Harta yang membinasakan

Di dalam surah al-Kahfi, Allah telah merakamkan kisah dua orang sahabat pada zaman dahulu, salah seorangnya adalah pemilik dua kebun yang subur serta memiliki harta melebihi sahabatnya yang beriman. Namun nikmat yang Allah berikan kepadanya menjadikan si pemilik kebun itu menjadi takbur dan kufur kepada Allah SWT.

Lihat bagaimana kekufurannya kepada Allah, sehingga merasakan dialah orang yang paling beruntung di dunia, malah di akhirat juga dia menyangka akan mendapat bahagian yang lebih baik:

وَدَخَلَ جَنَّتَهُ وَهُوَ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ قَالَ مَا أَظُنُّ أَنْ تَبِيدَ هَٰذِهِ أَبَدًا

“Dan dia memasuki kebunnya sedang dia zalim terhadap dirinya sendiri. Dia berkata: “Aku kira kebun ini tidak akan binasa selama-lamanya.” (Al-Kahfi: 35)

وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً وَلَئِنْ رُدِدْتُ إِلَىٰ رَبِّي لَأَجِدَنَّ خَيْرًا مِنْهَا مُنْقَلَبًا

“Dan aku tidak mengira hari kiamat itu akan datang, dan jika sekiranya aku dikembalikan kepada Tuhanku, pasti aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada kebun-kebun itu.” (Al-Kahfi: 36)

Lihat pula bagaimana keangkuhannya terhadap sahabatnya:

فَقَالَ لِصَاحِبِهِ وَهُوَ يُحَاوِرُهُ أَنَا أَكْثَرُ مِنْكَ مَالًا وَأَعَزُّ نَفَرًا

“Maka dia berkata kepada kawannya (yang mukmin) ketika berbual dengannya: “Hartaku lebih banyak daripada hartamu dan lebih berpengaruh (darimu) dengan pengikut-pengikutku yang ramai.” (Al-Kahfi: 34)

Namun sahabatnya yang beriman kepada Allah tidak berdiam diri, malah menasihatinya sepertimana firman Allah SWT:

قَالَ لَهُ صَاحِبُهُ وَهُوَ يُحَاوِرُهُ أَكَفَرْتَ بِالَّذِي خَلَقَكَ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ مِنْ نُطْفَةٍ ثُمَّ سَوَّاكَ رَجُلًا

Kawannya (yang mukmin) berkata kepadanya ketika berbual dengannya: “Apakah kamu kufur kepada (Tuhan) yang menciptakan kamu daripada tanah, kemudian daripada setitis air mani, lalu Dia menjadikan kamu seorang laki-laki yang sempurna? (Al-Kahfi: 37)

وَلَوْلَا إِذْ دَخَلْتَ جَنَّتَكَ قُلْتَ مَا شَاءَ اللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ ۚ إِنْ تَرَنِ أَنَا أَقَلَّ مِنْكَ مَالًا وَوَلَدًا

“Dan mengapa kamu tidak mengatakan waktu kamu memasuki kebunmu “Masya Allah, laa quwwata illaa billaah (atas kehendak Allah semua ini terjadi, tiada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah), sekiranya kamu anggap aku lebih sedikit daripadamu dalam hal harta dan keturunan.” (Al-Kahfi: 39)

Ayat di atas sekaligus menjadi panduan kepada umat Islam agar menyebut kalimah Masya Allah, laa quwwata illaa billaah dan memuji-Nya ketika berasa kagum terhadap nikmat Allah SWT.

Di akhir kisah ini, Allah telah menghancurkan kebun-kebunnya dan melenyapkan hartanya. Jadilah dia seorang yang rugi lalu menyesal dengan perbuatannya yang kufur kepada Allah SWT.

Beberapa pengajaran yang boleh dijadikan iktibar dalam kehidupan kita semua melalui kisah ini.

Harta yang Membinasakan

Harta kekayaan merupakan satu bentuk fitnah yang menimpa umat Muhammad SAW. Allah SWT berfirman:

وَاعۡلَمُوۡۤا اَنَّمَاۤ اَمۡوَالُكُمۡ وَاَوۡلَادُكُمۡ فِتۡنَةٌ

“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu adalah fitnah.”
(Al-Anfal: 28)

Rasulullah SAW juga pernah bersabda:

إن لكل أمة فتنة، وفتنة أمتي المال

“Setiap umat memiliki fitnah dan fitnah umatku adalah harta.”
[HR Tirmdizi dan disahihkan oleh al-Albani]

Nabi SAW telah menggambarkan kedahsyatan fitnah harta itu yang dapat membinasakan agama seseorang, sabdanya:

ما ذئبان جائعانِ أرسلا في غنم بأفسد لها، من حرص المرء على المال، والشرف لدينه

Tidaklah dua ekor serigala lapar yang menghampiri seekor kambing lebih merosakkan agamanya berbanding keghairahan seseorang terhadap harta dan pangkat kedudukan.”
[HR Tirmidzi dan disahihkan oleh al-Albani]

Begitulah gambaran Nabi SAW, kerosakan agama disebabkan keghairahan seseorang terhadap harta adalah lebih besar daripada bahaya yang mengancam seekor kambing yang didatangi dua ekor serigala yang lapar.

Bagaimana harta itu boleh merosakkan agama seseorang?

Di dalam penulisan Ibnu Rejab, beliau pernah berkata bahawa seseorang yang ghairah dan berkeinginan tinggi terhadap harta terbahagi kepada dua golongan:

“Pertama, orang yang sangat mencintai harta serta berusaha mencarinya dengan cara yang dibenarkan. Namun dia berlebihan dalam mendapatkannya dan bersungguh-sungguh mencarinya walaupun dengan bersusah-payah. Dia telah kehilangan masanya yang bernilai sedangkan harta yang dikumpulkan itu kelak bakal dinikmati oleh orang lain, namun hisab ke atasnya masih kekal.

Kedua, orang yang sangat mencintai harta serta berusaha mencarinya sehingga mengusahakannya dengan cara yang diharamkan Allah dan harta itu menghalanginya daripada menunaikan hak dan kewajipan (seperti mengeluarkan zakat dan bersedekah).”
[Kehinaan Harta dan Kedudukan, Ibnu Rejab]

Keadaan orang Islam di zaman ini kita lihat ramai yang termasuk dalam golongan kedua, lantaran membenarkan apa yang pernah disabdakan Nabi SAW:

ليأتين على الناس زمان، لا يبالي المرء بما أخذ المال، أمن حلال أم من حرام

“Akan datang kepada manusia suatu zaman di mana seseorang tidak peduli daripada mana dia mendapatkan harta, apakah ia melalui cara yang halal atau dengan cara yang haram.”
[HR Bukhari]

Selain daripada dua golongan di atas, Allah memberitahu keadaan orang yang suka hidup bermewah kebanyakannya menjadi penentang kepada ajakan para rasul supaya beriman kepada Allah SWT. Allah berfirman:

وَمَاۤ أَرۡسَلۡنَا فِی قَرۡیَةࣲ مِّن نَّذِیرٍ إِلَّا قَالَ مُتۡرَفُوهَاۤ إِنَّا بِمَاۤ أُرۡسِلۡتُم بِهِۦ كَـٰفِرُونَ

“Dan Kami tidak mengutus kepada suatu negeri seorang rasul pemberi peringatan pun, melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: “Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan untuk menyampaikannya.” (Saba’: 34)

Harta kekayaan dan nikmat yang mereka miliki menjadikan mereka angkuh dan sombong terhadap para rasul dan orang yang mengikutinya. Sangkaan mereka sama seperti pemilik dua kebun, apabila mereka diberi harta dan anak-anak yang banyak di dunia pastilah di akhirat kelak akan mendapat kurniaan yang lebih banyak dan tidak akan diazab oleh Allah SWT.

وَقَالُوا۟ نَحۡنُ أَكۡثَرُ أَمۡوَ ٰ⁠لࣰا وَأَوۡلَـٰدࣰا وَمَا نَحۡنُ بِمُعَذَّبِینَ

“Dan mereka berkata lagi: “Kami lebih banyak harta dan anak pinak, dan kami pula tidak akan diseksa.” (Saba’: 35)

Orang-orang seperti ini tidak meyakini rezekinya datang daripada Allah SWT, bahkan mereka menyangka bahawa pencapaian-pencapaian mereka di dunia ini adalah merupakan kelebihan yang mereka miliki semata-mata, sepertimana ucapan Qarun:

قَالَ إِنَّمَآ أُوتِيتُهُۥ عَلَىٰ عِلْمٍ عِندِىٓ

Qarun berkata: “Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu karena ilmu yang ada padaku.”
(Al Qasas: 78)

Begitulah hakikat manusia yang diuji di saat berada di puncak kekayaan dan kekuasaan. Allah telah menyifatkan mereka sebagai orang yang telah menzalimi dirinya sendiri kerana mereka telah tenggelam dengan kekayaan tanpa mengembalikan nikmat itu semula kepada Allah, bahkan tidak pula beriman kepada-Nya.

Pedoman daripada Kisah Qarun

Dalam kisah Qarun, Allah menggambarkan perasaan takjub sebahagian daripada Bani Israel terhadap harta dan kekayaan yang dimiliki oleh Qarun. Allah SWT berfirman:

قَالَ ٱلَّذِينَ يُرِيدُونَ ٱلۡحَيَوٰةَ ٱلدُّنۡيَا يَٰلَيۡتَ لَنَا مِثۡلَ مَآ أُوتِيَ قَٰرُونُ إِنَّهُۥ لَذُو حَظٍّ عَظِيم

“.. berkatalah orang-orang yang inginkan kesenangan dunia: “Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik”. (Al-Qasas: 79)

Rasa takjub ini berpunca daripada hati yang memandang dan berkeinginan tinggi terhadap dunia.

Adapun sebahagian daripada Bani Israel yang diberikan ilmu oleh Allah, mereka ini tidak tertipu dengan kekayaan tersebut, bahkan memandang ganjaran Allah atas keimanan dan amal soleh itu lebih baik daripada kekayaan yang dimiliki oleh Qarun. Allah SWT berfirman:

وَقَالَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ وَيۡلَكُمۡ ثَوَابُ ٱللَّهِ خَيۡرٞ لِّمَنۡ ءَامَنَ وَعَمِلَ صَٰلِحٗاۚ وَلَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ٱلصَّٰبِرُونَ

“Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): “Janganlah kamu berkata demikian, pahala dari Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidak akan dapat (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar.”
(Al-Qasas: 80)

Tiada nilai sedikit pun harta Qarun yang banyak itu kerana hakikatnya ia akan hilang dan tidak kekal jika dibandingkan dengan nikmat syurga yang kekal abadi . Dunia dan seisinya tiada nilai di sisi Allah sepertimana yang pernah disebutkan oleh Nabi SAW:

لَوْ كَانَت الدُّنْيَا تَعْدِلُ عِنْدَ اللَّه جَنَاحَ بَعُوضَةٍ مَا سَقَى كَافِرًا مِنْها شَرْبَةَ مَاءٍ

“Seandainya dunia itu nilainya seperti sayap seekor nyamuk, maka Allah tidak akan memberikan minuman kepada seorang kafir.”
[HR Tirmidzi, dan beliau mengatakan hadis ini hasan sahih]

Sekiranya dunia ini ada nilai di sisi Allah walaupun sekecil sayap seekor nyamuk, maka orang kafir tidak akan mendapat rezeki walaupun sedikit air disebabkan kekufurannya kepada Allah yang memberi rezeki, sebaliknya mereka bahkan diberi kesenangan dan kemewahan. Hal ini jelas membuktikan bahawa tiada apa pun nilai dunia ini di sisi Allah.

Setelah Qarun tenggelam dengan segala perbendaharaan miliknya, tersedarlah orang-orang yang menginginkan kesenangan dunia bahawa selama ini mereka kufur pada nikmat yang Allah berikan kepada mereka.

وَأَصۡبَحَ ٱلَّذِينَ تَمَنَّوۡاْ مَكَانَهُۥ بِٱلۡأَمۡسِ يَقُولُونَ وَيۡكَأَنَّ ٱللَّهَ يَبۡسُطُ ٱلرِّزۡقَ لِمَن يَشَآءُ مِنۡ عِبَادِهِۦ وَيَقۡدِرُۖ لَوۡلَآ أَن مَّنَّ ٱللَّهُ عَلَيۡنَا لَخَسَفَ بِنَاۖ وَيۡكَأَنَّهُۥ لَا يُفۡلِحُ ٱلۡكَٰفِرُونَ

“Dan orang-orang yang pada masa dahulu bercita-cita mendapat kekayaan seperti Qarun mulai sedar sambil berkata: “Aduhai! Sesungguhnya Allah melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada hamba-hamba-Nya, dan Dia juga yang menyempitkannya. Kalau bukan kerana pertolongan Allah kepada kita, tentulah kita akan dibinasakan dengan tertimbus di dalam tanah (seperti Qarun). Sesungguhnya orang-orang yang mengkufuri nikmat Allah itu tidak akan berjaya!” (Al-Qasas: 82)

Terdapat dua golongan dalam kisah ini dan mereka ini wujud pada setiap zaman. Golongan yang pertama memandang semua perkara pada luarannya semata-mata dan bersifat materialistik. Pendiriannya terhadap sesuatu perkara tidak tetap dan mudah goyah apatah lagi apabila berhadapan dengan ujian dan fitnah. Ramai orang kebiasaannya dalam golongan ini.

Manakala golongan yang kedua adalah mereka yang diberikan cahaya basirah (pandangan mata hati) oleh Allah agar dapat memandang segala yang bersifat luaran ini sesuatu yang sementara, sedangkan yang kekal adalah apa yang bakal diperoleh di negeri akhirat. Basirah ini hanya dimiliki oleh mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan yang benar serta sabar membenarkan janji-janji Allah di akhirat kelak. Mereka ini golongan yang berpendirian teguh serta mampu berhadapan dengan waktu fitnah dan waktu sukar.

Harta di Tangan Orang Soleh

Hakikat sebenar nilai sesebuah harta adalah bagaimana ia digunakan.

Nabi SAW pernah memuji orang yang soleh dalam menguruskan hartanya:

نِعمَ المالُ الصَّالحُ للرَّجلِ الصَّالحِ

“Sebaik-baik harta adalah harta yang dimiliki oleh orang yang soleh.”
[HR Bukhari]

Hal ini kerana orang yang soleh dan beriman bijak menggunakan hartanya kerana dia tidak akan menggunakan hartanya melainkan pada perkara yang baik seperti menunaikan kewajipan, menyambung silaturrahim, membantu mereka yang memerlukan serta memberikan manfaat pada orang lain dengan hartanya sehingga binatang turut sama mendapat manfaat daripadanya.

Malah cemburu terhadap orang seperti ini dibenarkan dalam agama kerana ia mempunyai unsur ajakan kepada kebaikan dan berlumba-lumba ke arahnya. Rasulullah SAW bersabda:

لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَسُلِّطَ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْحِكْمَةَ، فَهْوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا

“Perasaan hasad itu dilarang kecuali pada dua perkara: dengki terhadap seseorang yang Allah SWT kurniakan kepadanya harta dan dia membelanjakannya pada jalan kebenaran, serta seseorang yang dikurniakan ilmu dan dia berhukum dengannya dan mengajarkannya.”
[HR Bukhari]

Nabi juga pernah menceritakan keberkatan harta orang yang soleh. Sabda Nabi SAW:

إن هذا المال خضر حلو، فمن أخذه بسخاوة نفس بورك له فيه، ومن أخذه بإشراف نفس لم يبارك له فيه، وكان كالذي يأكل ولا يشبع، واليد العليا خير من اليد السفلى

“Sesungguhnya harta itu hijau dan manis (menggoda). Barangsiapa mengambilnya dengan jiwa yang zuhud, nescaya dia akan mendapatkan berkatnya. Namun sesiapa yang mengambilnya dengan tinggi diri, nescaya dia tidak akan mendapat berkat. Perumpamaannya bagaikan orang yang makan tetapi tidak pernah kenyang. Tangan di atas adalah lebih baik daripada tangan di bawah.” [HR Bukhari dan Muslim]

Orang soleh yang mendapatkan harta bukan tujuan memuliakan diri, tidak meminta-minta, tidak berlebihan dan tidak pula tamak serta berjiwa qanaah (berasa cukup) akan diberkati hartanya. Berlawanan dengan sikap ini, hartanya tidak diberkati menyebabkan dia sentiasa berasa tidak cukup. Keberkatan harta orang soleh ini juga dikaitkan dengan sikapnya yang dermawan.

Hakikat Harta dan Kasih Sayang Allah

Hakikat harta dan kemewahan di sisi Allah tidak membuatkan seseorang itu sedikitpun dekat dengan-Nya, sehinggalah dia beriman dan beramal soleh. Allah SWT berfirman:

وَمَاۤ أَمۡوَ ٰ⁠لُكُمۡ وَلَاۤ أَوۡلَـٰدُكُم بِٱلَّتِی تُقَرِّبُكُمۡ عِندَنَا زُلۡفَىٰۤ إِلَّا مَنۡ ءَامَنَ وَعَمِلَ صَـٰلِحࣰا فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ لَهُمۡ جَزَاۤءُ ٱلضِّعۡفِ بِمَا عَمِلُوا۟ وَهُمۡ فِی ٱلۡغُرُفَـٰتِ ءَامِنُونَ

Dan bukanlah harta benda kamu dan tidak juga anak pinak kamu yang mendekatkan diri kamu di sisi Kami walau sedikitpun, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka itu akan beroleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang mereka telah kerjakan dan mereka pula ditempatkan dalam mahligai-mahligai (syurga) dengan aman.” (Saba’: 37)

Kefakiran pula bukanlah bermakna miskin harta, sebaliknya mereka yang miskin agamanya. Ibnu Rejab di dalam bukunya, ‘Kehinaan Harta dan Kedudukan’ telah membawa sebuah syair arab yang berbunyi:

“Barangsiapa yang menghabiskan hari-harinya mengumpulkan harta,
Hanya kerana takutkan kefakiran maka dia sebenarnya adalah fakir,
Janganlah kamu menyangka bahawa fakir itu adalah orang yang fakir harta,
Tetapi fakir agamalah fakir yang sebenarnya.”

Justeru, limpahan harta dan kemewahan tidak menjadi bukti bahawa Allah menyayangi seseorang itu. Allah SWT menafikannya melalui firman-Nya pada ayat 55-56 di dalam surah al-Mukminun:

أَيَحۡسَبُونَ أَنَّمَا نُمِدُّهُم بِهِۦ مِن مَّالٖ وَبَنِينَ

“Adakah mereka menyangka bahawa apa yang Kami berikan kepada mereka dari harta benda dan anak-pinak itu,”

نُسَارِعُ لَهُمۡ فِي ٱلۡخَيۡرَٰتِۚ بَل لَّا يَشۡعُرُونَ

“(Bermakna bahawa) Kami menyegerakan buat mereka pemberian kebaikan? (Tidak!) Bahkan mereka tidak menyedari (hakikatnya yang sebenarnya).”

Disebut juga di dalam sebuah hadis Nabi SAW:

إِذَا رَأَيْتَ اللهَ تَعَالَى يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا مَا يُحِبُّ وَهُوَ مُقِيمٌ عَلَى مَعَاصِيْهِ فَإِنَّمَا ذَلِكَ مِنهُ اسْتِدْرَاجٌ

“Apabila kamu melihat Allah SWT memberi kepada hamba (sesuatu) daripada dunia yang diinginkannya, sedangkan dia masih melakukan maksiat kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj daripada Allah SWT.”
[HR Ahmad dan disahihkan oleh al-Albani]

Hal ini menjelaskan bahawa kemewahan mahupun kefakiran bukanlah tanda kasih sayang Allah. Boleh jadi kemewahan yang diberikan oleh Allah merupakan satu istidraj yang tidak disedari. Istidraj merupakan sebuah hukuman daripada Allah yang diberikan sedikit demi sedikit kepada hamba yang tidak mentaati-Nya.

Hakikatnya, kayu ukur kasih sayang Allah yang sebenar pada seseorang itu adalah sejauh mana keimanan dan ketaatannya kepada Allah. Sabda Nabi SAW:

وَإِنَّ اللهَ تَعَالَى يُعطي الْمَالَ مَنْ أَحَبَّ وَمَنْ لَا يُحب، وَلَا يُعْطِي الْإِيمَانَ إِلَّا مَنْ يُحِبُّ

“Sesungguhnya Allah Ta’ala memberikan harta kepada sesiapa yang Dia cintai dan sesiapa yang Dia tidak cintai, dan Dia tidak memberikan keimanan kecuali hanya kepada hamba yang Dia cintai.”
[Musonnaf Ibn Abi Syaibah dan disahihkan oleh al-Albani]

Kesimpulan

Harta boleh menjadi fitnah yang akan menyebabkan manusia lalai daripada mengingati Allah. Dengannya manusia juga akan mudah melakukan maksiat dan kemungkaran kepada-Nya. Oleh sebab itu, Allah SWT membataskan rezeki-Nya yang luas kepada sebahagian manusia yang lain.

Allah SWT berfirman:

وَلَوۡ بَسَطَ ٱللَّهُ ٱلرِّزۡقَ لِعِبَادِهِۦ لَبَغَوۡا۟ فِی ٱلۡأَرۡضِ وَلَـٰكِن یُنَزِّلُ بِقَدَرࣲ مَّا یَشَاۤءُۚ إِنَّهُۥ بِعِبَادِهِۦ خَبِیرُۢ بَصِیرࣱ

“Dan jikalau Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hamba-Nya tentulah mereka akan melampaui batas di muka bumi, tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendaki-Nya dengan ukuran. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui (keadaan) hamba-hamba-Nya lagi Maha Melihat.” (Asy-Syura: 27)

Pengajaran-pengajaran di atas memberi panduan kepada kita dalam menjauhi segala bala dan fitnah harta yang dapat membinasakan agama kita dan ia juga merupakan salah satu bentuk tipu daya Dajjal di akhir zaman.

Mereka yang terbiasa dengan kesederhanaan dan berasa cukup serta teguh meyakini bahawa Allah adalah pemberi rezeki akan dimudahkan Allah menghadapi fitnah ini. Allah SWT berfirman:

إِنَّ ٱلَّذِینَ تَعۡبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ لَا یَمۡلِكُونَ لَكُمۡ رِزۡقࣰا فَٱبۡتَغُوا۟ عِندَ ٱللَّهِ ٱلرِّزۡقَ وَٱعۡبُدُوهُ وَٱشۡكُرُوا۟ لَهُۥۤۖ إِلَیۡهِ تُرۡجَعُونَ

 “Sesungguhnya yang kamu sembah selain Allah itu tidak mampu memberikan rezeki kepadamu, maka mintalah rezeki itu di sisi Allah, dan sembahlah Dia dan bersyukurlah kepada-Nya. Kepada-Nya jualah kamu akan dikembalikan.” (Al Ankabut: 17)

Wallahua’lam. Semoga tulisan ini memberi manfaat dan semoga kita terhindar daripada segala bentuk fitnah yang merosakkan agama kita.

Ustaz Luqman Afifi bin Sabri
Sarjana Muda Syariah, Universiti Yarmouk Jordan

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts