- Dalam sebuah hadis, Rasulullah ﷺ memberikan definisi yang menarik tentang pengertian hijrah. Hijrah bukan sekadar perpindahan secara fizikal semata tetapi perubahan jiwa ke arah yang baik, menjauhkan diri dari perkara yang ditegah oleh Allah. Sabda Rasulullah ﷺ:
وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ
Dan orang yang berhijrah itu adalah orang yang berhijrah (menjauhkan diri) daripada melakukan apa yang Allah larang. (HR al-Bukhari)
- Dalam sebuah riwayat yang lain, Rasulullah ﷺ memperincikan lagi maksud ini kepada meninggalkan dosa dan maksiat. Sabda Rasulullah:
وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ الْخَطَايَا وَالذُّنُوبَ
“Dan orang yang berhijrah itu adalah mereka yang meninggalkan kesalahan dan dosa.” (HR Ahmad)
- Jelas di sini bahawa definisi hijrah bukan sekadar pepindahan berbentuk fizikal tetapi adalah proses peralihan ke arah sesuatu yang lebih baik. Dalam erti kata yang lain, konsep hijrah merangkumi perubahan jiwa ke arah yang lebih baik.
- Ketika menghuraikan hadis ini, Mulla Ali al-Qari menjelaskan:
لِأَنَّ الْحِكْمَةَ مِنَ الْهِجْرَةِ التَّمَكُّنُ مِنَ الطَّاعَةِ بِلَا مَانِعٍ، وَالتَّبَرُّؤُ عَنْ صُحْبَةِ الْأَشْرَارِ الْمُؤَثِّرَةِ فِي اكْتِسَابِ الْخَطَايَا
“Ini adalah kerana, hikmah hijrah adalah memperkukuh ketaatan dan melepaskan diri manusia daripada sebarang pengaruh jahat yang memberikan kesan kepada jiwa manusia sehingga menyebabkan diri mereka terjerumus ke dalam kancah dosa.” (Mirqah al-Mafatih)
- Oleh yang demikian, sempena Maal Hijrah tahun ini, mari bersama tanamkan azam untuk melaksanakan perubahan diri ke arah yang lebih baik. Bukan sekadar laungan dan nyanyian yang mengiringi sambutan peristiwa penting ini malah disertai dengan azam kebaikan.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)