Hukum menggunakan daging korban untuk majlis kenduri

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya, bersempena hari raya aidiladha yang tiba, maka saya menyertai aktiviti ibadah korban, namun bolehkah saya menggunakan daging korban untuk majlis kenduri anak saya? Terima kasih Datuk.

Ringkasan Jawapan.

Hukum menggunakan daging korban untuk majlis kenduri adalah harus, namun mestilah diperuntukkan sebahagian daging korban dengan cara ia disedekahkan dalam keadaan mentah kepada golongan fakir miskin, dan baki selebihnya bolehlah digunakan untuk masakan majlis kenduri dan dihidangkan kepada orang ramai.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Pada dasarnya, hukum mengerjakan ibadah korban adalah sunat muakkad, melainkan ia diwajibkan pada dua keadaan iaitu:

  1. Korban dengan nazar yang disandarkan pada sesuatu hajat.
  2. Korban yang telah ditentukan iaitu korban yang diniatkan ke atas haiwan tertentu. Contohnya; seseorang telah berkata: ”Lembu ini adalah khusus untuk ibadah korbanku.” Maka wajib disembelih lembu tersebut dengan niat korban.

Dalam mazhab Syafie, daging korban wajib disedekahkan sebahagiannya biarpun sedikit kepada fakir miskin dan juga disyaratkan ia wajib diberikan kepada mereka dalam keadaan daging mentah agar mereka dapat menggunakannya dengan bebas sama ada untuk memasak, berjual beli dan sebagainya.

Dan perkara yang paling afdal adalah bersedekah dengan kesemua daging korban tersebut melainkan sesuap makanan agar dapat mengambil keberkatan daripadanya di samping mengikuti sunnah Nabi SAW.

Berkenaan perihal cara pengurusan dan pembahagian terbaik bagi daging korban ada kami perjelaskan melalui artikel kami yang bertajuk Irsyad al-Fatwa Edisi Haji dan Korban Siri ke-23: Pembahagian yang Afdhal Bagi Daging Korban.

Maka, tidak memadai memberi sedekah dengan menjadikannya sebagai makanan yang dimasak kemudian diajak golongan fakir miskin untuk memakannya. Justeru itu, daging korban itu sebaiknya dan seafdalnya ia disedekahkan dalam bentuk mentah berbanding telah dimasak.

Berhubung isu daging korban yang disediakan untuk dijadikan bahan masakan bagi majlis kenduri. Imam al-Syirbini ada mengulas isu ini, beliau berkata:

فَلَا يَكْفِي جَعْلُهُ طَعَامًا وَدُعَاءُ الْفُقَرَاءِ إلَيْهِ؛ لِأَنَّ حَقَّهُمْ فِي تَمَلُّكِهِ لَا فِي أَكْلِهِ، وَلَا تَمْلِيكُهُمْ لَهُ مَطْبُوخًا،

Maksudnya: “Maka tidak memadai dengan menjadikan (memasak) daging tersebut sebagai makanan dan menjemput orang-orang fakir untuk menjamahnya. Hal ini kerana, hak mereka adalah pada pemilikan dan bukannya pada menjamah makanan, sedangkan mereka tiada pemilikan terhadap makanan yang dimasak itu. Begitu juga, Syeikh Muhammad al-Zuhaili ada menyebut sekiranya, daging korban tersebut dimasak atau dimakan kesemuanya, maka wajib ke atas tuan korban membayar ganti rugi dengan kadar yang menyerupai nilai sedekah.

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada permasalahan menggunakan daging korban untuk majlis kenduri, maka di sini hukumnya adalah harus, namun mestilah diperuntukkan sebahagian daging korban dengan cara ia dibiarkan mentah kepada golongan fakir miskin sebagai sedekah, dan baki selebihnya bolehlah digunakan untuk masakan majlis kenduri dan dihidangkan kepada orang ramai.

Akhir kalam, kami menggalakkan orang ramai yang berkemampuan agar turut sama menyertai ibadah mulia ini supaya dapat memberikan keseronokan dan kelapangan dalam diri golongan fakir miskin di samping turut menceriakan mereka pada hari yang mulia ini.

Wallahu A‘lam.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts