Soalan:
Apakah hukumnya kita melagu-lagukan bacaan ayat al-Quran seperti lagu pop, rock, atau apa-apa sahaja lagu moden ?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Dalam mengulas isu ini, di sana terdapat beberapa nas yang berkaitan sebagai anjuran untuk memperelokkan suara ketika pembacaan Al-Quran Al-Karim. Di antaranya adalah sebagaimana yang disebutkan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bara’ bin ‘Adzib R.anh beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
زَيِّنُوا الْقُرْآنَ بِأَصْوَاتِكُمْ
Maksudnya: Hiasilah al-Quran dengan suara-suara kamu.
Riwayat Al-Nasaie (1015)
Imam Al-Nawawi Rahimahullah ketika mengulas isu ini beliau berkata: Para ulama dari kalangan salaf dan khalaf iaitu kelompok para sahabat dan tabi’in dan selepas mereka telah bersepakat bahawa memperelokkan suara bacaan al-Quran adalah suatu yang mustahab (dituntut). Pendapat dan perbuatan mereka berkaitan dengan isu ini sangat masyhur.
Manakala di dalam riwayat yang lain, hadis di atas datang dengan tambahan lafaz:
فَإِنَّ الصَّوْتَ الْحَسَنَ يَزِيدُ الْقُرْآنَ حُسْنًا
Maksudnya: Kerana sesungguhnya suara yang baik itu menambahkan keelokan bagi al-Quran.
Kata Al-Syeikh Abu Al-Hasan Al-Sindi Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini: Maksudnya adalah dengan memperelokkan suara ketika membaca al-Quran kerana sesungguhnya ucapan yang baik akan bertambah baik dan cantik dengan suara yang baik. Rujuk Hasyiah Al-Sindi ‘Ala Ibn Majah (1/403).
Berdasarkan sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Lubabah R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ
Maksudnya: Bukan dari kalangan kami sesiapa yang tidak melagukan bacaan al-Quran.
Riwayat Abu Dawud (1471)
Imam Al-Nawawi Rahimahullah menukilkan bahawa majoriti para fuqaha berpendapat: Tidak melagukan al-Quran itu bermakna, tidak memperelokkan suara ketika membaca al-Quran. Beliau juga turut menukilkan pendapat para fuqaha yang berkata: Sesungguhnya dimustahabkan untuk memperelokkan suara serta memperindahkannya apabila membaca al-Quran selama mana tidak keluar daripada had bacaan sehingga memanjang-manjangkannya. Sekiranya berlebihan sehingga sampai ke tahap menambah huruf atau menyembunyikan sebahagian huruf maka perbuatan itu adalah haram.
Manakala bacaan al-Quran secara lahan (bacaan yang tidak baik) maka Imam Al-Syafie berpandangan: Ia adalah makruh. Manakala dalam sebahagian tempat Imam Al-Syafie berpendapat bahawa hukumnya tidak makruh. Para fuqaha al-Syafieyyah mengatakan, kata-kata Imam Al-Syafie itu bukanlah bererti beliau mempunyai dua pandangan akan tetapi terdapat padanya perincian. Sekiranya berlebihan dalam memanjang-manjangkan bacaan, lalu melampaui batas maka hukumnya adalah makruh. Sekiranya tidak melampaui batas maka ia tidak dimakruhkan.
Imam Al-Nawawi juga menukilkan pendapat Al-Qadhi Al-Qudhah Imam Al-Mawardi Rahimahullah yang berkata: Membaca secara lahan (bacaan secara salah dan menyeleweng) yang direka, sekiranya ia mengeluarkan lafaz al-Quran daripada sighahnya dengan memasukkan beberapa harkat di dalamnya, atau mengeluarkan beberapa harkat daripadanya, atau ia memendekkan mad, sehingga menimbulkan kekeliruan pada makna maka perbuatan itu adalah haram yang menjadikan pembacanya sebagai fasiq serta menyebabkan pendengarnya berdosa. Kerana dia telah berpaling dari manhajnya yang lurus kepada suatu yang bengkang bengkok. Sekiranya lahan itu tidak mengubah lafaz al-Quran serta pembacaan secara tartil, maka ia adalah harus. Rujuk Al-Tibyan, Muhyiddin Al-Nawawi (Hlm. 115).
Kesimpulan
Setelah kami kupas dan nyatakan beberapa pendapat di atas, kami berpandangan bahawa perbuatan membaca al-Quran dengan lenggok atau intonasi berirama lagu, sekiranya ia merosakkan lafaz dan makna maka ia adalah haram. Namun, selama mana bacaan tersebut masih lagi meraikan tartil dan tajwid, tanpa mengubah lafaz dan makna maka ia adalah harus. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita semua dalam beragama. Ameen. – Muftiwp
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM