Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Bersempena dengan lambaian kaabah dan panggilan haji tahun ini yang bakal tiba, kami mengambil kesempatan untuk menyiarkan serta menerbitkan soal jawab isu yang berkaitan dengan haji dan juga korban. Inu bertujuan untuk memberi kefahaman yang lebih jelas kepada masyarakat awam dan juga jemaah haji. Mudah-mudahan sumbangan seperti ini akan memberikan kebaikan kepada kita semua.
Soalan:
Assalamualaikum S.S Mufti. Apakah hukum anak kecil yang dibawa oleh ibubapanya untuk menunaikan haji dan adakah sah haji yang dilakukan oleh anak kecil tersebut ?
Jawapan:
Wa’alaikumussalam W.B.T. Isu ini merupakan isu yang sering menjadi persoalan masyarakat umum saban tahun. Justeru, di dalam Irsyad Fatwa khas Haji bagi siri yang pertama ini, pihak kami mengambil tanggungjawab untuk mengulas isu ini dengan membincangkan hukumnya secara lebih lanjut.
Syarat-Syarat Wajib Haji
Sebelum kami mengulas isu ini dengan lebih lanjut, suka untuk kami nyatakan beberapa syarat haji seperti yang berikut:
Pertama: Hendaklah dilakukan oleh seorang Muslim.
Ini kerana, haji merupakan suatu ibadah bahkan satu rukun daripada rukun Islam yang lima. Manakala ibadah tidak diterima daripada orang kafir. Ini adalah berdasarkan firman Allah S.W.T:
وَمَا مَنَعَهُمْ أَن تُقْبَلَ مِنْهُمْ نَفَقَاتُهُمْ إِلاَّ أَنَّهُمْ كَفَرُواْ بِاللّهِ وَبِرَسُولِهِ
Maksudnya: Dan tidaklah yang menghalang daripada diterimanya nafkah-nafkah mereka itu melainkan kerana mereka kufur dengan Allah dan juga Rasul-Nya.
Surah Al-Taubah (54)
Kata al-Hafiz Ibn Kathir Rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini: Allah S.W.T menjelaskan sebab tidak diterimanya amalan mereka adalah kerana mereka kufur dengan Allah dan juga Rasul-Nya. Dan sesungguhnya setiap amalan hanya sah dengan beriman. Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azhim, Ibn Kathir (4/162).
Kedua: Hendaklah ibadah haji dilakukan oleh orang yang berakal.
Ibadah haji tidak diterima dan tidak wajib dilakukan oleh orang yang gila. Ini kerana, haji sebagaimana ibadah yang lainnya memerlukan kepada niat. Justeru, adalah tidak mungkin bagi seorang yang gila untuk berniat. Ini juga berdasarkan sabda Nabi S.A.W yang berikut:
رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثَةٍ عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ
Maksudnya: Diangkat pena itu dari tiga orang, iaitu seorang yang tidur sehingga dia bangun. Seorang kanak-kanak kecil sehinggalah dia bermimpi (baligh), dan dari seorang gila sehinggalah dia berakal.
Riwayat Abu Daud (4403)
Hadis di atas jelas menunjukkan perbuatan ketiga-tiga mereka ini tidak diambil kira dari sudut dosa dan pahala selama mana mereka berada di dalam keadaan tersebut. Maka seorang yang gila tidak dihitung dosa dan pahalanya sehinggalah dia berakal.
Ketiga: Baligh
Di antara syarat haji, hendaklah ia dilakukan oleh seorang yang baligh. Ini berdalilkan hadis riwayat Abu Daud yang kami nyatakan di atas. Manakala tanda-tanda balighnya seorang lelaki dan perempuan itu dapat diketahui dengan cara berikut:
- Keluarnya air mani.
- Tumbuhnya bulu di bahagian kemaluan.
- Lengkapnya 15 tahun umur bagi seorang lelaki dan perempuan.
- Datangnya haid bagi perempuan.
Keempat: Merdeka
Yang dimaksudkan dengan merdeka di sini adalah, seseorang itu bukanlah seorang hamba. Ini kerana seorang hamba itu sibuk dengan hak tuannya ke atas dirinya.
Kelima: Kemampuan
Kemampuan juga termasuk dalam syarat wajibnya haji. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:
وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنْ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلا
Maksudnya: Dan kerana Allah (menjadi tanggungjawab) ke atas setiap manusia itu untuk melakukan haji bagi sesiapa yang mampu untuk melaksanakannya.
Surah Aali Imraan (97)
Para fuqaha membahagikan maksud istitha’ah (kemampuan) di sini kepada dua:
- Kemampuan badan: Hendaklah dipastikan sihatnya tubuh badan untuk menunaikan ibadah haji.
- Kemampuan harta: Duit serta bekalan sepanjang perjalanan menunaikan haji juga hendaklah dipastikan mencukupi
Hukum Kanak-Kanak Mengerjakan Haji
Para fuqaha telah membincangkan isu ini dengan panjang lebar di dalam kitab-kitab mereka. Berdasarkan syarat-syarat wajib haji yang kami sebutkan di atas, jelas menunjukkan bahawa tidak diwajibkan haji bagi kanak-kanak. Persoalan yang timbul, adakah dibolehkan untuk kanak-kanak melakukan haji dan apakah hukumnya ?
Maka para fuqaha berpendapat bahawa dibolehkan untuk kanak-kanak melakukan haji berdasarkan beberapa nas yang berikut:
Pertama: Hadis Saidina Abdullah Ibn Abbas R.A.
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُما عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم لَقِيَ رَكْباً بِالرَّوْحَاءِ فَقَالَ: «مَنِ القَوْمُ». قَالُوا: المُسْلِمُونَ فَقَالُوا: مَنْ أنْتَ قال: «رَسُولُ الله». فَرَفَعَتْ إِلَيْهِ امْرَأةٌ صَبِيّاً فَقَالَتْ: ألِهَذَا حَجّ قال: «نَعَمْ وَلَكِ أجْرٌ». أخرجه مسلم.
Maksudnya: Daripada Ibn Abbas R.anhuma dari Nabi S.A.W bahawa baginda berjumpa dengan segerombolan penunggang di Al-Rauha lalu berkata: “Siapakah kalian ?”. Mereka pun menjawab: “Orang-orang Islam”. Mereka pula bertanya: “Siapakah kamu?”. Maka baginda menjawab: “Aku Rasulullah”. Maka seorang wanita pun menghadapkan seorang kanak-kanak kecil kepada Rasulullah lalu berkata: “Adakah ada haji untuk anak kecil ini ?”. Lalu Nabi S.A.W menjawab: “Ya, dan bagimu ganjaran pahala”.
Riwayat Muslim (1336)
Kedua: Berdasarkan sebuah hadis daripada Al-Sa’ib bin Yazid R.A. beliau berkata:
حُجَّ بِي مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَأَنَا ابْنُ سَبْعِ سِنِينَ
Maksudnya: Aku dibawa melakukan haji bersama-sama Rasulullah S.A.W ketika aku berumur tujuh tahun.
Riwayat Al-Bukhari (1858)
Ketiga: Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Jabir Bin Abdillah R.A. beliau berkata:
حَجَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ وَمَعَنَا النِّسَاءُ وَالصِّبْيَانُ فَلَبَّيْنَا عَنِ الصِّبْيَانِ وَرَمَيْنَا عَنْهُمْ
Maksudnya: Kami melakukan haji bersama dengan Rasulullah S.A.W dan turut serta bersama kami adalah kaum perempuan, kanak-kanak, maka kami bertalbiah bagi pihak mereka serta melontar (jamrah) bagi pihak mereka.
Riwayat Ibn Majah (3038)
Berdasarkan ketiga-tiga hadis di atas jelas menunjukkan bahawa dibolehkan bagi kanak-kanak untuk melakukan haji dan sah haji yang mereka lakukan. Pun begitu, haji yang dilakukan semasa kecil tidak dianggap sebagai haji Islam iaitu haji yang diwajibkan ke atas mereka. Ini bermakna, ketika kanak-kanak itu sudah sampai ke tempoh baligh, maka menjadi kewajipan ke atas dirinya untuk menunaikan haji.
Berikut merupakan beberapa pendapat tokoh fuqaha berkenaan isu ini:
Pertama: Kata Imam al-Mawardi Rahimahullah: Sekiranya seorang anak kecil melakukan haji sebelum tempoh balighnya dan begitu juga seorang hamba melakukan haji sebelum dibebaskan maka haji tersebut tetap tidak dikira sebagai haji islam (yang wajib) dan keduanya perlu menunaikan haji setelah baligh dan juga setelah merdeka. Lihat Al-Iqna’, al-Mawardi (1/83).
Kedua: Kata Imam al-Nawawi Rahimahullah: Dan mazhab kami (al-Syafi’e) bahawasanya sah haji yang dilakukan oleh kanak-kanak dan ia tidak wajib ke atasnya. Adapun tidak wajib ke atas kanak-kanak untuk melakukan haji maka itu merupakan perkara yang telah diijma’kan. Rujuk Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, al-Nawawi (7/39).
Ketiga: Kata Imam Ibn al-Munzir: Telah ijma’ majoriti ahli ilmu melainkan yang syaz dari kalangan mereka yang mana pendapat mereka itu tidak dikira sebagai khilaf bahawasanya seorang anak kecil apabila telah melakukan haji semasa kecilnya dan seorang hamba yang telah menunaikan haji semasa dalam keadaan hamba, kemudian anak kecil itu baligh dan hamba itu dibebaskan maka ke atas mereka berdua itu haji Islam (haji wajib) apabila mereka mampu. Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (5/44).
Keempat: Kata Imam Ibn Abd al-Barr al-Andalusi Rahimahullah: Para fuqaha yang mengatakan bahawa haji yang dilakukan oleh kanak-kanak itu sah adalah Imam Malik, Imam al-Syafie, serta seluruh fuqaha Hijaz dan juga fuqaha Kufah. Lihat Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, al-Nawawi (7/41).
Kesimpulan
Setelah meneliti beberapa pendapat yang disebutkan di atas maka kami berpendapat bahawa kanak-kanak kecil dibolehkan untuk menunaikan haji, ibubapa yang membawanya turut mendapat pahala, dan sah haji yang dilakukannya. Pun begitu, haji tersebut tidak dikira sebagai haji Islam iaitu haji yang wajib ke atas dirinya setelah baligh. Ini berdasarkan sabda Nabi S.A.W:
أَيُّمَا صَبِيٍّ حَجَّ ثُمَّ بَلَغَ اَلْحِنْثَ فَعَلَيْهِ أَنْ يَحُجَّ حَجَّةً أُخْرَى
Maksudnya: Mana-mana kanak-kanak yang telah melakukan haji kemudian sampai ke tempoh baligh maka hendaklah dia melakukan haji sekali lagi.
Riwayat Al-Baihaqi (4/325)
Hadis di atas dinilai Sahih oleh Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Al-Talkhis Al-Habir (2/220). Kami berdoa kepada Allah S.W.T supaya tulisan yang ringkas ini dapat memberikan pencerahan kepada masyarakat umum serta memberi manfaat kepada kita semua. Ameen.
Akhukum Fillah
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM