Hukum menjual harta wakaf di masjid yang rosak

Soalan

Assalamualaikum w.b.t. Saya merupakan ahli jawatankuasa masjid di kawasan perumahan. Pihak masjid menerima terlalu banyak sumbangan barangan wakaf berupa set telekung. Apa yang menjadi persoalan adakah boleh set telekung lama yang sudah buruk dijual atau diberi kepada orang kampung? kerana masih banyak lagi telekung baharu yang belum digunakan ditambah pula dengan telekung yang sudah sedia ada diletakkan di ruangan solat wanita. Mohon penjelasan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan

Telekung wakaf yang masih boleh digunakan haram untuk dijual atau diberikan kepada orang lain kerana ‘ain(fizikal) dan manfaat harta masih kekal. Tindakan menjual barangan wakaf juga menyalahi niat pewakaf untuk kegunaan orang ramai. Namun, jika telekung wakaf sudah tidak boleh digunakan mengikut tujuan asal pewakaf (rosak), maka harus ia dijual untuk mengelakkan harta tersebut disia-siakan. Hasil jualan pula jika membolehkannya untuk membeli telekung wakaf seumpamanya maka perlu berbuat demikian. Jika nilainya tidak mencukupi maka memadai dengan menggunakannya untuk sebarang kepentingan masjid.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Hadis riwayat Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ ‌صَدَقَةٍ ‌جَارِيَةٍ، ‌أَوْ ‌عِلْمٍ ‌يُنْتَفَعُ ‌بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: Apabila telah mati seorang manusia, maka terputuslah baginya pahala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.

Riwayat Muslim (1631)

Istilah wakaf menurut takrifan syarak ialah menahan sesuatu harta yang boleh didapati manfaatnya dalam keadaan ‘ain (fizikal) harta tersebut masih kekal, dengan cara memutuskan hak pemilikan harta tersebut daripada pewakaf atau selainnya untuk digunakan kepada perkara-perkara yang diharuskan.

Para ulama berselisih pendapat mengenai keharusan menjual harta yang diwakafkan. Menurut pandangan muktamad dalam mazhab Syafi’I, harta wakaf yang sudah tiada manfaat (rosak) harus untuk dijual sekiranya hasil jualan tersebut boleh mendatangkan maslahat. Ini seperti mana yang dinyatakan oleh al-Nawawi.

والأصح جواز بيع حصر المسجد إذا بليت, وجذوعه إذا انكسرت ولم تصلح إلا للإحراق

Maksudnya: “Berdasarkan pandangan yang muktamad ialah harus menjual tikar masjid (yang diwakafkan) apabila ia telah usang dan batang-batang kayunya apabila ia telah pecah, dan ia tidak sesuai melainkan untuk dibakar.”

Imam Al-Ramli menjelaskan bahawa keadaan harta wakaf yang harus untuk dijual bukanlah diambil kira semata-mata apabila ‘ain (fizikal) harta tersebut telah rosak, bahkan juga harus diwakafkan ketika mana keadaan harta wakaf tersebut hampir rosak. Ada disebutkan dalam kitab I’anah Thalibin bahawa antara sebab keharusan harta wakaf dijual ialah disebabkan luputnya kecantikan dan manfaat harta berkenaan, dalam keadaan fizikal harta masih lagi kekal.

Selain itu, Sheikh Khatib al-Syirbini menyatakan berkenaan justifikasi keharusan ialah supaya manfaat harta wakaf itu tidak disia-siakan dan tindakan mengekalkan barangan wakaf yang sudah rosak hanya akan menyempitkan ruang sesuatu tempat (contohnya di masjid) dengan sesuatu yang tidak memberi apa-apa faedah. Justeru, penjualan barangan wakaf yang hasilnya itu kembali kepada harta wakaf adalah lebih baik daripada ia disia-siakan walaupun dapatan hasil jualan lebih rendah daripada nilai asal barangan. Biarpun begitu, perlu difahami bahawa permasalahan ini tidak termasuk dalam larangan jual beli harta wakaf kerana tikar dan batang kayu yang sudah rosak itu sudah diibaratkan seperti sesuatu yang tidak ada.

Duit yang diperoleh daripada hasil jualan harta wakaf pula wajib digunakan hanya untuk kepentingan dan maslahat kepada masjid sekiranya dapatan jualan itu tidak mencukupi untuk membeli harta yang seumpama asalnya. Ini seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Ramli dalam penulisannya:

وَيُصْرَفُ لِمَصَالِحِ الْمَسْجِدِ ثَمَنُهَا إنْ لَمْ يُمْكِنْ شِرَاءُ حَصِيرٍ أَوْ جِذْعٍ بِهِ

Maksudnya: “Dan dibelanjakan hasil jualan harta wakaf itu untuk kepentingan masjid jika (hasil jualan) tidak mencukupi untuk pembelian tikar atau batang kayu dengannya”.

Kesimpulan

Merujuk kepada persoalan penanya, set telekung wakaf di masjid yang masih elok dan boleh digunakan haram hukumnya untuk dijual atau diberikan kepada orang lain kerana ‘ain(fizikal) dan manfaat hartanya masih kekal. Manakala, jika telekung wakaf itu telah rosak dan sudah tidak boleh digunakan mengikut tujuan asal pewakafnya, maka harus hukumnya ia dijual semula kerana manfaat harta telah hilang walaupun ‘ainnya masih kekal. Melalui hasil jualan tersebut, jika nilai tersebut membolehkannya untuk membeli set telekung seumpamanya maka perbuatan tersebut lebih diutamakan. Namun, jika tidak mencukupi maka memadai hasilnya digunakan untuk sebarang kepentingan masjid.

Wallahu A’lam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts