Haram podcast berunsurkan persundalan buka aib peribadi

Sejak akhir-akhir ini, pihak kami mendapati wujud perkembangan pembangunan content (kandungan) di media sosial yang memaparkan segmen bual bicara bersama individu ataupun pihak yang terlibat dengan gejala sosial (reality showcase) yang sedang berlaku dalam kehidupan masyarakat.

Pada asalnya, penyiaran segmen berkenaan bertujuan memberikan kesedaran kepada umum agar masyarakat sekeliling dan pihak berkuasa dapat mengambil langkah yang sewajarnya.

Secara zahirnya, penyiaran segmen sedemikian bermotifkan kebaikan seakan-akan bertepatan dengan konsep amar makruf nahi mungkar dalam Islam. Namun pada masa yang sama, ia sebenarnya secara tidak langsung turut meninggalkan kesan-kesan negatif kepada masyarakat. Lebih-lebih lagi, apabila individu yang terpalit dengan jenayah sivil mahupun syariah telah diangkat secara terbuka di khalayak sehingga menampakkan bahawa seolah-olah kesalahan mereka merupakan suatu perkara yang normal dan boleh diterima. Walhal, kesalahan yang dilakukan turut termasuk dalam kategori dosa besar iaitu berzina dan persundalan. .

Pengharaman Zina dan Persundalan Dalam Islam

Zina dan persundalan merupakan suatu perbuatan yang tercela dan boleh mendatangkan kerosakan kepada institusi kekeluargaan dan juga negara. Dalil daripada nas syarak jelas tentang pengharaman zina dan segala perbuatan yang mendorong ke arahnya. Para ulama bersepakat bahawa syariat Islam diturunkan untuk menjaga lima tonggak utama(dharuriyyat al-khamsah) dan salah satu daripadanya adalah menjaga keturunan.Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).

Surah al-Isra’ (32)

Syeikh al-Maraghi dalam mensyarahkan ayat di atas menyatakan bahawa perbuatan zina merupakan perbuatan yang jelik dan memberi kesan yang sangat buruk seperti percampuran nasab dan memporak-perandakan keharmonian sistem kekeluargaan. Bahkan kelakuan tersebut boleh diumpamakan sebagai gaya hidup binatang.

Menurut fiqh mazhab Syafi’i, sunat kepada pelaku zina dan maksiat untuk menutup keaiban diri mereka.Dalam satu hadis Rasulullah SAW:

كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلاَّ الْمُجَاهِرِينَ، وَإِنَّ مِنَ الْمَجَانَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً، ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ، فَيَقُولَ يَا فُلاَنُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ

Maksudnya: Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘’Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini’’. Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinyalalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.

Riwayat al-Bukhari

Penzina yang berbangga dengan maksiat yang dilakukan malahan menyebar pula kelakuan sundalnya itu, maka Allah SWT tidak akan memberi kemaafan kepadanya. Syeikh Nawawi al-Bantani al-Jawi menukilkan kata–kata ulama sufi yang menyatakan bahawa sesiapa yang melakukan kemaksiatan dalam keadaan gembira maka Allah SWT akan melemparkannya ke dalam neraka dalam keadaan dia menangis teresak-esak.Golongan yang menganjurkan podcast atau bual bicara yang mengangkat penzina dan kandungan yang berunsurkan persundalan adalah haram. Hal ini berdasarkan kaedah fiqh:

وَمَا أَدَّى إلَى الْحَرَامِ فَهُوَ حَرَامٌ

Maksudnya“Sesuatu yang membawa kepada haram adalah haram”.

Islam memuliakan wanita, mengangkat wanita pada kedudukan yang tinggi. Bahkan memelihara maruah wanita daripada dinodai. Prinsip pembawakan Malaysia Madani iaitu HORMAT (A) bermaksud hormat diletakkan di atas hak asasi manusia dan maruah. Sebagai rakyat Malaysia perlu untuk menghayati prinsip Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

Dalam konteks perundangan negara, mereka yang bergelumang dalam aktiviti palacuran dan persundalan boleh dikenakan tindakan undang-undang sebagaimana Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 (Akta 106) yang melarang mana-mana individu mempergunakan wanita bagi tujuan pelacuran. Sekiranya didapati bersalah seseorang yang terbabit boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Manakala dalam perundangan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan, terdapat peruntukan RANG UNDANG-UNDANG KESALAHAN JENAYAH SYARIAH (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1996, Bahagian IV (kesalahan yang berhubung dengan kesusilaan) seksyen 21, mereka yang melakukan kesalahan pelacuran boleh dikenakan denda, penjara, sebatan atau kesemuanya sekali.

Kesimpulan

Penggunaan podcast sebagai platform untuk membuka aib peribadi seseorang adalah termasuk dalam perbuatan menzahir kemaksiatan dan perbuatan ini diharamkan oleh syarak. Apatah lagi menjadikan penzina sebagai tetamu undangan untuk menceritakan perbuatan maksiatnya tanpa rasa malu dan berdosa. Walaupun kaedah ini berpotensi memberikan keuntungan dari sudut material, namun pada masa yang sama ia turut meninggalkan kesan yang buruk kepada masyarakat dengan mempromosikan penzina secara tidak langsung. Hal ini kerana, golongan pengguna media sosial terdiri daripada latar belakang yang berbeza. Bahkan, sebahagian daripada mereka tidak berupaya memahami mesej secara tersirat malah tidak mampu untuk menapis dan menyaring setiap maklumat yang disampaikan. Sejajar dengan itu, hal ini boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat seterusnya mendorong kepada perbuatan maksiat.

“Apabila kamu diuji dengan maksiat, maka hendaklah kamu menutupnya dan tidak menceritakan kepada orang lain”

Wallahua’lam.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts