BERIMAN bahawa Islam ini suatu pegangan hidup yang syumul (sempurna) adalah suatu perkara asas dalam keimanan kita sebagai seorang muslim. Islam itu bukanlah kepercayaan atau pakaian (luaran) semata-semata, tetapi Islam itu adalah suatu keimanan yang diterjemahkan dalam bentuk kepercayaan, percakapan juga perbuatan.
Sebab itulah dalam Islam adanya ilmu aqidah yang menyentuh kepercayaan, fiqh yang menyentuh perbuatan dan juga tasawwuf atau akhlak yang menyentuk hati dan tingkah laku kita. Mengabaikan salah satu daripada perkara ini adalah satu bentuk sekularisma yang akhirnya membawa kepada ketidaksempurnaan iman seseorang.
Begitulah juga berkaitan semua suruhan atau perintah di dalam Islam itu sendiri. Setiap perbuatan atau suruhan itu sepatutnya memberi kesan yang menyeluruh dalam peribadi manusia tersebut. Contohnya seperti solat ianya bukan sekadar ibadah yang menyelesaikan tanggungjawab kewajipan semata-mata, namun sepatutnya ianya turut mempengaruhi sudut-sudut yang lainnya iaitu tingkah-lakunya, kepercayaannya serta akhlaknya selepas itu. Sebab itulah Allah swt menyebut dalam Al-Quran:
إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِۗ
“Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar” (Al-Ankabut:45)
Semalam kita dikejutkan dengan pelancaran produk oleh jenama hijab yang agak terkenal di sebuah kelab malam yang secara jelas menghidangkan arak dan merupakan sebuah pusat maksiat. Ianya adalah satu perkara yang amat menyedihkan kerana ianya secara jelas menunjukkan bagaimana mereka ini gagal memahami dan menghayati Islam itu dalam maksud yang sebenar.
Namun ianya bukanlah perkara baru, kebalakangan ini kita mula melihat hijab itu dilihat sebagai satu ‘fesyen’ semata-mata, ada yang pakai hijab dengan pakaian yang ketat bahkan ada yang pakai hijab dalam keadaan aurat jelas terbuka.
Seperti mana kita fahami bahawa ibadah (kebaikan) itu bukanlah datang dalam bentuk terpecah-pecah begitulah juga sepatutnya dihayati dalam hijab. Tudung atau hijab ini tidak sepatutnya difahami sekadar satu kain yang menutup kepala semata-mata, tetapi ia sepatutnya membentuk bersama akhlak, kepercayaan serta tingkah laku yang tersendiri selepas itu.
Hijab itu bukanlah sekadar pakaian, tetapi ia adalah satu dinding yang memelihara peribadi dan masyarakat sekelilingnya daripada jatuh ke dalam lembah fitnah (maksiat). Hijab ini adalah salah satu mekanisme yang diketengahkan oleh Syariat Islam untuk memelihara kemaslahatan masyarakat itu sendiri seperti mana mekanisme lain contohnya menjaga pandangan, menjaga ikhtilat (lelaki dan wanita) dll.
Jadi apabila hijab ini dipakai bersama kefahaman ini ianya sepatutnya melahirkan akhlak yang lainnya seperti malu, memelihara kehormatan diri, kesucian bahkan keimanan itu sendiri. Sebab itulah Allah swt apabila berbicara berkenaan soal hijab ianya dibicarakan bersama sifat-sifat lainnya kerana inilah nilai-nilai yang sepatutnya dihayati saat hijab itu mula disarungkan.
وَقُل لِّلۡمُؤۡمِنَـٰتِ يَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَـٰرِهِنَّ وَيَحۡفَظۡنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ وَلۡيَضۡرِبۡنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِہِنَّۖ
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka” (An-Nur: 31)
Pembuat dan pamakai hijab hari ini sepatutnya sentiasa mengkoreksi kembali apa yang mereka mahukan daripada pemakaian hijab ini. Hijab ini sepatutnya mengangkat serta memuliakan martabat wanita dan bukannya menjatuhkan serta menghilangkan kehormatan pada diri seorang wanita itu. Tiada masalah untuk mencantikkan hijab itu tetapi ianya hendaklah masih lagi memenuhi ciri syarak serta mengekalkan fungsi atau tujuan (maqasid) daripada kefardhuan hijab itu sendiri.
Seperti mana ada satu hadis menyebut tidak akan berzina atau mencuri seseorang dalam keadaan padanya iman begitu jugalah seorang wanita itu tidak mungkin melakukan maksiat dalam keadaan dia berhijab dengan kefahaman yang benar kerana hijab itu adalah salah satu lambang keimanan. Hijab inilah sebenarnya salah satu kunci penyelesaian kepada segala permasalahan sosial yang sedang kita hadapi dalam masyarakat hari ini tetapi ianya menuntut kepada kefahaman dan penghayatan yang sebenar.
Islam itu hadir untuk mengangkat kemuliaan diri kita mengapa kita masih lagi ingin terus selesa dan terus memaksa diri kita duduk dalam lembah kehinaan?
Ustaz Muhammad Firdaus bin Zalani
Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Sumber: muis.org.my
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)