KUALA LUMPUR: COVID-19 telah mengubah kehidupan seharian di Gaza dalam banyak cara dan di tempat-tempat lain di dunia Arab. Penduduk mula menyesuaikan diri dengan keadaan, memakai pelitup muka, melakukan rutin baharu dengan mencuci tangan dan penjarakan fizikal agar terhindar dari virus.
Pihak berkuasa Gaza sendiri sudah mengarahkan pelbagai peraturan baharu dan menutup sekolah, universiti, restoran, masjid serta tempat-tempat awam sejak pandemik mula dikesan.
Walaupun isu sekatan ini bukanlah baharu bagi penduduknya namun COVID-19 seumpama menambah satu lagi perasaan pengasingan bagi rakyat Gaza sendiri.
Kehadiran Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) di Gaza selama ini sudah seperti sebuah keluarga.
Mereka berkongsi pelbagai kisah suka dan duka bersama rakyat di sana.
Pegawai Komunikasi Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Amani Al Naouq berkata, mereka membawa harapan dan sebagai sebuah organisasi kemanusiaan, penduduk di dalam konflik sentiasa dibantu, situasi yang payah diringankan dan sebuah keutamaan untuk ICRC menyampaikan maklumat kepada kumpulan sasar masing-masing.
“Kami memikirkan pentingnya cara digital dan juga penyaluran maklumat yang mereka perlukan pada saat pandemik melanda.
“Kami mengajar kanak-kanak Gaza secara khusus kerana mereka juga menghadapi cabaran dan kesukaran untuk memahami apa yang berlaku di sekitar mereka.
“Apa ertinya tinggal di rumah dan tidak lagi bersekolah, tidak lagi bermain dengan rakan-rakan, tidak lagi belajar dengan rakan sekelas mereka. Jadi seluruh situasi berubah,” katanya semasa sidang Skype baru-baru ini.
Pada 22 Mac lalu, pihak berkuasa di Gaza mengesahkan dua kes pertama COVID-19 membabitkan rakyat Palestin yang pulang selepas melakukan perjalanan ke Pakistan.Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini memberikan amaran bahawa penularan wabak itu di Gaza boleh menjadi malapetaka berikutan kadar kemiskinan yang tinggi dan sistem kesihatan lemah di kawasan berkenaan bawah sekatan rejim Israel sejak 2007.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, dua individu terbabit bagaimanapun sudah dikuarantin dan tidak melakukan kontak dengan orang ramai.
Amani dalam pada itu turut memaklumkan, paling penting beban ibu bapa menjadi lebih besar terutamanya ibu yang harus menjaga anak-anak mereka.
Golongan ibu juga harus menjaga keselamatan masing-masing, mengikuti kelas anak dan pada masa yang sama perlu menjelaskan kepada si kecil apa yang harus atau yang tidak seharusnya mereka lakukan.
“Oleh itu, idea ICRC dan tanggungjawab kita untuk memastikan hubungan ini dengan penduduk sebagai keutamaan bagi kita dan bersama-sama dengan Kementerian Pendidikan di Gaza serta para pelajar dan kerjasama Fakulti Perubatan untuk bersama-sama saling menyokong anak-anak Gaza.
“Bagi kami di ICRC, penting dalam situasi baru, kami memikirkan menggunakan platform digital untuk menjangkau penduduk serta istimewa untuk kanak-kanak, kami fikir ada projek yang mensasarkan mereka,” ujarnya.
Katanya, semasa pandemik, satu permainan papan dicipta dengan reka bentuk khusus untuk kanak-kanak mempelajari mesej pengawasan dan kesedaran COVID-19.
“Kami membuat permainan papan yang serupa dengan permainan budaya dan tradisional yang kami miliki dalam budaya di sini, yang disebut ‘ular dan tangga’, jadi kami memanggilnya ‘Corona dan tangga’ dan melalui permainan ini kanak-kanak belajar apa yang harus dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan.
“Kami mendapat respon positif daripada orang ramai mengenai permainan ini, bahkan salah seorang ibu turut berkongsikan kepada kami video anak-anaknya bermain dengan permainan ‘Corona dan tangga’,” jelasnya.
Misinya, bagaimana dapat melibatkan kanak-kanak dan menarik minat mereka untuk turut melakukan langkah-langkah pencegahan dengan kesedaran kepentingannya.
Amani mahu mereka tahu, apa yang dilakukan organisasinya usaha penting untuk melindungi diri mereka sendiri.
“Video animasi yang dibuat adalah usaha membantu ibu bapa untuk membiarkan anak-anak melindungi diri mereka sendiri dan juga untuk pencegahan serta keselamatan.
“Video animasi seperti dialog antara korona dan anak untuk memberi maklumat tentang bagaimana virus itu merebak dan bagaimana dia dapat melindungi dirinya sendiri daripada pandemik,” katanya.
Ucapan terima kasih turut disampaikan Amani sempena Hari Kemanusiaan Sedunia kepada pejuang barisan hadapan, pekerja kemanusiaan di seluruh dunia dengan doa semoga pembangunan masyarakat terus diperjuangkan masyarakat sejagat.
“Paling penting, kita semua bersama-sama mengatasi isu ini, kita harus tetap bersama. Kita perlu mempunyai semangat kesungguhan, solidariti dan kesukarelaan untuk mengatasi wabak ini.
“Pada Hari Kemanusiaan Dunia, selamat Hari Kemanusiaan Dunia dari Gaza ke Malaysia,” ujarnya.
Setiausaha PBB, Antonio Guterres sebelum ini berkata, Hari Kemanusiaan Sedunia merupakan peluang untuk masyarakat menunjukkan solidariti untuk mereka yang terkesan dengan konflik, krisis, atau bencana alam.- Astro Awani
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)