Soalan :
Assalamualaikum ustaz. Maaf mengambil masa ustaz. Saya ada satu persoalan yang nak dikemukakan. Baru-baru ini ada viral berkenaan sebuah group di facebook yag dinamakan group ‘riyak apa hari ini’.
Dalam group tersebut hampir setiap hari akan post tentang barang kemas yang mereka ada, barang-barang yang mereka miliki. Ditambah pula adanya perbualan dan post yang tidak sepatutnya. Para wanita ada yang mendedahkan aurat mereka. Adakah perkara sebegini dibenarkan dalam islam? Tidakkah perkara ini adalah salah satu normalisasi dosa. Ini baru satu timbul, mungkin akan datang akan ada pula group dosa apa hari ini dan lain. Mohon pencerahan ustaz?.
Ringkasan jawapan :
Kewujudan group riyak apa hari ini atau yang seumpama dengannya adalah salah satu perbuatan yang dianggap sebagai normalisasi dosa. Walaupun dengan niat bergurau, ianya bukan satu cara untuk menghalalkannya.
Hantaran-hantaran yang mendedahkan aurat dan perbualan antara lelaki dengan wanita yang tidak sepatutnya adalah perkara yang dilarang sama sekali. Islam mengajarkan umatnya untuk tidak terlibat dalam perlakuan dosa apatah lagi menzahirkannya. Jika ingin bergurau sekalipun bukan dengan cara menzahirkan dosa, maksiat dan mempromosikan terma-terma negatif seperti perkataan “Riyak”. Perkara sebegini perlu dibendung dan dielakkan agar tidak lagi timbul normalisasi dosa yang lain.
Wallahu’alam.
Huraian jawapan :
Kesemua larangan yang dilarang oleh Allah SWT dianggap sebagai maksiat dan dosa jika dilakukan. Bahkan dosa dan maksiat adalah penyebab turunnya azab Allah SWT. Allah SWT berfirman :
فَكُلًّا أَخَذْنَا بِذَنبِهِ ۖ فَمِنْهُم مَّنْ أَرْسَلْنَا عَلَيْهِ حَاصِبًا وَمِنْهُم مَّنْ أَخَذَتْهُ الصَّيْحَةُ وَمِنْهُم مَّنْ خَسَفْنَا بِهِ الْأَرْضَ وَمِنْهُم مَّنْ أَغْرَقْنَا ۚ وَمَا كَانَ اللَّـهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَـٰكِن كَانُوا أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ
Maksudnya : “Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.”
Bahkan dosa dan maksiat adalah penyebab kehidupan menjadi sempit. Allah SWT :
وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَ
Maksudnya : “Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.”
Justeru dosa dan maksiat sama ada yang zahir mahupun yang batin bukanlah perkara yang boleh diremehkan. Bahkan tidak boleh dipandang enteng. Termasuk juga dosa adalah sikap riyak, ujub, sum’ah (suka supaya orang lain melihat apa yang dilakukan olehnya), dan yang seumpama dengannya. Kesemua ini adalah dosa yang tersembunyi dan halus yang tidak disedari oleh manusia. Antara contoh, Nabi SAW menyifatkan sifat ujub iaitu berbangga dengan diri sebagai satu sifat yang boleh membinasakan. Nabi SAW bersabda :
ثَلَاثٌ مُهْلِكَاتٌ: شُحٌّ مُطَاعٌ، وَهَوًى مُتَّبَعٌ، وَإِعْجَابُ الْمَرْءِ بِنَفْسِهِ مِنَ الْخُيَلَاءِ
Maksudnya : “ Tiga perkara yang membinasakan. Kedekut yang ditaati, hawa nafsu yang dituruti dan seseorang yang bangga dengan diri sendiri yang mana ia sebahagian dari kesombongan.”
Apabila disebut tentang riyak, Nabi SAW bersabda :
إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ قَالُوا وَمَا الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الرِّيَاءُ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِذَا جُزِيَ النَّاسُ بِأَعْمَالِهِمْ اذْهَبُوا إِلَى الَّذِينَ كُنْتُمْ تُرَاءُونَ فِي الدُّنْيَا فَانْظُرُوا هَلْ تَجِدُونَ عِنْدَهُمْ جَزَاءً
Maksudnya :” Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah Syirik yang kecil. Para Sahabat bertanya : apa itu syirik yang kecil wahai Rasulullah? Nabi saw bersabda : Itulah Riya’! Allah SWT akan befirman pada hari kiamat kelak : pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah ganjaran itu di sisi mereka? (dengan sebab amalan kamu).”
Jelas seperti yang dinyatakan dalam hadis di atas, kesemua ini adalah dosa tersembunyi dan halus yang boleh membawa si pelaku kepada kebinasaan. Apatah lagi, jika ianya diwar-warkan dan disebarkan tanpa ada rasa malu. Nabi SAW memberi peringatan tentang kecaman Allah terhadap orang yang suka memperagakan maksiat, Baginda bersabda :
كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلاَّ الْمُجَاهِرِينَ، وَإِنَّ مِنَ الْمَجَانَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً، ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ، فَيَقُولَ يَا فُلاَنُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ
Maksudnya : “Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘’Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini’’. Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.”
Ibn Hajar Al-Asqalani memperincikan maksud mujahirin. Beliau berkata :
وَالْمُجَاهِرُ الَّذِي أَظْهَرَ مَعْصِيَتَهُ وَكَشَفَ مَا سَتَرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فَيُحَدِّثُ بِهَا
“Al-Mujahir adalah orang yang menzahirkan maksiat yang dilakukannya dan mendedahkan apa yang telah Allah sembunyikan serta menceritakan tentang maksiat yang dilakukannya itu.”
Justeru, hadis tersebut jelas menunjukkan bahawa perbuatan mendedahkan dan menzahirkan maksiat adalah perbuatan yang dianggap boleh menjauhkan seseorang daripada rahmat Allah.
Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, kewujudan group riyak apa hari ini atau yang seumpama dengannya adalah salah satu perbuatan yang dianggap sebagai normalisasi dosa. Walaupun dengan niat bergurau, ianya bukan satu cara untuk menghalalkannya. Satu kaedah fiqh ada menyebut :
الغاية لا تبرر الوسيلة
“Tujuan tidak membenarkan cara.”
Tambahan pula, ada pendedahan aurat dan sebagainya yang boleh membawa kepada perbualan antara lelaki dan wanita yang tidak dibenarkan. Bahkan ia boleh menjurus kepada dosa. Ini berdasarkan umum firman Allah SWT :
فَلا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلاً مَعْرُوفاً
Maksudnya : “…Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik…”
Imam Fakhruddin Al-Razi mentafsirkan ayat suci di atas :
أَيْ لَا تَقُلْنَ مِنْ أَمْرِ الرَّفَثِ شَيْئًا فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ
“Iaitu jangan kalian bercakap perkara-perkara yang keji. Lalu akan menyebabkan orang yang ada penyakit akan menimbulkan keinginan jahat .”
Kesimpulannya, kewujudan group riyak apa hari ini atau yang seumpama dengannya adalah salah satu perbuatan yang dianggap sebagai normalisasi dosa. Walaupun dengan niat bergurau, ianya bukan satu cara untuk menghalalkannya. Hantaran-hantaran yang mendedahkan aurat dan perbualan antara lelaki dengan wanita yang tidak sepatutnya adalah perkara yang dilarang sama sekali. Islam mengajarkan umatnya untuk tidak terlibat dalam perlakuan dosa apatah lagi menzahirkannya.
Wallahu’alam. -Muftiwp
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM