Hizbullah Lubnan menyerang pos pemerhati Israel dengan 62 roket sebagai tindak balas awal terhadap pembunuhan Timbalan Ketua Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Saleh al-Arouri di Beirut.
Hizbullah dalam kenyataan pada Sabtu berkata, serangan itu mengenai tiang utama di puncak bukit yang menjadi tumpuan Israel untuk pemerhatian dan kawalan udara.
Terdahulu, tentera Israel berkata, tembakan dahsyat dari Lubnan menyasarkan utara Israel.
Susulan itu, ia bertindak balas dengan menyerang ‘sel pejuang’ yang mengambil bahagian dalam serangan itu.
Tidak lama selepas siren roket dibunyikan di seluruh utara Israel, tentera berkata, kira-kira 40 pelancaran dari Lubnan ke arah kawasan Meron di utara Israel telah dikenal pasti.
Kumpulan Lubnan Jamaa al-Islamiya, yang kehilangan dua anggotanya dalam serangan Israel di Beirut, kemudian mengesahkan telah melepaskan dua das tembakan roket ke Kiryat Shmona di utara negara haram Israel.
Peningkatan di sepanjang sempadan berlaku selepas serangan dron Israel di pinggir selatan ibu kota Lubnan membunuh Saleh al-Arouri pada Selasa.
Ketua Hizbullah, Hassan Nasrallah berkata, Lubnan akan terdedah kepada serangan selanjutnya jika kumpulan itu kekal berdiam diri dalam serangan berkenaan.
Sementara itu, Ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell, yang berada di Lubnan, memberi amaran negara itu bakal diheret ke dalam konflik yang lebih meluas berikutan perang Israel-Palestin, yang bermula pada 7 Oktober.
Beliau menyifatkan adalah penting untuk mengelakkan peningkatan ketegangan serantau, dan memberi amaran kepada Israel bahawa tiada siapa yang akan menang daripada konflik serantau.- Agensi
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM