Assalamualaikum. Apakah hukum kita menggabungkan niat-niat solat sunat dalam satu solat sunat sahaja, contohnya solat sunat hajat digabungkan dengan solat sunat taubat?
Mohon pencerahan. Terima kasih.
RINGKASAN JAWAPAN
Diharuskan untuk kita menggabungkan niat-niat solat sunat yang bersifat mutlak seperti solat hajat digabungkan dengan solat sunat taubat. Walau bagaimanapun, adalah lebih baik dan afdal untuk melaksanakan setiap solat dengan niatnya masing-masing secara berasingan kerana ia lebih banyak ibadatnya.
WaAllahu a’lam.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Pertamanya, solat sunat terbahagi kepada dua bahagian iaitu solat sunat mutlak dan solat sunat yang mempunyai sebab tertentu (المقصودة). Solat sunat yang boleh digabungkan niatnya secara bersama ialah solat sunat yang bersifat mutlak. Antara solat sunat yang bersifat mutlak sepertimana disebutkan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami bahawa:
نَعَمْ إنْ نَوَى مُطْلَقَ الصَّلَاةِ ثُمَّ دَعَا بَعْدَهَا بِمَا يَتَضَمَّنُ نَحْوَ اسْتِعَاذَةٍ أَوْ اسْتِخَارَةٍ مُطْلَقَةٍ لَمْ يَكُنْ بِذَلِكَ بَأْسٌ
Maksudnya: (Rujuk Tuhfat al-Muhtaj, 2:238)
Berkaitan perkara ini, Imam al-Ramli menyebutkan bahawa seseorang mendapat dua solat sunat dengan setiap satu solat sunat yang dilakukannya. Beliau berkata:
وَتَحْصُلُ السُّنَّتَانِ بِكُلِّ صَلَاةٍ كَالتَّحِيَّةِ وَلِلْحَاجَةِ
Maksudnya: Terhasil dua solat sunat bagi setiap solat yang dilaksanakan seperti solat tahiyyatul masjid dan solat sunat hajat. (Rujuk Nihayat al-Muhtaj, 2:122)
Manakala dalam Imam Abdul Hamid al-Syarwani pula menyebutkan beberapa lagi contoh solat sunat yang boleh digabungkan secara bersama seperti solat istikharah dengan solat sunat wuduk dan apa yang sama taraf dengannya. Begitu juga solat sunat ihram, tawaf dan wuduk. Kata beliau:
وَتَحْصُلُ السُّنَّتَانِ بِكُلِّ صَلَاةٍ كَالتَّحِيَّةِ نِهَايَةٌ وَقَوْلُهُ السُّنَّتَانِ أَيْ الِاسْتِخَارَةُ وَالْوُضُوءُ وَمَا أَلْحَقَ بِهِ وَفِي سم عَنْ الْعُبَابِ وَرَكْعَتَانِ لِلْإِحْرَامِ وَبَعْدَ الطَّوَافِ وَبَعْدَ الْوُضُوءِ وَلَوْ مُجَدِّدًا يَنْوِي بِكُلٍّ سُنَّتَهُ وَتَحْصُلُ كُلُّهَا بِمَا تَحْصُلُ بِهِ التَّحِيَّةُ. اهـ.
Maksudnya: Terhasil dua solat sunat yang dilakukan dengan satu solat sunat seperti solat sunat hajat. Imam al-Ramli menyatakan dua solat itu juga antaranya solat sunat istikharah dengan wuduk dan solat yang seumpamanya sepertimana disebutkan Syeikh Ali Syabramallisi. Manakala Syeikh Ibn Qasim al-’Abadi menambah solat sunat ihram, tawaf dan selepas wuduk walaupun memperbaharuinya. Apabila seseorang berniat dengan kesemua niat tersebut maka terhasil setiap daripadanyya seperti solat sunat tahiyyatul masjid. (Rujuk Hasyiah al-Syarwani, 2:238)
Disamping itu, solat sunat yang terikat dengan sebab-sebab tertentu seperti solat sunat rawatib, solat dhuha, solat dua gerhana matahari dan bulan, solat istisqa’, solat terawih, solat witir dan solat jenazah, ia tidak boleh digabungkan antara satu sama lain. Hal ini kerana ia solat yang mempunyai tujuan yang khusus dan tatacara yang tersendiri. Namun ia boleh digabungkan dengan beberapa solat sunat mutlak seperti solat tahiyyatul masjid, solat sunat wuduk dan seumpamanya.
Walau bagaimanapun, hendaklah ditegaskan bahawa jika solat-solat sunat tersebut dilaksanakan secara berasingan iaitu setiap solat dengan satu niat, maka hal tersebut lebih afdal. Ini berdasarkan kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa:
مَا كَانَ أَكْثَرَ فِعْلًا كَانَ أَكْثَرَ فَضْلًا
Maksudnya: Apa yang lebih banyak perbuatannya, maka lebih banyak pahalanya.
Oleh yang demikian, jika tiada sebarang kesulitan dan kesukaran, maka lebih baik dan afdal melaksanakan solat dengan niat-niatnya yang tersendiri kerana perbuatannya lebih banyak.
Kesimpulan
Kesimpulannya, antara solat sunat yang boleh dihimpunkan niat-niatnya ialah solat sunat mutlak sahaja atau solat sunat mutlak berserta dengan solat sunat maqsudah (tujuan yang khusus) yang lain. Contohnya seperti solat sunat hajat (mutlak) digabung dengan solat sunat hajat (mutlak) dan solat sunat dhuha (maqsudah) dan solat sunat tahiyyat al-masjid (mutlak). Manakala solat sunat maqsudah (tujuan yang khusus) tidak sah dan tidak boleh digabungkan secara bersama dengan seumpamanya sepertimana yang telah disebutkan.
WaAllahu a’lam.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM