Hukum khatan tidak sempurna bagi lelaki

Soalan

Assalamualaikum, apakah hukum dan status apabila lelaki berkhatan dengan tidak sempurna. Sebagai contoh masih ada lebihan kulit di bahagian zakar dan menutupi sebahagian kepala zakar.

Ringkasan Jawapan

Kaedah khatan yang betul dan mengikut syarak bagi seseorang lelaki muslim adalah dengan memotong kulit pada bahagian zakar yang menutupi hasyafah (kepala zakar) sehingga menampakkan keseluruhan hasyafah.

Huraian Jawapan

Khatan adalah suatu ibadah yang disyariatkan di dalam Islam. Khatan membawa maksud membuang foreskin atau kulup, iaitu kulit bahagian hadapan yang menutupi bahagian kepala zakar bagi lelaki. Ia juga dikenali sebagai sunat atau dalam bahasa inggeris circumcision.

Hukum khatan bagi lelaki adalah wajib mengikut pandangan muktamad dalam Mazhab Syafie. Ini telah dijelaskan di dalam Artikel Al-Kafi Li Al-Fatawi #419: https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1336-al-kafi-419-hukum-berkhatan-bagi-kaum-wanita .  Imam al-Ramli menyebut:

(وَيَجِبُ) (خِتَانٌ) لِذَكَرٍ وَأُنْثَى

Maksudnya: Dan wajib berkhatan bagi lelaki dan perempuan.

Antara dalil yang menyebut tentang  pensyariatan khatan ialah:

Firman Allah SWT dalam al-Quran:

ثُمَّ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ أَنِ اتَّبِعْ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا ۖ وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Al-Nahl, 16: 123

MaksudnyaKemudian Kami wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik.

Selain itu, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اخْتَتَنَ إِبْرَاهِيمُ بَعْدَ ثَمَانِينَ سَنَةً، وَاخْتَتَنَ بِالْقَدُومِ

Maksudnya: “Nabi Ibrahim AS berkhatan selepas berumur 80 tahun dengan menggunakan qadum (alat seperti beliung, kapak kecil).”

Riwayat al-Tirmidzi (2799)

Kemudian hadis yang disabdakan oleh baginda Nabi SAW:

الْفِطْرَةُ خَمْسٌ – أَوْ خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ – الْخِتَانُ، وَالاِسْتِحْدَادُ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَار،ِ وَنَتْفُ الإِبْطِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ

Maksudnya: “Fitrah (sunnah) itu ada lima perkara: berkhatan,  mencukur bulu ari-ari, mencukur bulu ketiak, memotong kuku dan memendekkan misai.”

Riwayat al-Bukhari (6227)

Adapun perbincangan isu khatan berkaitan membuang kulit di bahagian zakar secara sempurna atau tidak sempurna telah dibahaskan para ulama. Ibnu Hajar al-Haitami menyatakan bahawa:

(وَ) فِي (الرَّجُلِ بِقَطْعِ) جَمِيعِ (مَا يُغَطِّي حَشَفَتَهُ)؛ حَتَّى تَنْكَشِفَ كُلُّهَا وَبِهِ يُعْلَمُ أَنَّ غُرْلَتَهُ لَوْ تَقَلَّصَتْ حَتَّى انْكَشَفَ جَمِيعُ الْحَشَفَةِ فَإِنْ أَمْكَنَ قَطْعُ شَيْءٍ مِمَّا يَجِبُ قَطْعُهُ فِي الْخِتَانِ مِنْهَا دُونَ غَيْرِهَا وَجَبَ وَلَا نَظَرَ لِذَلِكَ التَّقَلُّصِ؛ لِأَنَّهُ قَدْ يَزُولُ فَتُسْتَرُ الْحَشَفَةُ وَإِلَّا سَقَطَ الْوُجُوبُ كَمَا لَوْ وُلِدَ مَخْتُونًا.

Maksudnya: Dan pada lelaki (yang berkhatan) dipotong kesemua (kulit) yang menutupi hasyafah (kepala zakar); sehingga terbuka keseluruhannya dan dengannya dapat difahami bahawa bahagian yang tidak dipotong itu, jika terlipat sehingga terbuka keseluruhan kepala zakar , maka boleh dipotong sebahagian daripada bahagian yang ditentukan untuk dipotong bagi khitan tanpa bahagian selainnya maka wajib (dipotong). Tidak diambil kira bahagian yang terlipat (sebagai khitan) kerana bahagian tersebut adakalanya boleh hilang sehingga boleh tertutup kepala zakar. Jika tidak (boleh hilang dan tertutup kepala zakar) maka gugurlah kewajipan khitan sepertimana jika dilahirkan dalam keadaan yang sudah berkhitan.

Oleh itu, khatan dengan cara yang betul dan sempurna adalah dengan memotong kulit pada bahagian zakar tersebut sehingga nampak keseluruhan kepala zakar.   Khatib al-Syirbini menyebut  bahawa tidak memadai dan tidak cukup hanya potong sebahagian kulit.[4] Adapun bagi isu kulit zakar yang terlipat sehingga boleh menampakkan keseluruhan hasyafah, maka wajib potong sebahagian daripada yang sepatutnya yang dianggap sebagai khatan untuk dipotong dengan tidak mengambil kira kulit itu terlipat.

Hal ini kerana, kulit yang terlipat itu kadang-kadang boleh menutupi hasyafah dan jika tidak menutupinya maka gugur kewajipan khatan kerana dianggap seperti dilahirkan seperti orang yang sudah berkhatan.

Kesimpulan

Khatan merupakan suatu kewajipan untuk dilaksanakan oleh setiap orang islam. Hal ini kerana, hikmah pensyariatan khatan adalah untuk menjaga kesucian dan kebersihan secara luaran mahupun dalaman apabila memotong kulit zakar yang menutupi hasyafah.

Firman Allah SWT dalam al-Quran:

إِنَّ اللهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Al-Baqarah, 2: 222

MaksudnyaSesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.

Oleh itu, kaedah khatan yang betul dan mengikut syarak bagi seorang lelaki muslim adalah dengan memotong kulit yang ada pada bahagian zakar sehingga menampakkan keseluruhan hasyafah.

Wallahu’alam -muftiwp

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts