dijual beli hasyarat atau haiwan kecil tersebut kerana tidak menepati syarat barang jualan yang mestilah ada nilai manfaat.

Bagaimanapun jika mempunyai manfaat seperti ulat sutera dan lebah madu, ia dihukum harus boleh dijual beli berdasarkan kitab kontemporari, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah. – Utusan Malaysia

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts