Hukum menggugurkan kandungan bagi mangsa rogol

Assalamualaikum SS Datuk Mufti saya ingin bertanya, Jika seorang wanita dirogol dan disahkan mengandung, adakah dia boleh menggugurkan anak tersebut?

Ringkasan Jawapan:

Hukum menggugurkan kandungan bagi mangsa rogol adalah harus jika sebelum kandungan berusia 4 bulan. Adapun menggugurkan kandungan setelah berusia 4 bulan maka hukumnya adalah haram kecuali di atas alasan yang benar-benar kuat seperti untuk menyelamatkan nyawa si ibu.

Huraian Jawapan:

Perbuatan rogol adalah perbuatan keji yang diharamkan dalam Islam. Hukum asal menggugurkan kandungan selepas dari janin tersebut ditiupkan roh ialah haram berdasarkan ijmak ulama kerana ia dianggap membunuh makhluk Allah yang bernyawa[1]. Berkenaan bilakah roh ditiupkan dalam janin sebahagian ulama berpendapat bahawa janin mula ditiupkan roh pada usia 120 hari atau 4 bulan. Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW:

إنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ في بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، ثُمَّ يَكونُ في ذلكَ عَلَقَةً مِثْلَ ذلكَ، ثُمَّ يَكونُ في ذلكَ مُضْغَةً مِثْلَ ذلكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ المَلَكُ فَيَنْفُخُ فيه الرُّوحَ

Maksudnya: Sesungguhnya setiap daripada kamu dihimpunkan penciptaannya di dalam rahim perut ibunya selama 40 hari, kemudian jadilah (nutfah) itu segumpal darah selama tempoh itu juga, kemudian jadilah (`alaqah) itu segumpal daging selama tempoh itu juga, kemudian diutuskan malaikat dan ditiupkan ke dalamnya roh”.

(Riwayat Muslim)

Berkenaan dengan hukum menggugurkan kandungan kami telah bincangkan dalam beberapa artikel yang berkaitan antaranya:

1.     Adakah Dibolehkan Untuk Menggugurkan Kandungan Yang Berusia 4 Bulan? Rujuk link berikut:

2.     Hukum Menggugurkan Janin Kerana Faktor Kesihatan. Rujuk link berikut:

https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3958-al-kafi-1511-hukum-menggugurkan-janin-kerana-faktor-kesihatan

3.     Hukum Gugurkan Janin Bagi Wanita Yang Sibuk Bekerja. Rujuk link berikut:

https://www.muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/663-al-kafi-659-hukum-gugurkan-janin-bagi-wanita-yang-sibuk-berkerja

Mengenai hukum menggugurkan kandungan sebelum janin tersebut ditiupkan roh menurut mazhab Syafi’i pendapat yang muktamad hukumnya adalah harus. Berkata Imam Ramli:

وَالرَّاجِحُ تَحْرِيمُهُ بَعْدَ نَفْخِ الرُّوحِ مُطْلَقًا وَجَوَازُهُ قَبْلَهُ.

Maksudnya: “Pendapat yang kuat haram menggugurkan kandungan setelah ditiupkan roh secara mutlak dan harus menggugurkannya sebelum ditiupkan roh.”

Dalam Hasyiah Qalyubi dan Umairah pula disebutkan bahawa:

نَعَمْ يَجُوزُ إلْقَاؤُهُ وَلَوْ بِدَوَاءٍ قَبْلَ نَفْخِ الرُّوحِ فِيهِ خِلَافًا لِلْغَزَالِيِّ

Maksudnya: “Harus menggugurkan kandungan sebelum ditiupkan roh walaupun dengan menggunakan ubat berbeza dengan pandangan Imam al-Ghazali.”

Manakala menurut sebahagian ulama mazhab Syafii seperti Ibn Hajar al-Haitami, menggugurkan kandungan sebelum ditiupkan roh adalah haram seperti yang difahami dari perkataan Imam al-Ghazali dalam kitab al-Ihya. Imam al-Ghazali berpendapat sekalipun janin tersebut belum ditiupkan roh namun ia sudah sedia menerima untuk ditiupkan roh kepadanya. Menurut Imam al-Ghazali jenayah menggugurkan bayi ini menjadi bertambah keji apabila janin tersebut semakin membentuk menjadi manusia yang sempurna.

Pengharaman menggugurkan kandungan sebelum ditiupkan roh ini juga merupakan pendapat yang muktamad dalam mazhab Maliki dan Hanbali. Mazhab Hanafi pula mengharuskan untuk menggugurkan janin sebelum usia 4 bulan jika memiliki keuzuran. Dalam Hasyiah Ibn Abidin disebutkan:

قَالَ ابْنُ وَهْبَانَ: فَإِبَاحَةُ الْإِسْقَاطِ مَحْمُولَةٌ عَلَى حَالَةِ الْعُذْرِ،

Maksudnya: “Berkata Ibn Wahban, keharusan untuk menggugurkan kandungan ialah ketika terdapat keuzuran”.

Dari sudut undang-undang di Malaysia menurut Seksyen 312 Kanun Keseksaan (Akta 574)menggugurkan kandungan sendiri dianggap sebagai satu kesalahan jenayah. Walau bagaimanapun pengecualian diberikan bagi beberapa seperti kes perubatan di bawah pandangan pakar perubatan atau ibu mengalami gangguan mental yang teruk. Perkara ini seperti yang dinyatakan dalam peruntukan yang sama:

Pengecualian – Seksyen ini tidak diperluaskan kepada seseorang pengamal perubatan yang didaftarkan di bawah Akta Perubatan 1971 yang menamatkan kehamilan seseorang perempuan jika pengamal perubatan tersebut berpendapat, dengan suci hati, bahawa penerusan kehamilan itu akan melibatkan risiko kepada nyawa perempuan yang hamil itu, atau kecederaan kepada kesihatan fizikal atau mental perempuan hamil itu, yang lebih daripada jika kehamilan itu ditamatkan.

Menurut kajian Siti Khatijah Ismail dan Mohd. Badrol Awang kecederaan kepada kesihatan fizikal atau mental boleh berlaku akibat daripada menjadi mangsa rogol atau dia disahkan menghidap HIV. Walau bagaimanapun untuk mengesahkan perkara ini hendaklah dipastikan oleh mereka yang pakar dalam bidang berkaitan dengan kawalan yang ketat. Oleh itu, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-60/2002 memutuskan bahawa:

“Mesyuarat mengambil keputusan bahawa harus menggugurkan kandungan mangsa rogol dengan syarat kandungan tersebut belum mencapai umur 4 bulan atau 120 hari.”

Kesimpulannya, hukum menggugurkan kandungan bagi mangsa rogol adalah harus sebelum kandungan berusia 4 bulan. Adapun menggugurkan kandungan setelah 4 bulan maka hukumnya adalah haram kecuali di atas alasan yang benar-benar kuat seperti untuk menyelamatkan nyawa si ibu. Walaubagaimanapun dalam semua situasi yang dibincangkan di atas ia adalah perlu tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa di negara ini.

Wallahu A’lam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts