KOTA BHARU: Kebanyakan hospital di Kelantan sudah melaksanakan pengoperasian patuh syariah dengan bantuan pegawai agama bagi mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif.
Ia selaras hasrat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang ingin menjadikan fasiliti kesihatan itu sebagai Hospital Mesra Ibadah yang sebenarnya sudah pun dimulakan pada 2014.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin, memberi contoh antara aspek patuh syariah adalah rawatan pesakit dikendalikan doktor atau petugas kesihatan sama jantina.
“Untuk rawatan, aspek patuh syariah ialah dari segi perawat itu sendiri, doktor dan jururawat (sama jantina dengan pesakit). Mungkin akan ada sedikit kekangan dalam aspek kekurangan petugas, namun dalam keadaan darurat, petugas berlainan jantina dengan pesakit masih boleh memberi rawatan.
“Bagaimanapun, kita akan cuba untuk melaksanakan aspek patuh syariah ini sebaik mungkin, tetapi tentu mempunyai kekangan dari segi kefahaman dan amalan untuk menjadikan hospital itu mesra ibadah.
“Kita sudah mengadakan kursus untuk mereka (petugas), kebanyakannya faham. Cuma dari segi penerapan, mungkin sedikit sebanyak ada kekangan dan kami akan cuba mengoptimumkan aspek patuh syariah itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kursus Jururawat Patuh Syariah di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu, di sini semalam.
Dr Zaini berkata, banyak aktiviti di hospital bawah Kementerian Kesihatan (KKM) yang menerapkan program menjurus kepada Hospital Mesra Ibadah.
“Justeru, kursus jururawat patuh syariah yang diadakan di KPTM Kota Bharu ini tentu sekali membantu kami di KKM, khususnya dalam memastikan persekitaran kondusif di hospital, terutama bagi umat Islam dan membantu pesakit yang berada di wad.
“Tentu sekali ini (kursus) berhubung kait dengan agam Islam sendiri. Saya berharap perkara ini dapat diteruskan pada masa hadapan dan kami sentiasa menyokong usaha nilai tambah, bukan sahaja dari segi profesional kejururawatan, tetapi juga membabitkan hukum Islam,” katanya.
Sementara itu, Pengasas BeDaie, Muhammad Amar Mirza Ab Kadir Jailani, berkata KPTM Kota Bharu menjalin kerjasama dengan pihaknya untuk melaksanakan kursus jururawat patuh syariah melalui modul disediakan BeDaie.
“Kami menyediakan modul menyentuh enam aspek utama bagi seseorang jururawat. Kursus di KPTM Kota Bharu ini susulan kejayaan kami membantu mewujudkan persekitaran patuh syariah di hospital, klinik dan farmasi tertentu pada Julai lalu,” katanya.- Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM