Soalan:
Assalamualaikum. Soalan saya berkaitan ayat 44 surah Hud yang dikatakan sebagai doa untuk mohon dipulihkan banjir. Bolehkan berdoa dengan menggunakan ayat tersebut?
Jawapan:
Waalaikumussalam wbt,
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Ayat al-Quran yang dimaksudkan ialah firman Allah Taala:
وَقِيلَ يَا أَرْضُ ابْلَعِي مَاءَكِ وَيَا سَمَاءُ أَقْلِعِي وَغِيضَ الْمَاءُ وَقُضِيَ الْأَمْرُ وَاسْتَوَتْ عَلَى الْجُودِيِّ ۖ وَقِيلَ بُعْدًا لِّلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ
Maksudnya: “Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: “Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu”. Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung “Judi” serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): “Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang yang zalim”.
(Surah Hud: 44)
Imam Ibn Katsir Rahimahullah berkata: “Allah Taala memberitahu bahawa sesungguhnya dia, apabila telah tenggelam warga bumi melainkan mereka yang berada di atas kapal, mengarahkan bumi supaya menelan airnya yang telah keluar daripadanya dan berhimpun di atasnya, dan langit untuk berhenti daripada terus menurunkan hujan.”
Rujuk Tafsir al-Quran al-`Azhim (4/323)
Berdasarkan ayat di atas, ayat ini menunjukkan perbuatan Allah Taala mengarahkan bumi dan langit untuk menyurutkan banjir yang berlaku pada zaman Nabi Nuh. Ini juga menunjukkan kehebatan dan keagungan Allah Taala sebagai Pentadbir Hakiki bagi bumi dan langit sedangkan kekufuran manusia itu tidak sedikit pun menggugah kebesaran Allah Taala. Justeru, jika kita melihat kepada teks ayat, ayat tersebut menyebut tentang perbuatan Allah SWT yang mengarahkan bumi dan langit; dan bukan dalam bentuk doa.
Timbul persoalan; apakah dibenarkan dalam hukum syarak untuk bertabarruk dan bertawassul dalam doa kepada Allah Taala dengan ayat ini meminta agar memulihkan banjir yang berlaku di beberapa bahagian tempat di dalam negara, baru-baru ini?
Jawapannya, kami tidak pasti tentang kemujaraban ayat ini dalam isu banjir. Tetapi sifat al-Quran itu sebagai syifa’ atau penyembuh tidak dapat dinafikan, sama ada yang disembuhkan itu penyakit nurani atau jasmani. Termaktub dalam kitab-kitab para ulama, antaranya yang dicatat oleh Imam Ibn Muflih al-Hanbali Rahimahullah dalam al-Adab al-Syar`iyyah (2/457), bahawa Syeikh Taqiuddin Ibn Taimiyyah Rahimahullah menulis ayat tersebut pada dahi orang yang terkena penyakit hidup berdarah sebagai ruqyah dan tabarruk dengan ayat al-Quran dalam rawatan jasmani. Wallahua’lam.
Selain itu, Imam al-Nawawi Rahimahullah ada menulis dalam kitabnya, al-Adzkar (ms. 182), satu bab yang bertajuk “Apa yang perlu seseorang itu baca ketika hujan turun dengan terlalu banyak sehingga ditakuti berlakunya mudarat.” Beliau menyebut tentang satu riwayat daripada Anas bin Malik RA bahawa seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah SAW perihal kemarau yang mereka alami sehingga rosaklah harta dan jalan. Lalu Baginda SAW yang ketika itu sedang berkhutbah lantas berdoa dan hujan pun turun dengan lebat. Apabila hujan turun dengan begitu lebat sehingga seminggu tidak nampak matahari, maka datang kembali lelaki tadi dan meminta doa daripada Rasulullah SAW agar Allah SWT menghentikan hujan kerana harta dan jalan. Maka Rasulullah SAW berdoa:
اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا اللَّهُمَّ عَلَى الآكَامِ وَالظِّرَابِ وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ
Maksudnya: “Ya Allah! (Kami bermohon agar hujan hanya) mengelilingi kami dan bukannya menimpa ke atas kami. Ya Allah! (Alihkan ia) ke atas tempat-tempat tinggi, gunung ganang dan bukit bukau, perut-perut lembah, dan tempat tumbuhnya pokok-pokok.”
Riwayat al-Bukhari (1014)
Maka berhentilah hujan dan keluarlah matahari. Sebahagian ulama menulis faedah doa ini bahawa secara adabnya kita berdoa agar Allah SWT mengalihkan hujan ini ke tempat-tempat lain kerana hujan itu membawa rahmat dan keberkatan. Sememangnya memperbanyakkan doa ketika musibah itu adalah amalan yang dituntut oleh Syarak. Daripada Ummul Mukminin, Umm Salamah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ عَبْدٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ، فَيَقُولُ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ، اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي، وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا، إِلَّا أَجَرَهُ اللهُ فِي مُصِيبَتِهِ، وَأَخْلَفَ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا
Maksudnya: “Tiada daripada kalangan hamba (Allah) yang ditimpa suatu musibah, kemudian mengucapkan: “Innā lillāhi wa innā ilaihi rājiʿun (Sesungguhnya kami milik Allah dan pastinya kami akan kembali kepada-Nya), Ya Allah! Aku mohon akan kurniakanlah ganjaran pada musibahku ini, dan berikanlah ganti yang lebih baik daripada musibah ini,” melainkan Allah akan memberikan pahala kepadanya kerana musibah itu dan menggantikan yang lebih baik.”
Riwayat Muslim (918)
Begitu juga, digalakkan bagi seorang Mukmin itu memperbanyakkan istighfar, meminta ampun dan maaf daripada Allah SWT daripada apa-apa dosa yang dia lakukan sama ada sedar atau tidak sedar. Ini kerana dosa akan mengundang bala dan musibah dalam kehidupan seorang Mukmin manakala istighfar akan menolaknya dan menggantikan dengan kebaikan yang tak disangka-sangka. Daripada Abdullah bin Abbas R.Ahuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang melazimi istighfar, maka Allah akan menjadikan baginya pada setiap kesempitan ada jalan keluar, dan pada setiap duka cita ada perlepasan, dan Allah merezekikannya daripada arah yang tak disangka-sangka.”
Riwayat Abu Daud (1518) dan Ibn Majah (3819)
Ini dikuatkan dengan firman Allah Taala tentang pesanan Nabi Nuh AS kepada kaumnya:
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (10) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا (11) وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا (12)
Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; “Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).”
(Surah al-Nuh: 10-12)
Justeru, tidak salah untuk berdoa kepada Allah dengan bertawassul dan bertabarruk dengan ayat-ayat al-Quran termasuklah ayat yang dinyatakan di atas. Namun daripada sudut keutamaan, kami menggalakkan agar masyarakat melazimi jua doa-doa yang warid daripada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang berkat dan mujarab. Semoga Allah SWT memakbulkan permintaan-permintaan kita yang baik dan menjauhkan kita daripada bala dan musibah melanda. Wallahua’lam. – Muftiwp
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM