Hasrat jadi muslim terlaksana

 

KUALA TERENGGANU – Dibesarkan dalam keluarga Hindu, Abdul Rahman Rathanam, 35, tidak menyangka dirinya akan memeluk agama lain selain daripada agama nenek moyangnya.

Bekerja di Mydin Mall Kuala Terengganu, Abdul Rahman dengan nama asal Mathan a/l Rathanam berkata, tiada kata yang dapat diluahkan sebaik sahaja memeluk agama Islam melalui bimbingan syahadah oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail pada 6 Jun lepas.

“Saya gembira dan lega kerana akhirnya dapat menjadi seorang Islam,” luahnya yang turut terharu hasratnya menjadi orang Islam tertunai.

Buat pertama kalinya, Abdul Rahman yang berasal dari Kuala Lumpur turut berpuasa pada hari pertama pengislamannya bagi merasai cabaran yang sedang dihadapi umat Islam sepanjang Ramadan.

Abdul Rahman tidak mempunyai keluarga berikutan kesemua ahli keluarganya meninggal dalam kemalangan jalan raya berkata, dia juga sedang belajar solat dan buat masa ini hanya mengingati gerakan solat sahaja.

Mengulas mengenai hasrat untuk menjadi penganut Islam, Abdul Rahman berkata, dia meminati Islam dan yakin dengan kebenaran agama tersebut selepas bermimpi mengenai seorang lelaki memakai jubah putih memperdengarkan bacaan al-Quran kepadanya.

Jelasnya, suara bacaan al-Quran oleh lelaki terbabit sentiasa terngiang-ngiang dalam kepalanya menyebabkan keyakinannya bertambah kuat untuk mendalami Islam.

“Tetapi sehingga sekarang, saya tidak tahu surah dan ayat berapa yang dibacakan itu,” katanya.

Sementara itu, keluarga angkat kepada Abdul Rahman yang juga pasangan suami isteri mualaf iaitu Faruq Sathiaseelan Abdullah, 32 dan isterinya, Yati Angela Devi Abdullah, 52, turut gembira menyambut pengislaman Abdul Rahman.

Faruq turut menganggap tanggungjawab bagi memastikan Abdul Rahman mempraktikkan Islam sebenarnya turut menjadi tanggungjawab mereka berdua.

“Saya dan isteri tinggal di Pasir Panjang mengenali Abdul Rahman kerana bekerja di tempat yang sama dan dengan pengislaman ini kami boleh sama-sama membimbing Abdul Rahman ke arah Islam sebenar,” katanya.

Sementara itu, Faruq yang berasal dari Negeri Sembilan ketika menceritakan pengislamannya memberitahu bahawa laungan azan menariknya ke arah Islam dan hasrat untuk menjadi seorang Muslim turut dikuatkan lagi melalui pergaulan dengan orang Melayu.

Isterinya, Yati Angela berasal dari Dungun menganut agama Islam pada 1983 pula menceritakan tindakannya yang tidak pernah ketinggalan mengikuti kelas Pendidikan Islam di sekolah menyebabkan tertarik dengan Islam di samping terpikat dengan cara hidup Islam yang ditonjolkan kawan-kawan Muslim. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts