Henti salah guna konsep Islam agama rahmah, ‘Rahmatan Lil Alamin’

s

 

DAN tidaklah Kami mengutuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam.” Surah Al-Anbiya’, ayat 107.

Risalah Islam datang bersama baginda Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat kepada sekalian alam. Islam adalah agama rahmah. Begitu juga baginda Nabi pembawa rahmat kepada semua makhluk, manusia, jin, tumbuhan, haiwan dan segala yang ada di dunia.

Banyak riwayat menceritakan rahmatnya Nabi Muhammad, antara kisah yang masyhur ialah:

1. Rahmat kepada orang tua.

Satu ketika, Nabi Muhammad melihat seorang wanita tua sedang memikul kayu-kayu api di tengah-tengah cuaca panas. Setelah keletihan, wanita tua itu berhenti sejenak. Nabi Muhammad lalu menghampirinya dan menawarkan bantuan memikul kayu api itu sehingga ke rumahnya. Wanita itu gembira dengan sifat rahmah Nabi.

Begitu juga ketika Abu Qahafah, ayah Saidina Abu Bakar As-Siddiq mahu berangkat ke rumah Nabi untuk melafazkan baiah kepada baginda, baginda Nabi mencadangkan kepada Abu Bakar supaya biar baginda sendiri yang ke rumah Abu Qahafah untuk berjumpa. Ini kerana Abu Qahafah sudah uzur dan sudah tentu mengalami kesulitan untuk bergerak ke rumah Nabi.

Boleh saja Nabi Muhammad menggunakan titlenya sebagai Nabi memerintah sesiapa yang mahu berurusan dengannya untuk datang menghadapnya tetapi tidak.

2. Rahmat kepada musuh.

Satu ketika, seorang sahabat mencadangkan kepada Nabi Muhammad supaya mendoakan kejahatan ke atas orang musyrikin yang banyak mengganggu dakwah bagi. Akan tetapi jawab baginda, “Sesungguhnya aku tidak diutus sebagai pembawa laknat (kepada orang lain), tetapi sesungguhnya aku diutus sebagai rahmat.” (Hadis sahih riwayat Muslim).

Turut diriwayatkan dalam sebuah hadis oleh Bukhari dan Muslim bahawa baginda Nabi SAW didatangi oleh anak Abdullah bin Ubai bin Salul, ketua munafiqin. Anaknya ketika itu sudah memeluk Islam. Anaknya memaklumkan kematian ayahnya lalu meminta kain untuk mengkafankan ayahnya. Lalu baginda Nabi memberikan kain. Kemudian Rasulullah mahu mendirikan solat jenazah ke atas Abdullah bin Ubai. Saidina Umar seraya bangun dan menegur Nabi, “Adakah engkau wahai Rasulullah mahu menunaikan solat jenazah ke atas ketua munafiqin? Sedangkan dia telah melakukan banyak perkara yang tidak baik ke atasmu selama ini. Bukankah Allah melarangmu menunaikan solat ke atas munafiqin?” Saidina Umar kemudiannya membaca potongan ayat Al-Quran, Surah At-Taubah, ayat 80 mengenai larangan tersebut.

Nabi Muhammad lalu menjawab, “Kalau aku tahu Allaj akan mengampunkan dosanya jika aku beristighfar lebih 70 kali, maka aku akan istighfar untuknya lebih 70 kali.”

Selepas itu Rasulullah mendirikan solat jenazah dan menghantar jenazah Abdullah bin Ubai ke kawasan perkuburan. Tak lama kemudian, turunlah wahyu Allah (Surah Taubah ayat 84) berupa larangan mendirikan solat jenazah ke atas orang munafiq selama-lamanya. Sejak kejadian itu, Rasulullah tidak mendirikan solat jenazah ke atas mana-mana jenazah orang munafiq sehingga baginda wafat.

Inilah rahmat yang dibawa oleh baginda Nabi, sekaligus membenarkan firman Allah dalam Surah Al-Anbiya’ ayat 107 seperti di atas.

3. Rahmat kepada kanak-kanak dan ahli keluarga

Nabi Muhammad akan mengusap dan mengucup dahi kanak-kanak yang ditemuinya. Satu ketika, baginda ditegur oleh seorang Arab Badwi mengenai perbuatannya itu. “Sesungguhnya aku memiliki 10 orang anak dan aku tidak pernah mencium dahi mereka.” Nabi menjawab, “Sesiapa yang tidak mengasihi, nescaya tidak akan dikasihi.”

Rasulullah juga pernah memendekkan solat yang diimamkannya setelah mendengar tangisan kanak-kanak di belakang, sebagai rahmat kepada kanak-kanak tersebut.

Rasulullah juga pernah bersabda dengan mafhumnya, “Sebaik-baik kamu ialah mereka yang berbuat baik kepada ahli keluarga. Dan sesungguhnya akulah orang yang paling berbuat baik kepada keluargaku.”

Banyak lagi kisah yang boleh dicungkil dalam buku-buku hadis dan sirah mengenai rahmatnya baginda SAW kepada semua umat manusia, binatang dan makhluk yang lain.

Bagaimanakah rahmat untuk orang kafir?

Ketika menjelaskan ayat 107 daripada Surah Al-Anbiya’ di atas, terdapat beberapa pandangan ulama mengenai persoalan adakah orang kafir tergolong di kalangan mereka yang mendapat rahmat. Ada ulama berpandangan rahmat itu hanya untuk orang Islam sahaja, dan ulama lain mengatakan orang kafir turut mendapat rahmat, sesuai dengan maksud perkataan ‘Lil Alamin’, untuk sekalian alam.

Ibnu Abbas RA menjelaskan bagaimanakah yang dimaksudkan rahmat untuk orang Islam dan untuk orang kafir. Katanya dalam Tafsir At-Tabari, orang Islam mendapat rahmat di dunia dan di akhirat disebabkan keimanan mereka. Manakala orang kafir, rahmat yang mereka dapat di dunia ialah ditangguhkan daripada mendapat seksa di dunia seperti seksaan yang diterima oleh umat terdahulu seperti dilanda banjir, dilanda ribut dan diterbalikkan bumi.

Apakah yang dimaksudkan Islam agama rahmah?

Islam adalah agama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad untuk mengeluarkan manusia daripada perhambaan sesama hamba kepada perhambaan sepenuhnya kepada Allah. Islam membawa manusia keluar daripada kegelapan jahiliyah menuju kepada cahaya keimanan.

Sistem Islam sesuai diamalkan di semua tempat pada semua zaman dalam semua bidang kehidupan. Ini kerana Islam adalah satu-satunya agama yang diredai Allah, dan Allah selaku Pencipta alam ini, tahu apa yang baik dan apa yang tidak baik untuk kehidupan manusia.

Henti salah guna konsep ‘Rahmatan Lil Alamin’

Dengan keluasan rahmat yang dibawa oleh Islam, muncul sesetengah pihak yang berhujah menggunakan konsep ‘Rahmatan Lil Alamin’ untuk menafikan seruan-seruan Islam itu sendiri.

Dalam isu maksiat yang terang-terangan seperti budaya minum arak dan konsert artis luar, mereka berhujah dengan berkata mengapa perlu dihalang orang berhibur dan meminum arak? Bukankah Islam itu agama rahmah, memberi kebebasan kepada orang Islam dan bukan Islam?

Dalam isu LGBT, mereka berkata, kita tak perlu halang lelaki menjadi perempuan kerana Islam adalah agama rahmah.

Dalam isu murtad, mereka berkata, mengapa kita perlu menghalang orang nak murtad? Bukankah Islam agama rahmah dan tidak memaksa dalam soal beragama?

Dalam isu kristianisasi, mereka berkata, mengapa kita perlu menyekat mereka bercerita mengenai agama mereka kepada orang Islam? Bukankah Islam agama rahmah?

Dan banyak lagi isu yang dipertahankan oleh golongan liberal terutamanya dan mereka tanpa segan silu menggunakan hujah Islam agama rahmah untuk menegakkan benang yang basah.

Jika mereka faham erti Islam agama rahmah, mereka sewajarnya menyokong semua usaha penambahbaikan sistem Islam di negara ini. Semua peraturan yang membawa nilai Islam seperti pengasingan lelaki dan perempuan di tempat tertentu bagi mengelakkan percampuran bebas, peraturan pemakaian menutup aurat dan sebagainya perlu disokong oleh golongan liberal.

Jika mereka benar-benar faham Islam agama rahmah, nescaya mereka akan menyokong cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah. Tidak cukup setakat itu, mereka pasti akan menjulang status Malaysia sebagai negara Islam, bukan negara sekular.

Malangnya, mereka hanya mengambil Islam separuh-separuh seperti orang Yahudi mengambil pengajaran daripada Kitab Taurah separuh-separuh.

Ustaz Mohd Firdaus Salleh Hudin

Sumber: http://www.ismaweb.net/2016/07/henti-salah-guna-konsep-islam-agama-rahmah-rahmatan-lil-alamin/

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts