UMAT Islam di negara ini perlu menyelami hakikat sebenar erti pengorbanan membawa maksud dan konteks lebih besar yang perlu dijelmakan dalam kehidupan seharian.
Sikap ingin berkorban itu tidak seharusnya setakat ketika musim perayaan semata-mata, sebaliknya perlu berterusan sepanjang masa kerana konsep pengorbanan begitu luas ertinya.
Malah, ia menjadi sebahagian daripada kekuatan dalam memupuk keimanan yang tinggi pada diri seseorang.
Pandangan itu diberikan Ketua Jabatan Kaunseling dan Infrastruktur Khas, Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Norazman Amat.
Norazman berkata, pengorbanan mempunyai skop luas, selain berkaitan dengan tahap keimanan dan ketakwaan seseorang.
Beliau berkata, mereka yang tinggi iman dan takwa, pasti sanggup berkorban ke arah kebaikan dan kesejahteraan umat.
“Islam sendiri menyarankan umatnya melakukan korban bukan sekadar penyembelihan haiwan ketika sambutan Aidiladha tetapi pengorbanan membantu sesama ahli keluarga, rakan, jiran, masyarakat dan negara,” katanya.
Katanya, dalam konteks sesebuah keluarga misalnya, pengorbanan dituntut daripada suami, isteri dan anak-anak.
Katanya, pelaksanaan konsep pengorbanan itu harus diserlahkan jika mahu melihat institusi keluarga berjaya, cemerlang dan sejahtera.
“Suami isteri perlu melaksanakan tanggungjawab diamanahkan berpandukan syariat Islam. Mereka perlu bekerjasama dan bertolak ansur antara satu sama lain dalam segala urusan melayari alam rumah tangga.
“Islam amat menekankan kepentingan institusi ini kerana ia asas kepada keutuhan masyarakat dan kemajuan negara,” katanya.
Norazman berkata, ahli keluarga yang sanggup melakukan pengorbanan dalam apa juga bentuk, akan berpeluang merasai kebahagiaan sejati.
“Harus difahami pengorbanan yang kita dilakukan hari ini amat penting untuk kebahagiaan pada masa hadapan,” katanya.
Dalam konteks kemasyarakatan pula, Norazman berkata, ia menuntut pengorbanan lebih besar daripada setiap individu.
Beliau berkata, ada kalangan masyarakat terbelenggu dengan soal kemiskinan, ditimpa musibah, hilang pekerjaan, kehilangan orang tersayang dan hilang tempat bergantung.
“Islam menyarankan supaya antara sesama umat perlu saling bantu membantu. Rasulullah SAW menunjukkan contoh terbaik bagaimana sikap kebersamaan itu perlu ada pada setiap diri umat Islam.
“Contoh itulah membuatkan Islam dipandang tinggi oleh umat lain,” katanya.
Tambah Norazman, pengorbanan adalah suatu ujian daripada Allah SWT untuk menguji sejauh mana hamba-Nya bersyukur dan berterima kasih di atas segala nikmat kurniaanNya.
Dalam hubungan ini, beliau berkata, kehadiran Aidiladha memperingatkan umat Islam mengenai sirah penting dalam kalendar Islam, iaitu kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS bersama anaknya, Nabi Ismail AS dan Siti Hajar AS atas ketaatan mereka kepada Allah SWT.
Katanya, sirah pengorbanan itu menuntut umat Islam menghayati natijah di sebalik ibadah korban dan mengajar mengenai hakikat pengorbanan sebenar.
Katanya, keikhlasan dalam berkorban dan membantu sesama umat amat penting sebagai syarat amalan itu diterima Allah.
Beliau berkata, ketika dunia termasuk Malaysia menghadapi pandemik COVID-19, rakyat diminta bersama-sama berkorban dengan mematuhi segala nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan untuk kebaikan bersama.
“Kita perlu menunjukkan tanda terima kasih kepada pasukan perubatan yang merawat pesakit COVID-19 dan pihak berkuasa yang mengambil semua langkah perlu bagi mengelak pandemik menjadi ancaman kepada kesejahteraan negara.
“Ini juga adalah tuntutan yang perlu kita lakukan sesuai dengan erti pengorbanan yang disarankan Islam,” katanya.- Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)