“DI banyak negara saat ini, norma-norma moral dan etika sedang dipertimbangkan kembali; tradisi nasional, perbezaan bangsa dan budaya sedang dihapuskan.” – Vladimir Putin.
Lewat 2013, nama Putin melonjak naik dalam media saat beliau menghentam gerakan global yang mengetengahkan idea kesamarataan berdasarkan buram liberalisme termasuklah gerakan untuk menormalkan gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Ketika dunia Eropah terkinja-kinja memperhebat ‘propaganda gay’ menuntut lebih banyak lagi hak-hak asasi golongan LGBT, Putin dengan berani dan lantang mengecam gerakan ini.
Kesan kelantangan ini, beliau dikritik hebat oleh tokoh-tokoh dari negara luar yang menyokong pengiktirafan hak-hak LGBT.
Mereka yang menentang gaya hidup songsang dan menyokong nilai-nilai tradisi sekarang dilihat sebagai golongan jumud yang menindas sedangkan golongan LGBT yang memporak-perandakan fabrik sosial diangkat dan dijulang sebagai pejuang kebebasan.
Inilah propaganda LGBT yang semakin banyak menyelinap masuk ke dalam masyarakat moden seluruh dunia dan Malaysia tidak terkecuali.
Semasa Netflix mula berkembang sebagai platform saluran hiburan terbesar dunia pada 2016, Telekomunikasi (Telkom) Indonesia telah menyekat akses pengguna perkhidmatan internet mereka ke laman Netflix kerana kandungan yang tidak ditapis.
Namun secara halus, sekatan ini mula dicairkan kerana wujud syarikat pembekal internet selain Telkom Indonesia yang membenarkan pelayar internet mengakses ke laman Netflix.
Kebimbangan terhadap kandungan hiburan di Netflix yang banyak berunsur lucah masih belum diselesaikan tetapi atas alasan hiburan, ia diterima masuk ke masyarakat yang kononnya mementingkan nilai tradisi.
Malah, beberapa program yang dikeluarkan Netflix sendiri jelas membawa propaganda gay dengan meletakkan watak-watak golongan LGBT sebagai rencah utama.
Contohnya rancangan seperti To Each Her Own, Élite, dan Unbreakable Kimmy Schmidt yang meletakkan kandungan tentang gaya hidup golongan LGBT sebagai sandaran penting.
Itu belum lagi dikira rancangan-rancangan seperti Sex Education, Alex Strangelove dan Perfume yang mengetengahkan kandungan berunsur seksual sebagai bahan utama.
Lebih buruk lagi dan sukar untuk dibanteras adalah kewujudan terlalu ramai ‘selebriti media sosial’ yang mendapat ikutan ramai melalui video menjelekkan dan menjengkelkan yang ditularkan kepada semua lapisan masyarakat.
Selebriti yang melampau dengan kontroversi menidak budaya ketimuran sepatutnya disekat, bukannya diberikan landasan yang lebih besar untuk dijulang sebagai contoh kepada generasi muda.
Kepada pengikut generasi muda terutama kanak-kanak tidak dipantau, tingkah laku jelek mereka menjadi ikutan yang menormalkan tabiat dan tingkah laku jengkel dalam masyarakat negara ini.
Namun umum maklum, cara mudah merosakkan bangsa adalah dengan mencemar generasi muda.
Masyarakat sendiri harus memainkan peranan dengan memantau apa yang ditonton kepada generasi muda dan menerangkan kepada anak-anak tentang tingkah laku yang dianggap menentang norma hidup dan nilai tradisi bangsa dan agama.
Dalam pada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang mempertimbangkan langkah-langkah untuk memelihara kesejahteraan keluarga dan masyarakat, kerjasama melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu ada untuk menyekat kandungan saluran hiburan yang menghakis nilai-nilai tradisi dan merendah-rendahkan martabat keluarga.
Tanpa sekatan bagi memelihara nilai murni yang ada dalam institusi keluarga, sebarang langkah untuk memperbetulkan kerosakan yang sudah ada hanya akan menjadi koyak baju mahu ukur badan.
Fatihah Jamhari
Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)