Hiasan dunia dilihat cantik bagi orang kafir, dilihat hina di mata mukmin

Antara isi tadabbur yang saya sampaikan dalam sesi Kuliah Maghrib malam tadi selepas tahsin Al-Quran secara berjemaah, adalah ayat 212, surah Al-Baqarah.

“Telah dipercantikkan bagi orang kafir kehidupan dunia, dan mereka mengejek-ejek orang beriman (kerana tidak memperoleh apa yang mereka perolehi dalam kenikmatan dunia). Adapun orang yang bertaqwa itu berada di kedudukan atas mereka di hari kiamat kelak. Dan Allah memberi rezeki kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki tanpa sebarang hisab (perkiraan)”

Ayat itu – secara susunan Tuhan – menepati apa yang sedang dilalui umat Islam pada hari ini, iaitu perginya sosok tubuh mujtahid ummah pada hari Isnin lalu.

Syeikh Qardhawi RHM memilih untuk hidup dalam jihad dan hijrah, berbanding hidup dalam kemewahan dan kesenangan. Beliau memilih untuk bersama sahabatnya di penjara, berbanding kebebasan di luar jeriji besi itu. Beliau meletakkan naratif jihad dan pengorbanan sebagai tema kehidupan.

Sungguh, neraca Al-Quran hanya dapat ditegakkan di jiwa masyarakat apabila wujudnya manusia-manusia yang menghidupkannya, atau mewakafkan hidupnya untuk tujuan itu.

Selagimana jiwa dan hidup kita tidak dijadikan bahan utama dalam proses ‘menegakkan agama’ ini, selagi itu perjuangan ini akan hanya berlegar di ruang ceramah dan kata-kata retorik sahaja, tanpa pembinaan jiwa masyarakat yang hakiki.

Masyarakat perlukan qudwah dan contoh, bagi mereka melihat bahawa neraca Al-Quran itu adalah suatu yang praktikal, relevan, dan unggul dalam kacamata yang zahir.

Ia bukan sekadar penerangan dan propaganda, ia adalah sebuah definisi kehidupan yang berbeza, yang menjadi beza antara neraca kekufuran dan ketaqwaan.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Syamil Esa
Pengarah Sekretariat
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts