Hukum melafazkan niat wuduk dalam tandas

SOALAN                    

Assalammualaikum. Saya nak tanya bolehkah lafazkan “basmallah” mahupun melafazkan niat wuduk di dalam tandas yang mana lafaz tersebut ada kalimah “Allah”. Lebih-lebih lagi banyak hotel dan bangunan yang bilik air bercampur tandas. Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Niat wuduk merupakan salah satu rukun yang menjadikan keabsahan wuduk. Adapun melafazkan niat wuduk adalah sunat bagi membantu hati menghadirkan niat. Namun sekiranya berada di tandas mahupun bilik air, memadai hanya berniat wuduk di dalam hati sahaja tanpa perlu melafazkan nama Allah seperti niat : “sahaja aku mengangkat hadas kecil”. Hal ini kerana lafaz “اللَّهِ تَعَالَى” tidak menjadi syarat keabsahan wuduk dan hukum menyebut kalimah “Allah” di dalam tandas adalah makruh.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat

Niat merupakan salah satu rukun wuduk berdasarkan firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا قُمْتُمْ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ فَٱغْسِلُوا۟ وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى ٱلْمَرَافِقِ وَٱمْسَحُوا۟ بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى ٱلْكَعْبَيْنِ ۚ

Maksudnya:” Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”

(Surah al-Maidah : 6)

Berdasarkan dalil berikut, Imam al-Nawawi mengunakan istilah  iradah (keinginan/kehendak)  dalam susunan tertib wuduk. Ayat “basuhlah muka kamu” menunjukkan Allah SWT berkehendak mewajibkan wuduk dilakukan secara tertib mengikut susunan dan kehendak ini dengan maksud keinginan (bermula dengan niat).Bermula wuduk dengan membasuh muka disertakan niat, kemudian tangan, menyapu kepala dan membasuh kaki. 

Niat itu tempatnya dihati dan melafazkannya adalah sunat berdasarkan pandangan fuqaha mazhab Syafie.

Imam As-Syirazi menyatakan bahawa wajib berniat di dalam hati kerana niat adalah kehendak. Apabila dilafazkan dengan lisan dan hatinya berkehendak, maka ia lebih menguatkannya. Oleh itu, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa niat yang diwajibkan dalam wuduk adalah  berniat dengan hati sedangkan lafaz niat dengan lidah tidak wajib.

Apabila dihimpunkan niat dengan hati serta melafazkan dengan lisan, maka ia lebih kuat dan lebih baik  menurut kesepakatan ulama mazhab syafi’i.Justeru, melafazkan niat  hanya sunat.  

Sementara itu, niat wuduk tidak disyaratkan untuk menambah “اللَّهِ تَعَالَى” (kerana Allah) bahkan memadai berniat hanya “mengangkat hadas”. Hal ini kerana ibadah semestinya  khusus semata-mata kerana Allah SWT. Seterusnya, melafazkan “basmallah” adalah sunat dan sah wuduk tanpa menyebutnya. 

Seterusnya hukum berzikir menyebut nama Allah SWT di dalam tandas atau sedang menunaikan hajat adalah makruh. Perkara ini dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam karya Raudhah al-Tolibin :

وَاسْتِصْحَابُ مَا عَلَيْهِ ذِكْرُ اللَّهِ تَعَالَى عَلَى الْخَلَاءِ مَكْرُوهٌ، لَا حَرَامٌ. وَالسُّنَّةُ أَنْ يَقُولَ عِنْدَ دُخُولِ الْخَلَاءِ: (بَاسِمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِثِ) . وَيَقُولُ إِذَا خَرَجَ: (غُفْرَانَكَ، الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَذْهَبَ عَنِّي الْأَذَى وَعَافَانِي)

Menyebut zikirullah dalam tandas adalah makruh bukan haram. Oleh itu, disunatkan membaca doa ketika hendak masuk tandas (Ya Allah sesungguhnya aku berlindung dari-Mu daripada gangguan Syaitan jantan dan Syaitan betina). Seterusnya, doa ketika keluar tandas (Aku memohon keampunan-Mu, Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan kekotoran daripada tubuhku dan menyihatkan diriku”

Selain itu, apabila bersin tidak perlu menjawab “Alhamdulillah” ketika berada di dalam tandas, namun sekiranya hanya dalam hati tanpa menggerakkan lisannya, maka ia tidak haram.

Penutup

Kesimpulannya, hukum melafazkan “basmallah” mahupun niat wuduk yang disertakan kalimah “اللَّهِ تَعَالَى” (kerana Allah) ketika berada di dalam tandas adalah makruh. Justeru itu, ketika berada ditandas, memadai niat wuduk di dalam hati tanpa menyebut nama Allah, sebagai   contoh “sahaja aku mengangkat hadas kecil”. Hal ini kerana lafaz “اللَّهِ تَعَالَى” tidak menjadi syarat keabsahan wuduk dan hukum  melafazkan kalimah “Allah”  di dalam bilik air adalah makruh.

Wallahu A’lam -muftiwp

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts