Hukum memberi pinjaman kepada pelaku maksiat

Assalamualaikum Tuan Mufti. Saya nak bertanya, apakah hukum memberi pinjam duit kepada kenalan saya yang meraih pendapatan melalui aktiviti pelacuran? Memandangkan pada tempoh hari, 2 bulan dia tidak dapat membayar duit sewa rumah.

Bolehkah saya meminjamkan duit kepada dia ataupun perbuatan tersebut dianggap bekerjasama dalam kejahatan. Mohon pencerahan.

Jawapan Ringkas

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga baginda SAW, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Secara umumnya, diharuskan untuk seorang Muslim itu membantu umat Islam yang memerlukan bantuan termasuklah memberi bantuan kewangan sama ada melalui hadiah, sedekah mahupun pinjaman. Dalam situasi di atas, pinjaman diberikan untuk kegunaan seharian iaitu membayar sewa rumah, maka hukumnya harus.

Namun begitu, hukum keharusan boleh berubah menjadi haram sekiranya seseorang itu meyakini bahawa peminjam akan membelanjakan duit tersebut dalam perkara-perkara maksiat seperti membeli alat-alat berkaitan pelacuran, arak, dadah dan seumpamanya.

Dalam masa yang sama, pemiutang sewajarnya menjadikan situasi tersebut sebagai peluang untuk menasihati rakannya agar meninggalkan kemungkaran dan maksiat yang dilakukan kerana berasa selesa berkawan dengan pemaksiat tanpa ada niat dan usaha mengubahnya merupakan perkara yang ditegah di dalam agama.

Huraian Jawapan

Pelacuran dan perzinaan tidak dapat dinafikan merupakan dosa besar yang diketahui oleh segenap umat Islam. Pengharamannya disebutkan secara jelas di dalam al-Quran menerusi firman-Nya,

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

MaksudnyaDan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)

Surah al-Isra’ (32)

Ibn Kathir menghuraikan dalam tafsirnya bahawa Allah melarang para hamba-Nya daripada melakukan zina dan juga perkara yang membawa dekat kepada zina melalui sebab-sebab dan seruan-seruannya.

Rujuk Tafsir al-Azim (5/72)

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata: Jika kita amati, semua agama Samawi bersepakat atas pengharaman zina dan menentangnya dengan keras. Aagama yang terakhir ialah Islam. Agama melarang keras perzinaan kerana perbuatan itu akan merosakkan keturunan keluarga, berlakunya kes pembuangan janin dan anak, menjatuhkan nama baik kaum kerabat, memecah-belahkan hubungan silaturahim, tersebarnya penyakit berbahaya seperti HIV, nafsu bermaharajalela serta merendahkan moral seseorang insan.

(Rujuk: al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, 267-268)

Di samping itu, agama Islam melarang keras perbuatan tersebut sehingga pelakunya bukan sahaja layak diseksa di akhirat semata-mata, bahkan di dunia juga sudah disediakan peruntukan hukuman untuk penzina seperti rejam, sebatan dan dibuang daerah

Konsep Memberi Pinjaman

Seterusnya, membantu orang lain seperti menghulurkan bantuan kewangan merupakan satu perkara yang disyariatkan dalam agama Islam khususnya membantu mereka yang berada dalam kesempitan dan kesulitan untuk menjalani kehidupan seharian.

Galakan dan saranan ini disandarkan melalui firman Allah SWT,

مَّن ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّـهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافًا كَثِيرَةً ۚ وَاللَّـهُ يَقْبِضُ وَيَبْسُطُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

MaksudnyaSiapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.

Surah al-Baqarah (245)

Pinjaman kepada Allah selain membawa maksud sedekah secara umum, juga membawa maksud memberi pinjaman kepada sesama manusia. Antara hikmah terbesar disyariatkan memberikan pinjaman kewangan kepada orang lain ialah kebiasaan manusia tidak akan meminjam daripada orang lain melainkan dalam keadaan terdesak.

Jadi, apabila agama mengiktiraf perbuatan memberi pinjaman sebagai salah satu cara memenuhi keperluan tersebut, maka ia dianggap perbuatan yang mulia bahkan lebih mulia daripada sedekah biasa kerana semata-mata sedekah boleh jadi penerima tidak terdesak untuk memilikinya di saat itu.

Kemuliaan ini juga disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda,

الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لا يَظْلِمُهُ وَلا يُسْلِمُهُ وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.

Maksudnya“Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.”

Riwayat al-Bukhari (2442)

Memberi Pinjaman Kepada Pelacur

Berkenaan situasi di atas, kami berpandangan bahawa tidak menjadi kesalahan bagi seseorang itu untuk meminjamkan duit kepada rakannya yang berada dalam kesusahan dan berhajat kepada bantuan walaupun rakannya merupakan seorang pelacur.

Hal ini kerana, membantu seseorang khususnya dalam perkara kebaikan seperti membantu untuk mendapatkan makan dan minum yang cukup, membayar hutang yang perlu dibayar segera seperti sewa rumah dan sebagainya merupakan satu perbuatan yang diharuskan bahkan digalakkan dalam agama.

Namun begitu, keharusan boleh berubah menjadi makruh bahkan haram sekiranya pemberi pinjam atau pemiutang meyakini bahawa peminjam akan menggunakan duit hasil pinjaman tersebut untuk tujuan membazir atau terlibat dengan transaksi yang diharamkan Syarak seperti membeli alatan seks untuk tujuan berzina, berjudi, membeli arak dan sebagainya.

(Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji, 6/103)

Dalam masa yang sama, bantuan yang dihulurkan di saat peminjam terdesak memerlukannya sewajarnya menjadi salah satu faktor dan asbab untuk mereka mendengar nasihat dan bimbingan daripada orang yang menolong mereka dek kerana terhutang budi.

Tidak sewajarnya seseorang Muslim membiarkan saudaranya yang berada dalam kesulitan dibiarkan terkontang-kanting kerana disebabkan maksiat yang mereka lakukan. Apatah lagi, berasa selesa berkawan dengan pemaksiat tanpa ada niat dan usaha mengubahnya merupakan perkara yang ditegah di dalam agama.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Abi Sa’id al-Khudriy RA bahawa Rasulullah SAW bersabda,

لا تُصاحِبْ إلّا مُؤمِنًا، ولا يَأكُلْ طعامَكَ إلّا تَقِيٌّ

MaksudnyaJangan kamu bersahabat melainkan dengan orang mukmin. Dan jangan pula seseorang makan makanan kamu melainkan orang yang bertakwa (iaitu warak).

Riwayat Abu Daud (4832)

Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa semata-mata menolong pelaku maksiat tanpa ada niat berdakwah merupakan satu tegahan dan larangan kerana membawa erti kita meredai perbuatan tersebut. Hendaklah disertakan bersama niat dan usaha dakwah mengajak kebaikan dan menegah kemungkaran.

Ketika mensyarahkan makna “Dan jangan pula seseorang makan makanan kamu melainkan orang yang bertakwa (iaitu warak)”, pengarang kitab ‘Aun al-Ma’bud (9/2116) menukilkan pandangan imam Khatthabi Rhm. bahawa larangan berasa selesa bersahabat dengan mereka yang tidak bertakwa kerana aktiviti mulazamah makan bersama mereka akan menghadirkan perasaan kasih dan sayang.

Alternatifnya, antara jalan hikmah dan bijaksana yang sepatutnya dilakukan ialah membantu mereka dari sudut kewangan dan membantu mereka juga dari sudut kerohanian dan kekuatan dalaman melalui nasihat dan bimbingan yang ikhlas agar mereka dapat keluar daripada kancah maksiat. Itulah sifat pendakwah yang sebenar-benarnya.

Wallahua’lam.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts