SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mengingatkan semua pihak, terutama masyarakat bukan Islam supaya berhenti mempersendakan Rasulullah SAW serta mencemar kesucian agama Islam.
Setiausaha Dewan di-Raja Selangor, Hanafisah Jais, dalam satu kenyataan media berkata baginda bertitah, perbuatan sedemikian bukan saja menggugat keharmonian serta perpaduan rakyat, malah boleh menyebabkan rusuhan antara kaum dan agama, seterusnya mengakibatkan permusuhan berpanjangan antara kaum di negara ini.
Hanafisah berkata, peringatan Sultan Selangor itu bukan sekadar untuk masyarakat bukan Islam tetapi juga kepada umat Islam.
Katanya, selepas Sultan Selangor berbincang dengan Ahli Dewan di-Raja Selangor, hari ini, baginda melahirkan kekecewaan dengan perbuatan menghina keperibadian junjungan besar Rasulullah SAW oleh segelintir masyarakat bukan Islam sejak kebelakangan ini.
“Kejadian penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan isu yang mencemar kesucian agama Islam kerap berlaku serta sampai ke tahap mencabar kesabaran umat Islam.
“Islam adalah agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, seharusnya perlu sentiasa dihormati setiap rakyat di negara ini.
“Walaupun perbuatan penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan kesucian agama Islam adalah satu kesalahan bawah undang-undang, malah tindakan undang-undang serta hukuman juga sudah dikenakan terhadap mereka yang melakukannya, namun ia masih tetap berlaku dan seolah-olah tiada kesan tindakan undang-undang yang diambil terhadap golongan ini,” katanya.
Hanafisah berkata, baginda turut menyatakan sejarah menunjukkan sesebuah negara boleh menjadi porak-poranda sekiranya rakyat bermusuhan atas sebab tidak menghormati agama dianuti pelbagai kaum.
Beliau berkata, sebagai Raja dan Ketua Agama Islam Selangor, Sultan Selangor menegaskan bahawa memelihara maruah agama serta maruah junjungan Rasulullah SAW adalah tuntutan utama dalam maqasid syariah dan menjadi tanggungjawab umat Islam untuk sentiasa mempertahankannya.
“Umat Islam sendiri pun perlu sentiasa berwaspada dalam melontarkan sebarang pandangan berkaitan agama lain. Malah, Allah SWT melarang keras umatnya mencerca sembahan agama lain kerana ia antara penyebab berlakunya ketidakharmonian hidup dalam masyarakat.
“Islam adalah agama yang amat mementingkan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya.
Justeru, Hanafisah berkata, Ahli Dewan di-Raja Selangor menjunjung segala titah Sultan Selangor dan turut berasa terkesan dengan kekecewaan dilahirkan baginda berkaitan isu penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan agama Islam.
Pada masa sama, katanya, Ahli Dewan di-Raja Selangor menggesa pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara mengambil berat peringatan Sultan Selangor dengan mengambil langkah berkesan serta efektif bagi menangani masalah itu.
Beliau berkata, siasatan terperinci terhadap mereka yang disyaki melakukan kesalahan, perlu segera dilaksanakan dan tindakan pendakwaan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab jika ada keterangan mencukupi. – Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)