Harus balu dalam tempoh edah keluar mengundi

Taiping: Wanita dalam tempoh edah diharuskan keluar rumah untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata asas konsep edah adalah wanita yang baru kematian suami atau balu tidak keluar rumah untuk bergembira.

Dalam konteks pilihan raya katanya, balu keluar rumah bukanlah untuk bergembira, tetapi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat bagi memilih pemimpin.

“Dalam konteks pilihan raya ini, sebagai rakyat mereka (balu) ada kewajipan demokrasi untuk keluar dan mengundi.

“Makna keluar dari rumah itu bukan untuk bergembira, tapi keluar dari rumah menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat untuk mengundi.

“Jadi saya tidak nampak hukum balu tak boleh keluar mengundi. Cuma kita harapkan selesai mengundi, mereka terus pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sesi Penyerahan Program MyHAUS dan Program Sinar Kasih Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM) di Jalan Batu Matang, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mohd Na’im turut menasihatkan semua calon dan parti politik tidak menghina dan menabur fitnah kepada pihak lawan sepanjang berkempen, sebaliknya menawarkan dasar yang membawa kebaikan kepada rakyat.

“Janganlah kita menghina dan memfitnah. Tumpuan pada polisi, dasar kepada rakyat masyarakat setempat.

“Kita tidak mahu kempen menyebabkan perpecahan, parti mungkin boleh berbeza pandangan, tapi ia seharusnya tidak memecah-belahkan masyarakat.

“Berkempen secara sihat, jaga akhlak dan adab supaya kita dapat membina negara yang aman,” katanya – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts