Hukum isteri bersedekah menggunakan harta suami tanpa izinnya

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan soalan, sudah menjadi kebiasaan bagi sesetengah pasangan, suami memberikan sedikit duit untuk perbelanjaan si isteri, namun bagaimanakah hukum sekiranya si isteri menggunakan sebahagian harta tersebut atau mengambil sedikit harta suami untuk disedekahkan kepada orang yang memerlukan tanpa sebarang pengetahuan atau keizinan daripada suami? Mohon pandangan Datuk Mufti. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Hukum isteri bersedekah menggunakan harta suami tanpa keizinannya adalah harus namun mestilah dengan kadar ataupun nilai yang rendah dan tidak membebankan suami di samping telah diketahui bahawa suami reda akan perbuatan tersebut. Meskipun begitu, sekiranya diyakini bahawa suami tidak reda atas tindakan isteri itu, maka perlulah mendapatkan keizinan daripada suami.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Pada dasarnya, hukum memberi sedekah menggunakan harta orang lain adalah haram oleh kerana pemberian sedekah hendaklah menggunakan barangan atau sesuatu yang merupakan hak milik si pemberi. Manakala perbuatan menggunakan harta orang lain tanpa izin adalah merupakan suatu kesalahan dalam Islam.

Dalam hal isteri menggunakan harta suami untuk bersedekah, terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah al-Bahili R.A, beliau berkata:

سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي خُطْبَتِهِ عَامَ حَجَّةِ الوَدَاعِ يَقُولُ: لَا تُنْفِقُ امْرَأَةٌ شَيْئًا مِنْ بَيْتِ زَوْجِهَا إِلَّا بِإِذْنِ زَوْجِهَا»، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَلَا الطَّعَامُ، قَالَ: «ذَاكَ أَفْضَلُ أَمْوَالِنَا.

Maksudnya: Aku mendengar Rasulullah SAW berbicara dalam khutbahnya pada tahun haji wada‘, Baginda bersabda: Janganlah seseorang wanita menafkahkan sesuatu dari rumah suaminya melainkan dengan keizinan suaminya.” Lalu ditanya: Wahai Rasulullah, termasuk makanan jugakah? Baginda menjawab: (Ya), kerana ia merupakan harta kita yang paling utama.”

Riwayat al-Tirmizi (670) Hadis ini dinilai sebagai hadis hasan.

Berdasarkan hadis ini, Syeikh Muhammad Anuar Shah al-Kasymiri menjelaskan bahawa sekiranya isteri itu diberikan kebenaran sama ada secara jelas atau berdasarkan uruf (adat setempat), maka ia dibenarkan untuk bersedekah di samping dia juga memperoleh pahala, namun sekiranya tiada keizinan, maka si isteri tidak boleh bersedekah bahkan mendapat dosa jika berbuat demikian.

Terdapat riwayat hadis lain yang menyatakan keharusan si isteri menyedekahkan daripada harta suaminya berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

إِذَا تَصَدَّقَتِ المَرْأَةُ مِنْ بَيْتِ زَوْجِهَا كَانَ لَهَا بِهِ أَجْرٌ، وَلِلزَّوْجِ مِثْلُ ذَلِكَ، وَلِلْخَازِنِ مِثْلُ ذَلِكَ، وَلَا يَنْقُصُ كُلُّ وَاحِدٍ مِنْهُمْ مِنْ أَجْرِ صَاحِبِهِ شَيْئًا، لَهُ بِمَا كَسَبَ، وَلَهَا بِمَا أَنْفَقَتْ

Maksudnya: “Jika seorang wanita (isteri) itu bersedekah dengan harta suaminya, maka dia akan mendapat pahala, begitu juga dengan suaminya dan orang yang menyimpannya (hamba). Tidak ada seorang pun di antara mereka yang akan berkurang pahalanya. Suami akan mendapat pahala berdasarkan hasil usahanya, manakala isteri pula mendapat pahala daripada apa yang disedekahkannya.”

Riwayat al-Tirmizi (671) Imam al-Tirmizi menilai hadis ini sebagai hadis hasan sahih.

Para ulama mengatakan tidak dibolehkan bagi isteri atau hamba untuk bersedekah dengan menggunakan harta suami atau tuannya melainkan dengan adanya keizinan daripada mereka. Adapun hadis yang membolehkan adalah bersandarkan kepada adat ahli hijaz yang menyerahkan urusan ini kepada ahli keluarga (isteri) atau hamba apabila ada orang yang memerlukan bantuan dan juga apabila adanya tetamu.

Dan dalam satu riwayat lain pula:

إِذَا أَنْفَقَتِ الْمَرْأَةُ مِنْ بَيْتِ زَوْجِهَا غَيْرَ مُفْسِدَةٍ، كَانَ لَهَا أَجْرُهَا وَلَهُ مِثْلُهُ بِمَا اكْتَسَبَ، وَلَهَا بِمَا أَنْفَقَتْ، وَلِلْخَازِنِ مِثْل ذَلِكَ، مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْتَقِصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا

Maksudnya: Jika seseorang wanita itu (isteri) bersedekah dengan harta suaminya tanpa timbulnya sebarang mafsadah, dia mendapat pahala sedekah, dan suaminya mendapat pahala seperti apa yang diusahakannya, dia (isteri) juga mendapat pahala seperti apa yang dinafkahkannya. Begitu juga bagi orang yang menyimpannya (penjaga harta) akan mendapatkan hal yang sama, tanpa mengurangi sedikitpun pahala mereka.

Riwayat Muslim (1024)

Imam al-Nawawi memberikan komentarnya berkenaan hadis ini berhubung persoalan isteri bersedekah menggunakan harta suami tanpa keizinan suami. Beliau berkata:

وَالْإِذْنُ ضَرْبَانِ أَحَدُهُمَا الْإِذْنُ الصَّرِيحُ فِي النَّفَقَةِ وَالصَّدَقَةِ وَالثَّانِي الْإِذْنُ الْمَفْهُومُ مِنَ اطِّرَادِ الْعُرْفِ وَالْعَادَةِ كَإِعْطَاءِ السَّائِلِ كِسْرَةً وَنَحْوَهَا مِمَّا جَرَتِ الْعَادَةُ بِهِ وَاطَّرَدَ الْعُرْفُ فِيهِ وَعُلِمَ بِالْعُرْفِ رِضَاءُ الزَّوْجِ وَالْمَالِكِ بِهِ فَإِذْنُهُ فِي ذَلِكَ حَاصِلٌ وَإِنْ لَمْ يَتَكَلَّمْ وَهَذَا إِذَا عُلِمَ رِضَاهُ لِاطِّرَادِ الْعُرْفِ وَعُلِمَ أَنَّ نَفْسَهُ كَنُفُوسِ غَالِبِ النَّاسِ فِي السَّمَاحَةِ بِذَلِكَ وَالرِّضَا بِهِ فَإِنِ اضْطَرَبَ الْعُرْفُ وَشَكَّ فِي رِضَاهُ أَوْ كَانَ شَخْصًا يَشُحُّ بِذَلِكَ وَعُلِمَ مِنْ حَالِهِ ذَلِكَ أَوْ شَكَّ فِيهِ لَمْ يَجُزْ لِلْمَرْأَةِ وَغَيْرِهَا التَّصَدُّقُ مِنْ مَالِهِ إِلَّا بِصَرِيحِ إِذْنِهِ.

Maksudnya: Keizinan itu ada dua jenis, pertamanya keizinan yang sorih (jelas) pada nafkah dan sedekah. Keduanya, keizinan yang difahami daripada kebiasaan uruf (adat setempat) dan adat suatu tempat, seperti contoh memberi sepotong roti atau seumpamanya kepada orang yang meminta, mengikut kebiasaan atau adat yang berlangsung. Atau diketahui secara kebiasaannya bahawa suami atau pemilik harta reda dengannya, maka keizinannya terhadap perkara tersebut terhasil sekalipun dia tidak melafazkannya atau mengucapkannya, dan hal ini tentunya bila diketahui keredaannya menurut kebiasaan dirinya dan diketahui juga jiwanya sebagaimana jiwa kedermawanan kebanyakan orang  terhadap perkara tersebut dan juga keredaan terhadapnya. Namun sekiranya adat atau budaya setempat itu berbeza atau berubah-ubah, dan diragukan keredaannya (suami dan pemilik harta) atau dia merupakan seorang yang kedekut dan hal itu diketahui daripada keadaannya atau diragukan tentang perkara itu, maka isteri dan juga selainnya tidak dibenarkan untuk bersedekah menggunakan harta si suami melainkan dengan keizinan yang jelas daripadanya.

Beliau menambah lagi, keharusan bersedekah ini hanyalah untuk kadar yang kecil, ringan dan juga sekadar yang diketahui tahap keredaan pemilik harta jika hartanya disedekahkan, maka sekiranya ia melebihi kadar kebiasaan uruf, tidak dibenarkan. Oleh yang demikian, disebutkan lafaz غَيْرَ مُفْسِدَةٍ (ghair mufsidah) bererti kadar yang diketahui kebiasaannya suami akan reda, dan hadis yang menyebutkan dan menekankan lafaz makanan sebagai contoh adalah kerana pada kebiasaannya diizinkan oleh suami berbanding dinar dan juga dirham menurut kebanyakan keluarga dan juga keadaan.

Seterusnya, berhubung pahala sedekah, sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi, sekiranya isteri bersedekah menggunakan harta suami tanpa adanya keizinan yang jelas daripadanya namun hanya sekadar keizinan secara umum, maka suaminya mendapat pahala sebanyak separuh begitu juga isteri. Namun, sekiranya tiada keizinan langsung daripada suami terhadapnya sama ada secara jelas mahupun umum, maka tiada pahala bagi isteri, malah menanggung pula beban dosa.

Kesimpulannya, hukum isteri bersedekah menggunakan harta suami tanpa keizinannya adalah harus namun mestilah dengan kadar ataupun nilai yang rendah dan tidak membebankan suami di samping telah diyakini bahawa suami akan reda terhadap perbuatan tersebut. Meskipun begitu, sekiranya diketahui bahawa suami tidak reda akannya, maka terlebih dahulu perlulah mendapat keizinan daripada suami.

Kami menasihatkan agar pasangan suami isteri berbincang dan membina kefahaman bersama dalam hal pengurusan harta rumahtangga agar tidak timbul sebarang konflik atau rasa tidak puas hati yang boleh membawa kepada berlakunya keretakan dan perpecahan hubungan suami isteri. Akhir kalam, sebaiknya juga, suami memberikan sedikit nafkah kepada isteri untuknya mengerjakan amal kebajikan ini, moga-moga dengan usaha ini dapat menghasilkan pahala buat kedua-duanya. Wallahu A’lam – Muftiwp

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts