- Menurut al-Imam al-Khattabi, salah satu daripada mukjizat yang dimiliki oleh al-Quran adalah kekuatannya dalam menyentuh jiwa pembaca. Dengan membaca al-Quran sahaja, ia berupaya meluluhkan hati orang yang beriman. Kata al-Khattabi:
في إعجاز القرآن وجه آخر ذهب عنه الناس فلا يكاد يعرفه ، وذلك صنيعه بالقلوب وتأثيره في النفوس
“Mengenai mukjizat al-Quran, terdapat satu perkara yang tidak ramai manusia mengetahui tentangnya, iaitu keupayaannya yang membentuk jiwa dan memberikan kesan terhadap hati.”
- Ini selaras dengan firman Allah sendiri yang menyatakan bahawa Allah telah menurunkan sebaik-baik perbincaraan yang berupaya menggetarkan jiwa manusia. Firman Allah:
ٱللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ ٱلْحَدِيثِ كِتَٰبًا مُّتَشَٰبِهًا مَّثَانِىَ تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ ٱلَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَىٰ ذِكْرِ ٱللَّهِ
“Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.” (Surah al-Zumar: 23)
- Namun, Allah ingatkan juga di dalam al-Quran bahawa terdapat jiwa-jiwa yang keras yang enggan dan sukar untuk mengingati Allah disebabkan kerana dosa dan keegoan mereka terhadap kebenaran. Golongan ini ditegur oleh Allah secara keras di dalam firmanNya:
فَوَيْلٌ لِّلْقَٰسِيَةِ قُلُوبُهُم مِّن ذِكْرِ ٱللَّهِ
“Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah.”
- Apa yang menjadikan hati mereka tidak terkesan dengan al-Quran? Salah satunya adalah mereka tidak bersungguh mencermati ayat-ayat Allah, mereka tidak serius, bahkan mereka bermain-main saat ayat-ayat Allah dibacakan kepada mereka. Firman Allah:
مَا يَأْتِيهِم مِّن ذِكْرٍۢ مِّن رَّبِّهِم مُّحْدَثٍ إِلَّا ٱسْتَمَعُوهُ وَهُمْ يَلْعَبُونَ
“Tidak datang kepada mereka itu sebarang peringatan yang diturunkan dari Tuhan mereka lepas satu: satu, melainkan mereka memasang telinga mendengarnya sambil mereka mempermain-mainkannya.” (Surah al-Anbiya: 2)
- Semoga Allah jadikan kita dalam kalangan mereka yang bersungguh dan bertafakkur apabila dibacakan kepada kita ayat-ayat al-Quran.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM