Hukum menambah perkataan sayyidina dalam azan

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ada terlihat satu video yang tular di mana laungan azan ditambah perkataan ‘sayyidina’ dalam lafaz ‘أشهد أنّ محمّدا رسول الله’. Soalan saya, adakah boleh kita menambah perkataan tersebut dalam azan?

Mohon pencerahan SS Mufti. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Hukum menambah lafaz sayyidina dalam azan adalah sunat di sisi fuqaha syafi’iyyah yang terkemudian. Namun berdasarkan situasi dan amalan masyarakat Malaysia, penambahan ini dilihat kurang sesuai dan perlu dielakkan. Oleh itu, mengekalkan lafaz azan yang biasa dilaungkan dalam situasi ini adalah lebih baik kerana mengelakkan fitnah dan salah faham masyarakat.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Hukum menambah perkataan sayyidina dalam lafaz azan merupakan khilaf dalam kalangan ulama. Fuqaha Syafi’iyyah yang terkemudian berpandangan bahawa hukumnya adalah sunat sepertimana sunat disebutkan dalam selawat pada tahiyyat akhir, bahkan menyatakan bahawa ia merupakan cara yang afdal. Imam Syamsuddin al-Ramli menyatakan hal dalam kitabnya Nihayat al-Muhtaj bahawa:

وَالْأَفْضَلُ الْإِتْيَانُ بِلَفْظِ السِّيَادَةِ كَمَا قَالَهُ ابْنُ ظَهِيرَةَ وَصَرَّحَ بِهِ جَمْعٌ وَبِهِ أَفْتَى الشَّارِحُ لِأَنَّ فِيهِ الْإِتْيَانَ بِمَا أُمِرْنَا بِهِ وَزِيَادَةُ الْأَخْبَارِ بِالْوَاقِعِ الَّذِي هُوَ أَدَبٌ فَهُوَ أَفْضَلُ مِنْ تَرْكِهِ وَإِنْ تَرَدَّدَ فِي أَفْضَلِيَّتِهِ الْإِسْنَوِيُّ، وَأَمَّا حَدِيثُ «لَا تُسَيِّدُونِي فِي الصَّلَاةِ» فَبَاطِلٌ لَا أَصْلَ لَهُ كَمَا قَالَهُ بَعْضُ مُتَأَخِّرِي الْحُفَّاظِ.

Maksudnya: Cara yang afdal adalah dengan menyebut lafaz sayyidina (dalam selawat pada tahiyyat akhir) sepertimana yang disebutkan oleh Ibn Zahirah dan ulama yang lain serta difatwakan oleh al-syarih (al-Mahalli) kerana ia dikira telah melaksanakan perintah Rasulullah SAW bahkan penambahannya dengan sesuatu lebih baik. Ini merupakan satu bentuk adab kepada Rasulullah SAW dan ia lebih baik daripada tidak menyebutnya. Imam al-Isnawi pula tidak menyebutkan keafdalannya dengan jelas. Adapun hadis yang menyebutkan, “Janganlah kalian memanggil aku dengan panggilan sayyid”, adalah hadis batil yang tiada asal baginya sepertimana yang dijelaskan oleh para ulama hadis yang terkemudian. (Rujuk Nihayat al-Muhtaj, 1:530)

Oleh itu, apabila ia disunatkan dalam tahiyyat akhir dalam solat, maka fuqaha syafi’iyyah mengambil hukum ini bagi penambahannya dalam lafaz azan dan tempat lain yang disebutkan nama Rasulullah SAW. Syeikh al-Syabramallisi menerangkan hal ini dengan berkata:

(قَوْلُهُ: لِأَنَّ فِيهِ الْإِتْيَانَ إلَخْ) يُؤْخَذُ مِنْ هَذَا سَنُّ الْإِتْيَانِ بِلَفْظِ السِّيَادَةِ فِي الْأَذَانِ، وَهُوَ ظَاهِرٌ لِأَنَّ الْمَقْصُودَ تَعْظِيمُهُ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – بِوَصْفِ السِّيَادَةِ حَيْثُ ذُكِرَ. لَا يُقَالُ: لَمْ يَرِدْ وَصْفُهُ بِالسِّيَادَةِ فِي الْأَذَانِ. لِأَنَّا نَقُولُ: كَذَلِكَ هُنَا وَإِنَّمَا طَلَبَ وَصْفَهُ بِهَا لِلتَّشْرِيفِ وَهُوَ يَقْتَضِي الْعُمُومَ فِي جَمِيعِ الْمَوَاضِعِ الَّتِي يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُهُ – عَلَيْهِ الصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ.

Maksudnya: Oleh itu, diambil daripada hukum sunat (menyebut sayyidina dalam tahiyyat akhir) ini, bahawa sunat juga untuk menyebut sayyidina dalam azan dan ia merupakan perkara yang jelas. Ini kerana tujuaanya adalah untuk mengagungkan Rasulullah SAW dengan lafaz sayyidina apabila nama Baginda SAW disebut. Perkara ini tidak boleh disangkal dengan mengatakan bahawa ia tidak diriwayatkan dalam hadis dengan lafaz sayyidna dalam lafaz azan. Hal ini kerana kami berpandangan hukum sunat itu turut disunatkan  di sini (dalam azan) dan menyebutnya bertujuan memuliakan Rasulullah SAW. Ini boleh diaplikasikan kepada semua tempat dan keadaan yang disebut nama Rasulullah SAW.(Rujuk Hasyiah al-Syabramallisi, 1:530)

Ini berlandaskan kepada kefahaman bahawa menjaga adab dengan Rasulullah SAW adalah dikira melaksanakan perintah dengan lebih baik dan sempurna. Syeikh al-Nawawi al-Bantani menukilkan hal ini dengan berkata:

وقال السحيمي أيضاً: ولا يقال امتثال الأمر أفضل من الأدب لأنا نقول: في الأدب امتثال الأمر وزيادة

Maksudnya: Syeikh al-Suhaimi berkata juga: Tidak boleh disangkal dengan menyatakan bahawa melaksanakan perintah itu lebih afdal berbanding menjaga adab. Hal ini kerana bagi kami, menjaga adab itu merupakan adalah dikira lebih daripada sekadar melaksanakan perintah. (Rujuk Kasyifat al-Saja, 159)

Walau bagaimanapun, perkara ini merupakan khilaf dalam kalangan fuqaha mazhab yang lain. Sebahagian mazhab mengatakan bahawa hukum penambahannya adalah makruh sepertimana yang disebutkan oleh Ibn ‘Abidin dan ulama lain.

Di samping itu, apabila diteliti tentang perkara ini, terdapat juga penambahan lain dalam azan yang dilakukan oleh para sahabat sendiri. Ini sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Malik RA bahawa Ibn Umar pernah menambah lafaz dalam azan iaitu dengan bertakbir sebanyak tiga kali, bersyahadah sebanyak tiga kali dan pernah menyebut ‘hayya ‘ala khayr al-‘amal’, selepas lafaz ‘hayya ‘ala al-falah’. Imam Malik meriwayatkan hadis ini dengan berkata:

أَخْبَرَنَا نَافِعٌ، عَنِ ابْنِ عُمَرَ، «أَنَّهُ كَانَ يُكَبِّرُ فِي النِّدَاءِ ثَلاثًا وَيَتَشَهَّدُ ثَلاثًا، وَكَانَ أَحْيَانًا إِذَا قَالَ حَيَّ عَلَى الْفَلاحِ، قَالَ عَلَى إِثْرِهَا حَيَّ عَلَى خَيْرِ الْعَمَلِ.

Maksudnya: Nafi’ meriwayatkan kepada kami, daripada Ibn Umar RA, bahawa beliau (Ibn Umar) pernah melaungkan takbir ketika azan sebanyak tiga kali, melaungkan syahadah sebanyak tiga kali dan kadangkala menambah selepas daripada menyebut ‘hayya ‘ala al-falah’ dengan lafaz ‘hayya ‘ala khayr al-‘amal’. (Rujuk al-Muwatta’, 55)

Justeru daripada nas di atas dapat difahami bahawa penambahan dalam azan bukan satu bid’ah yang tercela kerana ia sabit diamalkan oleh sahabat Nabi SAW. Oleh itu, ia bukan sesuatu perbuatan yang haram dan berdosa. Bahkan keempat-empat mazhab fiqh termasuk mazhab al-Syafie menyatakan secara jelas bahawa penambahan lafaz ini hukumnya adalah makruh sahaja.Hukum makruh ini tidak membatalkan azan dan azan yang dilaungkan dengan penambahan tersebut adalah sah.

Namun begitu, melihat kepada situasi kita di Malaysia ini, azan dilaungkan dengan tanpa disebut lafaz ‘sayyidina’ di semua masjid dan surau. Tindakan sengaja menambah lafaz tersebut boleh mengundang fitnah dan salah faham dalam kalangan masyarakat. Ini kerana ia tidak biasa diamalkan dan dilihat bertentangan dengan uruf masyarakat. Oleh yang demikian, dinasihatkan supaya penambahan apa jua perkataan lain dalam azan perlulah dielakkan dan kekal menggunakan lafaz azan yang biasa supaya tidak menimbulkan polemik.

Kesimpulan

Kesimpulannya, hukum menambah lafaz sayyidina dalam azan adalah sunat di sisi fuqaha syafi’iyyah yang terkemudian. Namun berdasarkan situasi dan amalan masyarakat Malaysia penambahan ini dilihat kurang sesuai dan perlu dielakkan. Oleh itu, mengekalkan lafaz azan yang biasa dilaungkan dalam situasi ini adalah lebih baik kerana mengelakkan fitnah dan salah faham masyarakat.

WaAllahu a’lam.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts