Semasa saya berumur 12, 13 tahun, ayah saya telah menghantar saya ke sebuah Ma’had Tahfiz di Jeram, Selangor. Pengalaman dua tahun di akademi tahfiz tersebut tentulah pengalaman yang sangat padat, tidak ternilai harganya. Saya kongsi salah satu budaya yang mungkin baik untuk dikongsi bersama masyarakat Muslim, khususnya masyarakat di nusantara.
Kami, ketika menghafal Al-Qur’an, gemar untuk mengamati terlebih dahulu terjemahan kepada Al-Quran agar ayat yang bakal dihafal itu difahami dengan baik lalu akan menimbulkan rasa seronok untuk terus membaca dan memudahkan proses hafalan. Namun sebenarnya tabiat yang gemar membaca terjemahan Al-Quran inilah antara perkara yang sebenarnya sangat mengesani pembentukan pelajar-pelajar di sana. Ini bukanlah bermakna bahawa selain daripada pelajar tahfiz ini tidak membaca Al-Quran terjemahan, bahkan kami sebelum memasuki tahfiz juga membaca terjemahan, namun oleh kerana pembacaan terjemahan itu dibuat setiap kali sebelum menghafal satu-satu ayat, maka pembacaan terjemahan ini dibuat secara serius dan bukan sekadar dibuat pada ayat-ayat tertentu atau sekadar pada waktu lapang atau masa senang.
Dan di sinilah noktah yang saya ingin bawa pembaca untuk menilai semula keadaan diri kita, bagaimana perihal usaha kita dalam mendekatkan diri kta dengan Al-Quran, (sebelum membuka kitab-kitab tafsir) adakah kita sudah mula membaca terjemahan Al-Quran dengan serius sehingga kita dapat memahami makna dari bacaan ayat-ayat Al-Quran.
Kita telah dididik untuk membaca al-Quran semenjak kecil dan Alhamdulillah, ramai dalam kalangan kita yang mampu mengkhatam Al-Quran di umur yang sangat kecil lagi. Ini budaya yang sangat bagus dan tiada khilaf bahawa ianya mesti diteruskan dan diperkasakan.
Tetapi adakah proses mendekatkan diri kita dengan al-Quran terhenti setakat itu?
Adakah cukup kita mampu membaca dan mengkhatam al-Quran? Bukankah al-Quran itu surat daripada Allah s.w.t yang di dalamnya terkandung arahan dan larangan, yang menuntut kita untuk melahirkan tindakan, adakah cukup sekadar kita mewiridkannya tanpa kita memahami maknanya?
Bukankan di dalam al-Quran itu terdapat peringatan-peringatan yang keras dan mengerikan jiwa, dengannya dilembutkan hati-hati yang keras; juga jaminan-jaminan yang terlampau indah yang mampu membangkitkan perasaan yang sangat kuat dalam diri, adakah mampu kita mencapai makna tersebut tanpa memahami perkataan-perkataan di dalamnya?
Oleh sebab itu, saya suka bertanya kepada rakan-rakan pembaca, berapa ramai di kalangan kita yang sebenarnya pernah khatam Al-Quran terjemahan?
Mungkin para penceramah di masjid-masjid boleh tanyakan soalan ini kepada masyarakat, dan kita akan dapati memang sangat sedikit bilangannya.
Allah berfirman, “Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk (hidayah) kepada sekalian manusia”(1)
Al-Quran adalah sebuah buku suci yang memberi petunjuk kepada pembacanya, dan inilah tujuan agung yang sebenar ia diturunkan kepada manusia. Untuk memberi petunjuk!.
Namun petunjuk ini mustahil dapat dicapai tanpa memahami makna-maknanya.
Memang benar, dengan pembacaannya sahaja adalah ibadah dan dengannya sahaja kita sudah boleh memperoleh pahala, sepertimana yang disebut di dalam hadis, “Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah maka baginya satu pahala, dan setiap satu pahala sama dengan sepuluh kali ganda pahala. Tidaklah aku mengatakan bahawa alif lam mim sebagai satu huruf, bahkan alif adalah satu huruf, lam adalah satu huruf dan mim adalah satu huruf”
Benar, kita diberikan ganjaran yang sangat-sangat besar dengan pembacaan kita terhadap al-Quran, namun hendaklah kita tahu bahawa tujuan sebenar dalam penekanan dan gesaan terhadap pembacaan ini tidak lain tidak bukan untuk mendapatkan matlamat yang lebih besar iaitu memberikan hidayah kepada diri.
Oleh itu Rasul SAW sendiri menggariskan tatacara menjalankan ibadah tilawah Al-Quran agar mencapai maksudnya yang sebenar, sabdanya “Orang yang membaca al-Quran kurang daripada tiga hari tidak akan memahami al-Quran”(3), dan hadis lain riwayat Imam Tarmizi di mana Nabi SAW melarang Abdullah Bin Amru mengkhatamkan Al-Quran kurang daripada lima hari walaupun beliau mampu melaksanakan lebih daripada itu.(4)
Kalaulah Nabi s.a.w tidak menggalakkan menghabiskan bacaan Al-Quran kurang daripada tiga hari, kerana khuatir tidak dapat difahami dan dihayati maknanya sehingga memberi kesan pada jiwa, bagaimana pula halnya bagi kita masyarakat nusantara yang hanya membacakan Al-Quran di bibir tanpa memahami langsung makna ayat-ayat Al-Quran?
Bukankah ini isyarat yang menunjukkan tuntutan yang sangat tinggi untuk kita membaca terjemahan dan menghayati makna ayat Al-Quran?
“(Al-Quran ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu, yang sarat manfaat, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk –yang berakal sempurna- mengambil iktibar”(5) Ayat quran ini juga jelas menyebutkan kewajipan memahami, dengan teliti makna al-Quran. Dan mustahil suruhan ini anda boleh faham jika tidak dibawakan kepada anda terjemahannya!
Begitulah yang diterangkan di dalam nas al-Quran dan Sunnah, bahawa cara interaksi dengan al-Quran yang dianjurkan dalam agama, selepas pembacaan (tilawah) ialah penghayatan (tadabbur) terhadap kalimah-kalimahnya, sehinggalah al-Quran dapat membersihkan jiwa-jiwa para pembacanya, menghidupkan hati mereka, menambahkan iman, meninggikan darjat taqwa lalu membuahkan amal yang didasari oleh petunjuk yang sangat jelas dan terang.
Justeru, bersempena bulan Ramadhan yang diberkati ini, haruslah kita -secara bersungguh-sungguh dan terancang, meningkatkan tahap interaksi kita dengan al-Quran, daripada sekadar membaca (tilawah), kepada menghayati(tadabbur) makna kalam Allah yang agung.
Saya menyeru rakan-rakan pembaca yang telah khatam al-Quran, mahupun belum, untuk memulakan pembacaan dan penghayatan secara serius terhadap terjemahan al-Quran dan membudayakannya dalam pendidikan adik-adik atau anak-anak untuk mengkhatamkan juga al-Quran terjemahan di masa pembacaan al-Quran buat kali kedua (setelah mengkhatam al-Quran sekali).
Pelajar Agama
Saya masih ingat lagi, apabila saya merasakan cara pandang saya dan kehidupan saya berubah di saat membaca terjemahan al-Quran, saya menjadi obses bahawa orang Melayu(atau masyarakat selain arab secara umumnya) tidak boleh tidak mesti “tilawah dan tadabbur” terjemahan al-quran. Baca dan hayati. Sepertimana kita membaca buku, ayat-ayatnya difikirkan dan dihayati sehingga membentuk satu fikiran dan perasaan dalam diri, lalu membentuk pula satu kehidupan.
Saya lihat orang-orang ramai, saya rasa punca masalah mereka tidak memahami hakikat kehidupan adalah kerana mereka tidak membaca terjemahan al-Quran.
Saya pun mengadukan hal ini kepada seorang senior. Dia jawab dengan bertanya, “Macam mana kalau baca terus faham?(dengan sebab mengetahu bahasa arab)”
Saya jawab, “Tak boleh, mesti baca juga al-Quran terjemahan. Sebab kita orang Melayu, (walaupun kita faham bahasa arab, tapi) kita fikir dalam bahasa Melayu, jadi nak bagi dia (al-Quran) menusuk dan beri kesan dalam hati tu kita kena bagi dia (pembaca) fikir ayat yang dia baca betul-betul, dan mesti dalam bahasa Melayu..”
Saya ketika itu sedang menziarahi Mesir, kira-kira sebulan tempoh ziarah ketika itu, saya boleh faham juga ayat al-Quran jika dibaca kerana sebelum ini biasa membuka terjemahan dan saya belajar bahasa arab, tetapi penghayatan itu saya rasa tidak boleh berlaku melainkan dibaca dengan bahasa yang kita betul-betul kuasai iaitu bahasa ibunda kita.
Perkara ini memang saya yakini kerana saya sudah mula belajar bahasa arab sejak sekolah rendah lagi. Selain yang kami belajar di sekolah, ibu saya menghantar saya dan kakak ke rumah seorang guru bahasa arab untuk kami belajar secara khusus bahasa arab dengan beliau. Kemudian, saya sambung pengajian di Ma’had Tahfiz al-Quran Hira’, sekolah menengah islam dan akademi STAM, semuanya terdedah kepada pengajian bahasa arab, daripada asas pembacaan kepada undang-undang nahu, saraf dan balaghah namun oleh kerana tidak “hidup” dengan bahasa tersebut, tetapi saya masih bergantung kepada al-Quran terjemahan untuk menghayati makna ayat-ayat al-Quran dan menyarankan orang lain untuk gunakan terjemahan al-Quran.
Namun perkara ini berubah apabila saya sambung pengajian saya dan menetap lebih lama lagi di Mesir.
Benar kata senior saya sebelum ini. Kuncinya yang sebenar adalah bahasa itu dikuasai, sehingga seseorang boleh mendengar dan membaca dengan sangat baik, atau bertutur dengan fasih, atau berfikir dalam kepala dengan bahasa tersebut.
Apabila setiap hari membelek buku-buku berbahasa Arab, mendengar perbualan Arab, akhirnya kita memang memahami ayat itu di saat kita mendengarnya atau membacanya, kecuali ayat-ayat yang maksudnya tidak langsung yang memerlukan penerangan daripada kitab-kitab tafsir, juga sesetengah kalimah yang diambil makna secara majaz atau kalimah yang sangat jarang digunakan.
Jika seseorang itu fasih dalam bahasanya, ia lebih baik daripada menggunakan al-Quran terjemahan. Setiap kali dalam solatnya, dalam doanya, dalam lintasan bacaannya, ia merupakan satu tazkirah yang menghidupkan hatinya dan menambahkan imannya, tanpa perlu membelek terjemahan atau bertanyakan maksud. Tangisan yang keluar di saat mendengar bacaan imam (walaupun tidak berlagu) pun bukanlah satu perkara yang palsu (kerana tidak faham maksud) tetapi perkara yang semulajadi disebabkan perasaan yang terbina di saat memahami ayat-ayat yang dibacakan, mendengar ancaman atau anugerah yang disediakan oleh Allah taala. Ini tentulah perkara yang lebih baik.
Namun, yang menyedihkan adalah perihal pelajar jurusan agama, khususnya di timur tengah, kurang prihatin terhadap penguasaan bahasa arab. Kita, hidup dalam komuniti ini sahaja, dan bercakap pula sesama kita di dalam bahasa Melayu. Akibat daripada itu, empat ke lima tahun pengajian pelajar Melayu di timur tengah tidak menghasilkan kefasihan dalam bahasa arab bagi dirinya, dan di saat pulang ke tanah air, bukan sahaja tidak menguasai tafsir al-Quran, bahkan masih tidak dapat membawakan makna terjemahan kepada ayat-ayat yang dibacakan dan terpaksa bergantung kepada terjemahan al-Quran ketika mahu memahami ayat-ayatnya. Lebih teruk lagi kadang-kala salah terjemah al-Quran atau hadis yang dibacakan.
Akibat daripada itu, pelajar masih tidak terkesan dengan bacaan ayat-ayat al-Quran yang dipasang di kedai arab, di dalam bas atau yang dibacakan dalam solat dan khutbah.
“Sesungguhnya Kami menurunkannya (kitab itu) sebagai al-Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya”(6)
Kelemahan pelajar agama terhadap bahasa arab sangatlah menyedihkan dan wajib diperbaiki oleh semua, demi kepentingan mereka sendiri, umat dan agama ini. Dan perkara pertama yang harus dilakukan oleh masyarakat pelajar ini ialah jujur terhadap kelemahan diri mereka, berazam untuk membaikinya, dan menjalankan projek pembaikan terhadapnya secara sungguh-sungguh dan terancang.
Apabila kita renung dengan teliti, ada empat halangan utama yang membantutkan proses peningkatan kualiti bahasa arab di kalangan pelajar kita : (1) Tidak jujur dengan diri sendiri ; (2) Malu ; (3) Malas ; (4) Pelaksanaan yang tidak terancang. Halangan-halangan inilah yang harus dibuang bagi mereka yang jujur mahu memperbaiki kualiti diri mereka.
Justeru, di bulan Ramadhan yang diberkati, yang merupakan bulan al-Quran, dan al-Quran pula diturunkan di dalam bahasa Arab, saya mengajak sahabat-sahabat sepengajian untuk merancang dengan bersungguh-sungguh program samada berskala peribadi atau kumpulan- untuk meningkatkan penguasaan diri terhadap bahasa arab, sehingga kita mampu berfikir di dalam bahasa arab sepertimana kita boleh berfikir di dalam bahasa Melayu, sehingga kita memahami unsur sastera dalam bahasa arab, agar kita menjadi hampir dengan al-Quran, benar-benar menjadi pewaris nabi s.a.w dan benar-benar menjadi hamba Allah yang menyerahkan diri.
Saya tutup catatan ini dengan sebuah hadis yang dikongsikan di antara empat raka’at terawih sebentar tadi ;
عن أنس بن مالك رضي الله عنه ، قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( إن لله أهلين من الناس ) قالوا : يا رسول الله ! من هم ؟ قال : ( أهل القرآن هم أهل الله وخاصته )(7)
Allahumma ij’alna minal-maqbuleen..
Zaid Bin Zainurrashid
Syariah Islamiyyah Universiti Al-Azhar
Sumber: http://ismamesir.net/v3/2015/07/12/menjemput-hidayah-di-bulan-al-quran/