Soalan:
Apakah hukum menelan semula baki lendir kahak yang berada didalam mulut selepas bersin ketika berpuasa? Mohon pencerahan.
Ringkasan Jawapan:
Hukum puasa bagi orang yang menelan lebihan kahak disebabkan bersin atau batuk adalah batal sekiranya kahak tersebut berada di bahagian zahir mulut atau pada ruangan mulut. Adapun jika kedudukan kahak tersebut berada bahagian dalam seperti di bahagian halkum dan ke dalam maka tidak batal puasa sekiranya ditelan kahak tersebut kerana sukar untuk mengeluarkannya.
Huraian Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Sesungguhnya terdapat beberapa perkara yang perlu dititk beratkan semasa menjalani ibadah puasa. Hal ini kerana, antara perkara yang membatalkan puasa ialah dengan memuntahkan atau mengeluarkan sesuatu dari dalam perut dengan sengaja di siang hari dalam bulan Ramadan. Bahkan, Rasulullah S.A.W telah bersabda seperti mana dalam riwayat daripada Abu Hurairah tentang hukum muntah bagi orang yang berpuasa:
مَنْ ذَرَعَهُ الْقَيْءُ فَلَا قَضَاءَ عَلَيْهِ، وَمَنْ اسْتَقَاءَ فَعَلَيْهِ الْقَضَاءُ
Maksudnya: “Sesiapa yang muntah tanpa sengaja sedangkan dia berpuasa, maka tidak ada qada (puasa) baginya, dan sesiapa yang muntah dengan sengaja maka perlu dia wajib qada”
(Riwayat Ibn Majah: No:1676)
Jika dilihat pada masalah berikut, tabiat bersin ialah mengeluarkan udara dengan tiba-tiba lagi keras daripada hidung dan mulut disebabkan selsema, alergi dan tindak balas sesuatu rangsangan melalui saluran pernafasan. Manakala kahak pula ialah sejenis cecair atau lendir yang keluar daripada kerongkong atau otak.
(Dewan Bahasa dan Pustaka)
Secara umumnya, hukum mengeluarkan kahak sama ada dari otak atau dada tidak membatalkan puasa mengikut pandangan ulama mazhab Syafie. Namun begitu, hukum puasa bagi orang yang menelan kahak pula berbeza sama ada selepas bersin atau batuk dan ia bergantung kepada kedudukan kahak itu berada iaitu:
1. Had zahir
Had yang zahir bagi rongga mulut ialah mengikut kadar makhraj huruf (خ) dan (ح), manakala had batin bagi rongga ini berdasarkan makhraj huruf (ه) dan (ء). Maka,, sekiranya lendir kahak tersebut berada pada had zahir atau pada kawasan mulut maka batal puasa seseorang itu jika ditelan kahak tersebut. Hal ini dinyatakan oleh Imam al-Syirbini di dalam karyanya al-Iqna’:
فَلَو نزلت من دماغه وحصلت فِي حد الظَّاهِر من الْفَم وَهُوَ مخرج الْخَاء الْمُعْجَمَة وَكَذَا الْمُهْملَة على الرَّاجِح فِي الزَّوَائِد فليقطعها من مجْراهَا وليمجها إِن أمكن فَإِن تَركهَا مَعَ الْقُدْرَة على ذَلِك فوصلت الْجوف أفطر
Maksudnya: “Sekiranya turun kahak daripada otak dan sampai kepada had zahir daripada mulut iaitu pada makraj huruf Kha’ (خ) begitu juga dengan makhraj Ha’ (ح) berdasarkan pendapat yang kuat, maka jangan dibiarkan kahak itu berjalan pada rongga mulut dan hendaklah mengeluarkannya jika dia mampu. Dan sekiranya dia tidak mengeluarkan kahak itu sedangkan dia mampu untuk mengeluarkannya dan sampai pula kahak tersebut ke bahagian dalam maka puasanya adalah batal”.
(Rujuk al-Iqna’ Fi Hil al-Alfaz Abi Syuja’: j1/h337)
2. Had Batin
Sekiranya didapati lebihan kahak berada pada had batin iaitu yang selain daripada bahagian zahir pada rongga mulut, maka tidak batal puasa orang yang menelan kahak tersebut. Imam Nawawi telah menyatakan hukum tersebut di dalam karangannya:
إِنْ لَمْ تَحْصُلْ فِي حَدِّ الظَّاهِرِ مِنَ الْفَمِ، فَلَا تَضُرُّ، وَإِنْ حَصَلَتْ فِيهِ بِانْصِبَابِهَا مِنَ الدِّمَاغِ فِي الثُّقْبَةِ النَّافِذَةِ مِنْهُ إِلَى أَقْصَى الْفَمِ فَوْقَ الْحُلْقُومِ، نُظِرَ، إِنْ لَمْ يَقْدِرْ عَلَى صَرْفِهَا وَمَجِّهَا حَتَّى نَزَلَتْ إِلَى الْجَوْفِ. لَمْ تَضُرُّ
Maksudnya: “Sekiranya kahak tidak sampai ke had zahir daripada mulut maka tidak memudaratkan puasa, dan sekiranya kahak itu sampai pada mulut dengan sebab kahak itu turun dari otak melalui lubang yang kecil dari kepala sehingga ke bahagian dalam mulut iaitu atas dari paras halkum, maka ia dilihat(berdasarkan beberapa keadaan). Jika dia tidak mampu untuk mengeluar dan meludahkannya sehingga masuk ke bahagian dalam rongga, maka tidak memudaratkan puasanya”.
(Rujuk Raudhah al Tolibin: j2/h360)
Kesimpulannya, hukum puasa bagi orang yang menelan lebihan kahak disebabkan bersin atau batuk adalah batal sekiranya kahak tersebut berada di bahagian zahir mulut atau pada ruangan mulut. Adapun jika kedudukan kahak tersebut berada bahagian dalam seperti di bahagian halkum dan ke dalam maka tidak batal puasa sekiranya ditelan kahak tersebut kerana sukar untuk mengeluarkannya.
Wallahu a’lam.- Muftiwp
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM