Haram tayang badan demi menunjuk-nunjuk dan raih perhatian

Menjual durian sambil ‘tayang badan’. Itu yang dapat disimpulkan oleh warga maya apabila tular gambar pemuda menjual raja buah itu tanpa berpakaian.

Paparan imej itu mendapat perhatian ramai gara-gara susuk tubuhnya yang kekar atau diistilahkan kebanyakan orang sebagai ‘sado’.

Pendekatan pemasaran sebegitu dilihat mengundang kecaman dan reaksi kurang senang orang ramai di media sosial.

Ada antara netizen seperti Zawirawati Zakaria meninggalkan komen: “Orang jual durian pakai baju…ni saja nak tayang badan pula…apalah nak jadi.”

Seorang lagi warganet, Wan Mohd Allif menyatakan: “Terdesak tu jangan tunjuk sangat. Moga ada rezeki lebih mampu beli singlet.”

Sekalipun aurat lelaki bermula dari pusat hingga ke lutut, tetapi ia tidak boleh sewenang-wenangnya dibuat main lebih-lebih lagi dengan niat lain.

Pendakwah Ustaz Zul Hamat ketika mengulas tentang hukum tayang badan ‘sado’ menjelaskan andai lelaki berkenaan berbuat demikian dengan niat orang memuji, menunjuk-nunjuk mahupun memperlihatkan diri kepada orang lain, ia boleh jatuh haram.

Bukan itu sahaja, beliau turut membuat teguran terhadap kaum Adam yang mengenakan pakaian, tetapi tidak menepati syariat.

“Ada yang mengenakan pakaian nipis dan ketat hingga menampakkan aurat, lekuk-lekuk tubuh atau sejenisnya, maka pakaian itu tidak boleh dikenakan,” tegasnya.

Ia bertepatan dengan hukum ALLAH SWT sebagaimana dijelaskan menerusi firman-NYA: “Hai anak Adam, sesungguhnya KAMI telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan.” (Surah al-A’raf, ayat 26)

Sementara itu, pendakwah terkemuka Ustaz Azhar Idrus dalam sebuah video menjelaskan, andai seseorang lelaki yang berbadan sasa mengenakan baju T ketat dengan niat untuk menunjuk-nunjuk, perbuatan itu diharamkan sama sekali.

“Tak boleh buat begitu. Ia sama dengan contoh orang yang memakai topi, tetapi berniat untuk tunjuk ‘lagak’, ia tidak dibolehkan.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).


Menurut laporan Sinar Harian, pihak berkuasa agama itu sudah menasihatkan agar lelaki bertubuh sasa yang tidak berpakaian ketika menjual durian tidak lagi berbuat demikian.

Ia bertujuan bagi menjaga diri daripada fitnah, sekali gus meraih keberkatan dalam urusan perniagaan, kata Ketua Penolong Pesuruhjaya Kanan (Bahagian Dakwah) JHEAT, Zahari Sulong.

“Walaupun lelaki itu menutup aurat, tetapi netizen dan orang ramai akan bercakap mengenai perkara tersebut yang tidak elok. Apabila berada di tempat orang awam, tidak sepatutnya dia menayangkan badan seperti itu.

“Sepatutnya semua kita kena jaga. Kena tutup aurat ‘comel’ dan ‘molek’ sebab kita mahu jaga imej serta maruah diri. Dari situ, insya-ALLAH akan ada limpahan rezeki kepada setiap orang yang mencari rezeki halal,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Sinar Harian

Sinar Islam Plus difahamkan, terdapat peraturan berkaitan perbuatan mendedahkan tubuh di tempat awam yang diperuntukkan di bawah Seksyen 35, Enakmen Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu.

Berdasarkan undang-undang tersebut, sesiapa yang mendedahkan mana-mana bahagian tubuh pada pandangan umum yang menimbulkan ghairah di mana-mana tempat awam dianggap melakukan kesalahan.- Sinar Islam Plus

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts